Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Varian Omicron: Lebih banyak katil hospital pediatrik akan disediakan di hospital

Semua ini bagi memastikan katil-katil pediatrik itu mencukupi, memandangkan varian Omicron lebih mudah dijangkiti kanak-kanak.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Varian Omicron: Lebih banyak katil hospital pediatrik akan disediakan di hospital

(Gambar fail: Mediacorp)

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata lebih banyak katil akan disediakan di hospital-hospital bagi kanak-kanak dan orang muda, selain kemudahan rawatan COVID-19 untuk golongan ini.

Semua ini bagi memastikan katil-katil pediatrik itu mencukupi, memandangkan varian Omicron lebih mudah dijangkiti kanak-kanak.

Bagaimanapun vaksinasi dan dos penggalak terus menjadi keutamaan, kata Encik Ong, terutama sekali bagi warga emas.

Ini kerana warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang tidak divaksin adalah 10 kali lebih berkemungkinan sakit teruk apabila dijangkiti Omicron, berbanding seseorang yang sudah menerima dos penggalak.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu Singapura anjuran SingHealth hari ini (8 Feb).

KANAK-KANAK MILIKI KADAR JANGKITAN TERTINGGI DALAM MASYARAKAT

Menurut Encik Ong, kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun kini mempunyai kadar jangkitan tertinggi dalam masyarakat - iaitu sekitar 67 bagi setiap 100,000 orang.

Ini berbeza dengan varian Delta yang lebih menyasarkan warga emas.

"Mujur kemasukan kanak-kanak ke hospital dan kemudahan rawatan masyarakat disebabkan COVID-19 biasanya atas dasar berjaga-jaga dengan tempoh pendek sekitar dua hingga tiga hari," kata Encik Ong.

ong ye kung

"Walau demikian, adalah penting bagi mereka untuk mengambil suntikan vaksin bagi melindungi mereka daripada sakit teruk sekiranya mereka dijangkiti."

LEBIH RAMAI PENGENDALI DIKERAH KE PUSAT PANGGILAN

Encik Ong juga menarik perhatian lebih ramai pengendali akan dikerahkan ke pusat-pusat panggilan dengan bertambahnya jumlah kes harian COVID-19.

Beliau menambah walaupun bilangan kes harian kini tiga kali lebih banyak berbanding bilangannya semasa kemuncak gelombang varian Delta, kes-kes pesakit di ICU berada di paras sekitar 20, berbanding sekitar 170 semasa kemuncak gelombang Delta sebelum ini.

Namun demikian kata beliau, keyakinan masyarakat terhadap sektor jagaan kesihatan adalah faktor kejayaan yang paling penting dalam menangani COVID-19.

"Pada akhirnya, faktor kejayaan paling penting dalam respons kami kepada COVID-19 bukanlah katil-katil hospital mahupun vaksinasi, tetapi keyakinan dalam masyarakat. Keyakinan pesakit kepada kami dibina apabila kami secara konsisten memberi yang terbaik bagi berkhidmat kepada mereka. Keyakinan rakan-rakan sekerja kami semakin bertambah apabila kami bekerja sebagai satu pasukan kohesif," kata Encik Ong.

JUMLAH REKOD 9,000 KARYAWAN JAGAAN KESIHATAN DIIKTIRAF

Di acara tersebut, hampir 9,000 karyawan jagaan kesihatan diiktiraf atas sumbangan cemerlang mereka dalam menyediakan khidmat jagaan bermutu.

Jumlah ini juga yang tertinggi sejak Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu Singapura diperkenalkan 12 tahun lalu.

Lapan Anugerah 'Superstar' dan lima Anugerah Pasukan Terbaik turut disampaikan.

zulfa anas
(Ihsan: SingHealth)


Penolong Jururawat Kanan di Pusat Barah Nasional, CIk Zulfa Anas, 53 tahun, salah seorang yang diberi pengiktirafan Anugerah 'Superstar' atas dedikasi luar biasa dan sumbangan cemerlangnya kepada bidang jagaan kesihatan..

5 PASUKAN DIIKTIRAF SEBAGAI YANG TERBAIK

Pasukan 'Code White Team' dari Hospital Besar Singapura (SGH) adalah salah satu daripada lima pasukan yang menang Anugerah Pasukan Terbaik.

Pasukan 11 orang yang diketuai jururawat klinisian Jabatan Kecemasan SGH, Norizan Jaafar, berjaya melaksanakan "Code White Activation" bagi menangani kekasaran seperti ditendang, ditampar atau dicakar oleh pesakit dan mengurangkan kecederaan terhadap kakitangan.

code white team(Ihsan: SingHealth)

Sejak dilaksanakan pada April 2019, sebanyak 50 pengaktifan sudah dijalankan, dengan penurunan ketara kes kecederaan kakitangan.

"Idea mencipta Code White Activation bila insiden jururawat di bahagian kemalangan di SGH mendapat kecederaan kerana dikasari oleh pesakit yang mengalami masalah kesihatan semasa kita menjalankan tugas, jadi ia menjadi suatu isu untuk kita tangani.

code white team
(Ihsan: SingHealth)


"Kadang-kadang kita dimarahi, kadang-kadang pesakit tunggu lama untuk bertemu doktor, jadi dia marah sebab terlalu ramai menunggu untuk tengok doktor.

"Kadang-kadang (pula)... masalah dia keadaan mental, jadi dia tak boleh jaga diri sendiri, jadi dia mengganas dan kita perlu lakukan sesuatu untuk pesakit itu sendiri dan juga kakitangan kita. Keselamatan itu sangat penting," kata Cik Norizan, 59 tahun.

Cik Norizan kini berharap Code White Activation dapat terus diperluaskan kepada lebih ramai kakitangan jagaan kesihatan di dalam dan luar SGH bagi melindungi keselamatan mereka.

Daripada sekitar 9,000 anugerah yang dikeluarkan itu, hampir 4,400 adalah bagi kategori Perak, lebih 3,700 menerima kategori Emas dan kira-kira 680 menerima kategori 'Star'.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa