Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Virus korona baru: Pemandu teksi, kereta sewa privet terima 300,000 pelitup bagi penumpang

Para pemandu teksi dan kereta sewa privet di Singapura akan diberi 300,000 pelitup untuk ditawarkan kepada penumpang mereka yang tidak sihat, umum Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sedang negara ini memperkukuhkan perlindungan terhadap penularan global virus korona baru (2019-nCoV).

Anggaran Waktu Membaca:
Virus korona baru: Pemandu teksi, kereta sewa privet terima 300,000 pelitup bagi penumpang

Gambar fail seorang lelaki memegang pelitup muka di Singapura pada 1 Feb 2020 di tengah kebimbangan penularan virus korona baru (Gambar: Reuters/Feline Lim)

Diterbitkan : 10 Feb 2020 07:58PM Dikemas Kini : 10 Feb 2020 08:08PM

SINGAPURA: Para pemandu teksi dan kereta sewa privet di Singapura akan diberi 300,000 pelitup untuk ditawarkan kepada penumpang mereka yang tidak sihat, umum Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sedang negara ini memperkukuhkan perlindungan terhadap penularan global virus korona baru (2019-nCoV).

Mulai Selasa (11 Feb), 300,000 pelitup muka akan diagihkan kepada pemandu menerusi syarikat teksi dan sewa kereta privet masing-masing. Menurut kenyataan LTA, pelitup akan diagihkan dalam bungkusan empat pelitup setiap pek.

Pelitup-pelitup itu adalah untuk dibahagikan kepada penumpang yang tidak sihat, namun tidak mempunyai pelitup dan perlu lakukan perjalanan untuk mendapatkan perubatan.

"Para penumpang juga harus memainkan peranan mereka. Khususnya, penumpang yang tidak sihat diingatkan supaya mengamalkan tanggungjawab sosial dan memakai pelitup sebelum menaiki teksi atau kereta sewa privet," kata LTA.

Sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga, pemandu juga diminta untuk mengambil suhu badan mereka dua kali sehari.

Bermula Selasa, lapan stesen imbasan suhu badan akan diletakkan di premis tujuh syarikat teksi di sini.

Pemandu teksi yang suhunya berada dalam lingkungan yang boleh diterima akan menerima pelekat untuk hari itu, bagi menandakan bahawa mereka sihat.

Pemandu kereta sewa privet akan diminta untuk mengambil suhu badan mereka sendiri dan memaklumkan menerusi aplikasi masing-masing.

LTA, bersama Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), juga akan meningkatkan jumlah stesen pemeriksaan suhu di Singapura untuk semua pemandu, tambah LTA.

Langkah-langkah ini diambil menyusuli pendedahan bahawa seorang pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet adalah antara tujuh kes baru virus korona yang diumumkan pada Sabtu.

Tiada kaitan antara kes-kes itu dengan kes-kes sebelumnya dapat dikenal pasti setakat ini.

LTA menyatakan ketika itu bahawa pihaknya sedang bekerja dengan para pengendali untuk meningkatkan langkah pembersihan dan kebersihan diri.

Ia juga menasihati para pemandu untuk membuka tingkap kenderaan mereka selepas setiap perjalanan untuk menambah pengaliran udara, serta membersihkan dan membasmi kuman dalam kereta mereka dengan lebih kerap.

Awal bulan ini, pakej sokongan diumumkan untuk para pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet yang dikuarantin akibat virus itu.

Pemandu-pemandu ini layak mendapat elaun S$100 sehari daripada Pemerintah semasa mereka dikuarantin.

Semua pengendali teksi dan firma sewa privet menjamin akan memansuhkan yuran sewa kenderaan untuk pemandu yang dikuarantin.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan