Virus demam babi Afrika dikesan pada bangkai babi hutan
Gambar fail
SINGAPURA: Virus demam babi Afrika dikesan pada bangkai babi hutan yang ditemui di barat laut Singapura, menurut Lembaga Taman Negara (NParks).
Dalam satu kenyataan media pada Khamis (9 Feb), NParks menyatakan, ia mengesahkan kehadiran virus itu dua hari sebelumnya.
Namun, NParks turut menyatakan, demam babi Afrika itu bukan jenis zoonotik, bermakna ia tidak menjangkiti manusia dan tidak menimbulkan risiko kepada kesihatan awam.
Penyakit itu hanya menjejas babi hutan dan babi, tambah NParks.
Mediacorp sudah menghubungi NParks sama ada terdapat kes lain virus itu dikesan dalam babi hutan di Singapura.
NParks menyatakan, ia mempunyai sistem pemantauan bio untuk mengesan sebarang penyakit haiwan dengan pantas, termasuk demam babi Afrika.
"Babi hutan secara semula jadi tinggal di Singapura dan boleh ditemui di hutan simpanan, taman dan ruang hijau kami," menurutnya.
"NParks sedang memantau teliti kesihatan babi hutan di kawasan-kawasan tersebut."
Ia turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan laluan-laluan yang disediakan semasa pergi ke tempat-tempat berkenaan, melihat babi hutan dari jauh dan tidak memberi makanan atau menghampirinya.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyentuh haiwan yang sakit atau sudah mati, dan sebaliknya membuat aduan kepada Pusat Respons Haiwan di 1800-476-1600.
Penularan demam babi Afrika menyebabkan banyak kematian babi di beberapa negara, termasuk China, yang menjejas bekalan dan meningkatkan harga daging babi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.