Vincent Hoong dilantik Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi
Encik Hoong Seng Lei Vincent dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, menurut Pejabat Perdana Menteri hari ini (1 Feb).
Encik Hoong Seng Lei Vincent. (Gambar: PMO)
SINGAPURA: Encik Hoong Seng Lei Vincent dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, menurut Pejabat Perdana Menteri hari ini (1 Feb).
Buat masa ini, Encik Hoong adalah Pendaftar Mahkamah Tinggi dan pegawai paling kanan dalam perkhidmatan tersebut.
Upacara angkat sumpah akan diadakan pada 10 Apr di Istana, dan beliau akan berkhidmat selama setahun.
Dengan pelantikannya, Mahkamah Tinggi keseluruhannya mempunyai 20 hakim (termasuk empat hakim rayuan dan Hakim Besar), tujuh pesuruhjaya kehakiman, empat hakim kanan dan 16 hakim antarabangsa.
Encik Hoong, 61 tahun, menyertai khidmat guaman pada 1984 dan sudah berpengalaman selama lebih 34 tahun dalam bidang kehakiman dan guaman.
Dari April 1984 hingga Ogos 1997, Encik Hoong menyandang pelbagai jawatan dalam Mahkamah Tinggi sebagai seorang penolong pendaftar, majistret Mahkamah Rendah dan hakim daerah.
Beliau menguruskan Daftar Tanah Singapura Kementerian Undang-Undang dari Sept 1997 hingga Mei 2001 sebelum dikerahkan ke Penguasa Tanah Singapura sebagai timbalan ketua eksekutif dan ketua pegawai perundangan, dan akhirnya sebagai ketua eksekutif dari Mei 2009 hingga Mac 2015.
Encik Hoong juga menyandang beberapa jawatan secara serentak iaitu sebagai Pendaftar Ikatan Hak Milik merangkap Pengawal Hartanah Kediaman dari Mei 2000 hingga 31 Mac 2015, dan sebagai Pesuruhjaya Tanah dari Ogos 2002 hingga April 2009.
Cik Teh Hwee Hwee, yang buat masa ini adalah Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi akan menggantikan Encik Hoong sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Pesuruhjaya kehakiman dilantik bagi "memudahkan pengurusan kes" di Mahkamah Tinggi, menurut laman mahkamah.
Mereka mempunyai kuasa sebagai seorang hakim dan dilantik buat tempoh yang ditentukan Presiden.
Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Besar, Hakim Rayuan dan hakim dilantik Presiden atas nasihat Perdana Menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.