Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Virus korona baru: 2 kes baru di S'pura, termasuk kakitangan Certis Cisco yang serahkan arahan kuarantin

Singapura melaporkan dua lagi kes jangkitan disahkan positif virus korona baru (2019-nCoV) pada Isnin (10 Feb), menurut kemas kini harian Kementerian Kesihatan (MOH), menjadikan jumlah keseluruhan kes di Singapura kepada 45.

Anggaran Waktu Membaca:
Virus korona baru: 2 kes baru di S'pura, termasuk kakitangan Certis Cisco yang serahkan arahan kuarantin

Seorang lelaki memegang pelitup. (Gambar: Gaya Chandramohan/Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Feb 2020 09:34PM Dikemas Kini : 10 Feb 2020 09:40PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan dua lagi kes jangkitan disahkan positif virus korona baru (2019-nCoV) pada Isnin (10 Feb), menurut kemas kini harian Kementerian Kesihatan (MOH).

Salah seorang pesakit adalah kakitangan Certis Cisco yang menyampaikan perintah kuarantin kepada dua orang dari Wuhan. Seorang lagi adalah budak dua tahun rakyat Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Januari lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Singapura kepada 45.

Menurut MOH, tujuh daripadanya dalam keadaan kritikal. Seorang lagi dibenarkan keluar dari hospital, bermakna tujuh pesakit kesemuanya yang sudah sembuh.

23 daripada kes positif virus itu adalah jangkitan tempatan.

PESAKIT KE-44

Kes ke-44 adalah seorang lelaki warga Singapura berusia 37 tahun yang tinggal di Sembawang Drive dan bekerja di Certis Cisco Centre di 20 Jalan Afifi di Paya Lebar. Beliau tidak mempunyai rekod perjalanan ke China baru-baru ini.

Beliau melaporkan mula mengalami simptom pada 31 Jan, dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada 2 Feb.

Beliau kemudian ke Hospital Khoo Teck Puat pada 6 Feb, di mana beliau diasingkan dan dimasukkan ke wad. Beliau diuji positif virus korona baru pada 9 Feb.

Sebelum menunjukkan gejala virus tersebut, beliau menyerahkan arahan kuarantin kepada dua orang dari Wuhan yang kemudiannya diuji positif jangkitan tersebut. Setelah mengalami simptom, beliau tidak menyampaikan lagi sebarang perintah kuarantin.

Sebelum dimasukkan ke hospital, beliau juga bertugas di Chingay 2020, yang berlangsung antara 31 Jan hingga 1 Feb.

PESAKIT KE-45

Kes ke-45 adalah budak perempuan rakyat Singapura berusia dua tahun. Dia adalah salah seorang daripada 92 warga Singapura yang dipindahkan dari Wuhan menggunakan penerbangan Scoot pada 30 Jan.

Dia tidak mengalami simptom apabila menaiki pesawat, dan dikuarantin selepas mendarat di Singapura.

Dia dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK pada 7 Feb berdasarkan hasil ujian awal lalu dan diasingkan. Budak itu disahkan positif virus korona pada 10 Feb.

PENGESANAN HUBUNGAN

Setakat tengah hari Isnin, 581 kes suspek diuji negatif virus korona baru. Ujian untuk baki 39 kes sedang menunggu keputusan.

Pengesanan hubungan bagi kes-kes yang disahkan sedang dijalankan.

Setakat tengah hari tadi, MOH sudah mengenal pasti 1,026 hubungan rapat. Daripada 927 yang masih berada di Singapura, 896 sudah dihubungi dan dikuarantin atau diasingkan. Usaha sedang dijalankan untuk menghubungi baki 31 kenalan yang rapat.

Wabak virus korona baru sudah meragut lebih 900 nyawa dan menjangkiti lebih 40,000 orang, kebanyakannya di tanah besar China.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan