Skip to main content

Singapura

Virus korona: 524 orang dikuarantin di S'pura, kata Lawrence Wong

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian menyatakan bilangan orang yang dikenakan kuarantin sejak malam tadi berjumlah 524 orang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Feb 2020 09:38PM Dikemas Kini : 03 Feb 2020 11:12PM

SINGAPURA: Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian menyatakan bilangan orang yang dikenakan kuarantin sejak malam tadi berjumlah 524 orang.

Ia juga giat membuat persiapan bagi para pemegang permit kerja yang pulang dari China.

Dalam kenyataan menteri di parlimen, pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian Lawrence Wong berkongsi bahawa 222 orang sedang menjalani kuarantin di kemudahan-kemudahan kuarantin pemerintah.

Lagi 302 orang dikuarantin di rumah.

Sepanjang tempoh ini, mereka tidak boleh berinteraksi secara fizikal dengan orang-orang yang dikuarantin di tempat yang sama.

"Kami akan melakukan panggilan video, telefon dan melakukan pemeriksaan untuk memastikan mereka berada di tempat kuarantin yang ditetapkan. Ini adalah protokol yang telah kami usahakan sejak SARs dan telah dikemaskini selama beberapa tahun. Mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai untuk menjalani kuarantin akan ditempatkan di Kemudahan Kuarantin Pemerintah," kata Encik Lawrence Wong.

Hukuman berat akan dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi Perintah Kuarantin, termasuk denda atau penjara.

Di tengah-tengah langkah pencegahan ketat yang diambil, Encik Wong menegaskan bahawa mereka yang termasuk dalam kumpulan ini, atau warga negara China, mungkin mengalami stigma atau diminta tuan rumah dan jiran-jiran mereka supaya berpindah ke tempat lain.

Beliau menggesa orang ramai supaya kekal bersatu dan tidak didorong rasa takut.

"Saya dapat menghargai bahawa rakyat Singapura amat prihatin terhadap kesejahteraan diri mereka dan keluarga mereka. Tetapi jika tuan rumah mula menolak para penyewa, usaha-usaha menyeluruh kita untuk membendungnya akan menjadi lebih sukar. Pada akhirnya, kita akan membahayakan diri kita dan orang lain. Hasilnya akan menjadi sangat tidak produktif.

"Jadi kita tidak boleh membiarkan tindakan-tindakan tidak bertanggungjawab yang akan mendedahkan Singapura dan rakyat kepada lebih banyak risiko," ujar Encik Lawrence Wong lagi.

Encik Wong juga berkongsi bahawa 15% pek atau lebih daripada 200,000 pelitup sudah diagihkan sejak kelmarin.

Isi rumah boleh berbuat demikian sehingga 9 hari bulan ini.

Menjawab pertanyaan di parlimen, Encik Wong turut berkongsi bahawa pemerintah sedang bersiap untuk menghubungi para majikan lebih 30,000 pemegang permit kerja yang akan pulang dari China.

Beliau menjelaskan bahawa tidak kesemuanya tinggal dalam estet-estet perumahan awam.

Encik Wong menambah bahawa terdapat kira-kira 140 warga Singapura yang masih berada di Wuhan, dan pemerintah telah menghubungi pihak berkuasa China untuk membantu mereka pulang ke Singapura.. 

Sumber : CNA/RR/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita