Skip to main content

Singapura

Video 'Kisah Musim Raya' MDDI ajak masyarakat luang masa bersama keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Video 'Kisah Musim Raya' MDDI ajak masyarakat luang masa bersama keluarga
(Gambar: GOV.SG/YouTube)

SINGAPURA: Hadir bersama keluarga serta orang tersayang dan menghargai masa bersama mereka. 

Itulah mesej sebuah video dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat (MDDI) pada Jumaat (13 Mac) sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

MDDI bekerjasama dengan agensi kreatif DSTNCT untuk menghasilkan video itu. 

'KISAH MUSIM RAYA' SERLAHKAN MAKNA HADIR BERSAMA KELUARGA

Video yang bertajuk 'Kisah Musim Raya' itu membawa kisah 'Aisyah', yang terlalu asyik dalam alam maya dengan telefon pintar dan media sosial.

Diarah oleh Juffrie Juma’at, babak-babak video itu menjadi kecoh sedang keluarga 'Aisyah' keluarganya sibuk membuat persiapan Hari Raya.

Malah, 'Aisyah' tetap lalai dalam dunia maya semasa kunjung-mengunjung sehingga terpisah dengan keluarganya.  

Watak 'Aisyah' dimainkan oleh pelakon tempatan, Nur Sabrina Nasir.

Naratif kisah 'Aisyah' pula dipacu oleh lagu nyanyian kugiran tempatan, The Pinholes. 

Lagu eksklusif itu mengangkat tema kebersamaan, warisan tradisi, dan detik-detik Raya yang sering terlepas pandang.

Menurut Pengarah Kempen dan Produksi MDDI, Aaron Lye, video tersebut telah mencerminkan makna sebenar dalam meluangkan masa bersama keluarga.

"Melalui lirik lagu tersebut dan pengalaman Aisyah, kami ingin video ini mencerminkan makna sebenar untuk benar-benar hadir sepanjang musim perayaan. Detik-detik yang paling bermakna bukan hanya yang kita rakamkan dalam talian, tetapi yang kita raikan bersama melalui tradisi yang dikongsi," kata Encik Aaron.

Pengarah Perniagaan dan Rakan Kongsi DSTNCT, Chloe Lim, berkongsi bahawa video tersebut merupakan sesuatu yang boleh dikaitkan dengan masyarakat Singapura.

"Intipati di sebalik 'Kisah Musim Raya' ialah sesuatu yang boleh kita semua kaitkan, iaitu betapa mudahnya untuk berada di dalam bilik yang sama tetapi sebenarnya tidak benar-benar hadir. Dengan kerjasama bersama Juffrie, kami ingin menceritakan kisah tersebut dengan penuh kehangatan dan bukan dengan penghakiman," kata Cik Chloe.

"Inilah makna penceritaan nasional bagi kami di DSTNCT — mencari kebenaran bersama yang menghubungkan semua rakyat Singapura, sambil meraikan keunikan tradisi setiap komuniti," tambahnya lagi.

Anda boleh saksikan “Kisah Musim Raya” di laman gov.sg serta di platform media sosial.

Sumber : BERITA Mediacorp/HD/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita