Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Video antivaksin oleh kumpulan 'Healing the Divide' dipadam oleh YouTube: MOH

Video antivaksinasi oleh kumpulan Healing the Divide, di YouTube yang disiarkan di saluran pengasasnya Iris Koh, sudah dipadam, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (7 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Video antivaksin oleh kumpulan 'Healing the Divide' dipadam oleh YouTube: MOH

Petikan skrin saluran YouTube Iris Koh, pengasas Healing The Divide.

Diterbitkan : 07 Nov 2021 05:04PM Dikemas Kini : 07 Nov 2021 05:12PM

SINGAPURA: Video antivaksinasi oleh kumpulan Healing the Divide, di YouTube yang disiarkan di saluran pengasasnya Iris Koh, sudah dipadam, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (7 Nov).

Video itu, yang mengandungi dakwaan palsu dengan memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya vaksinasi, dipadamkan daripada YouTube oleh wadah milik Google itu sendiri kerana melanggar garis panduan komuniti syarikat itu. Video-video tersebut termasuk yang bertajuk “Town Hall Meeting: United We Stand For Choice” dan “Healing the Divide: Remembering Those We Love and Lost”.

MOH dalam satu kenyataan menyatakan saluran Cik Iris Koh mempunyai sejarah menyiarkan dan berkongsi kandungan yang menyebarkan kepalsuan dan maklumat mengelirukan tentang COVID-19 dan vaksin.

Laman web kumpulan itu mendakwa ia menghimpunkan rakyat Singapura yang prihatin mengenai vaksin COVID-19, dan kumpulan itu juga kerap menggalakkan penggunaan rawatan yang tidak terbukti dan tidak diluluskan seperti ivermectin.

“Pemerintah memandang serius komunikasi berita palsu berkaitan COVID-19 yang disengajakan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membahayakan kesihatan dan kesejahteraan orang ramai dengan menyebarkan maklumat salah mengenai COVID-19 dan vaksin,” tegas kementerian itu, sambil menambah bahawa gergasi media sosial Facebook juga telah menggantung akaun Cik Koh lebih daripada sekali.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian dan/atau menyebarkan maklumat salah yang boleh menyebabkan kebimbangan orang ramai, dan sebaliknya merujuk kepada sumber maklumat yang boleh dipercayai,” tambah MOH.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap YouTube berkata platform itu komited untuk memastikan YouTube kekal selamat daripada maklumat salah berkaitan COVID-19 yang memudaratkan umum.

"Sejak awal pandemik, kami mempunyai dasar yang jelas mengenai maklumat perubatan salah berkaitan COVID-19," katanya.

Bulan lalu, YouTube mengumumkan bahawa ia akan mengembangkan dasar maklumat perubatan salah mengenai COVID-19 dengan memadamkan dakwaan salah berhubung vaksinasi yang "bercanggah dengan konsensus pakar dari pihak berkuasa kesihatan tempatan atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia".

Ia juga meletakkan makluman vaksin yang mengarahkan pengguna ke maklumat yang dipercayai tentang vaksin.

YouTube sejak itu telah memadamkan lebih 130,000 video kerana melanggar dasar itu, tambah jurucakapnya.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa