Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Video sebar 'maklumat salah'; sengaja putar belit manfaat vaksinasi untuk kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
Video sebar 'maklumat salah'; sengaja putar belit manfaat vaksinasi untuk kanak-kanak

Seorang kanak-kanak perempuan menggenggam erat anak patungnya ketika mendapatkan suntikan vaksin pada 27 Dis 2021. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (31 Dis) menyatakan bahawa kementerian itu sedia maklum tentang rakaman video yang tersebar di media sosial yang mengandungi maklumat salah mengenai vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun.

Video tersebut mengandungi "dakwaan yang mengandaikan seolah-olah vaksin yang digunakan adalah peringkat uji kaji dan tidak selamat untuk kanak-kanak" dan sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan buruk selepas vaksinasi, maka ia bukan lagi menjadi "tanggungjawab pemerintah", menurut MOH.

"Dakwaan seumpama ini sama sekali tidak membantu kanak-kanak kita yang perlu dilindungi daripada COVID-19 terutama sekali dengan kemunculan varian Omicron baru-baru ini," menurut MOH dalam catatan Facebooknya.

Pada awal bulan ini, Singapura sudah meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun dan sudah mula memvaksin golongan itu pada Isnin (27 Dis).

MOH menambah bahawa vaksin diluluskan oleh banyak pihak berkuasa di seluruh dunia berdasarkan data yang dikumpulkan melalui "ujian klinikal antarabangsa yang menyeluruh".

MOH turut mendedahkan bahawa semasa Fasa 3 ujian klinikal tersebut, lebih 2,000 kanak-kanak daripada kumpulan usia yang sama mendapatkan vaksin dan tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan yang serius.

"Sejak itu, berjuta-juta kanak-kanak sudah menerima suntikan vaksin, dengan kadar kejadian yang direkodkan kira-kira 1 dalam sejuta menunjukkan miokarditis," menurut MOH.

Miokarditis adalah sejenis keadaan keradangan yang menjejas otot-otot jantung. Kejadian miokarditis selepas dos kedua vaksin mRNA COVID-19 sudah diperhatikan di Israel, Amerika Syarikat dan segelintir kes di Singapura.

Kesan sampingan lain seperti demam, seram sejuk, keletihan dan sakit kepala kurang kerap dilaporkan oleh kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun berbanding orang dewasa dan golongan muda, MOH menambah.

VAKSINASI "SANGAT BERKESAN" MENCEGAH KESAN BURUK COVID-19

Walaupun sebilangan besar kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 mengalami gejala ringan dan berupaya pulih dengan baik, menurut MOH, segelintir kanak-kanak mengalami sindrom keradangan MIS-C, iaitu keadaan yang serius dan mengancam nyawa.

"Vaksinasi untuk kanak-kanak sangat berkesan dalam mencegah kesan buruk daripada jangkitan COVID-19," menurut MOH.

Kementerian Kesihatan (MOH) menambah bahawa ini adalah antara beberapa pertimbangan utama yang mendorong pihak berkuasa untuk membuat kesimpulan bahawa vaksin "selamat dan berkesan" selepas menilai kajian antarabangsa dan data klinikal dan ia menunjukkan manfaat vaksinasi bagi kanak-kanak melebihi risiko terhadap kumpulan usia itu.

Dalam kejadian yang 'tidak mungkin' berlaku seandainya seorang kanak-kanak mengalami kesan sampingan serius yang dinilai sebagai berhubung kait dengan vaksinasi, maka kanak-kanak berkenaan layak menerima Program Bantuan Kewangan Bagi Kecederaan Vaksin jika mereka adalah rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) atau pemegang pas jangka panjang.

RAKAMAN VIDEO "PUTAR BELITKAN" TUJUAN BORANG KEBENARAN VAKSINASI

Video itu juga didapati memutarbelitkan tujuan borang kebenaran vaksinasi, menurut MOH.

MOH turut menegaskan bahawa video itu dengan sengaja "membesar-besarkan" bahaya dan kesan sampingan jangka panjang vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak dan berniat untuk tidak menggalak ibu bapa supaya mendapatkan suntikan vaksin bagi anak-anak mereka.

Ibu bapa sangat digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi anak-anak mereka jika mereka layak dari segi perubatan kerana ia berupaya mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 dan juga sakit teruk di samping memastikan keluarga mereka dan masyarakat lebih selamat.

Orang ramai dinasihatkan supaya jangan membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat salah dan mereka sepatutnya merujuk kepada sumber maklumat yang sahih dan diyakini.

Orang ramai boleh melungsuri laman web MOH untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai vaksinasi dan COVID-19.

Sumber : CNA/FA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan