Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksinasi kunci utama 'norma baru' S'pura dalam strategi lawan COVID-19

Para pakar penyakit berjangkit yakin bahawa vaksinasi adalah kunci utama dalam strategi jangka panjang COVID-19 Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksinasi kunci utama 'norma baru' S'pura dalam strategi lawan COVID-19

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 03 Jun 2021 09:46AM Dikemas Kini : 03 Jun 2021 12:14PM

SINGAPURA: Para pakar penyakit berjangkit yakin bahawa vaksinasi adalah kunci utama dalam strategi jangka panjang COVID-19 Singapura.

Pengesanan kontak dianggap sebagai langkah yang paling lemah kerana ia memerlukan para individu untuk tampil dan memaklumkan pihak berkuasa jika mereka mengesyaki diri mereka dijangkiti virus tersebut.

Pakar-pakar memberitahu Mediacorp bahawa adalah penting untuk memperkenalkan lebih banyak wadah ujian seperti kit-kit ujian kendiri (DIY) untuk meringankan beban kos Pemerintah menjalankan ujian dan strategi itu dianggap lebih berdaya mampan.

Strategi serampang tiga mata itu merangkumi vaksinasi, pengesanan kontak dan ujian dan ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya kepada seluruh negara pada Isnin (31 Mei).

Dalam perutusannya itu, PM Lee turut mengongsi inisiatif-inisiatif khusus seperti memperkenalkan kit-kit ujian DIY yang dijual di kedai dan mengasingkan anggota keluarga kontak rapat kes COVID-19 untuk membendung penularan lanjut.

Menurut PM Lee, rakyat Singapura harus "belajar meneruskan kehidupan meskipun COVID-19 masih membelenggu kita".

Para pakar bersetuju bahawa strategi COVID-19 yang digariskan oleh PM Lee akan mempersiapkan Singapura menghadapi masa depan di mana COVID-19 adalah satu endemik.

"Ia adalah satu langkah yang pragmatik. Sejak sekian lama, para pakar kesihatan awam sudahpun mengatakan bahawa tidak mungkin dunia dapat melenyapkan koronavirus," kata Profesor Teo Yik Ying, dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Ini bermakna kami akan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya termasuk menjalankan vaksinasi untuk para penduduk dan membuat perancangan bagi suntikan tambahan demi membolehkan kehidupan dan ekonomi kita kembali seperti sebelum COVID-19."

Antara mereka yang menerima vaksinasi di pusat vaksinasi di Tanjong Pagar. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

VAKSINASI KUNCI UTAMA

Teras utama pendekatan strategi serampang tiga mata itu adalah vaksinasi, kata Profesor Dale Fisher, seorang pakar penyakit berjangkit dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS, kerana ia akan membawa Singapura ke "penghujung" imuniti kelompok.

Dalam ucapannya, PM Lee berkata Singapura boleh menjangkakan penghantaran vaksin yang lebih pantas sepanjang dua bulan mendatang dan para penduduk yang berusia 60 tahun ke atas kini boleh mengunjungi mana-mana pusat vaksinasi untuk divaksin tanpa sebarang janji temu.

Para pelajar juga akan divaksin dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tambah beliau, selepas lampu hijau diberikan kepada para pelajar yang berusia antara 12 hingga 15 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

"Vaksin itu mengubah (COVID-19) menjadi penyakit lebih ringan," jelas Dr Fisher, sambil merujuk kepada kes-kes di mana mereka yang dijangkiti virus tersebut tidak mengalami sebarang gejala yang serius selepas divaksin sepenuhnya.

"Sekiranya hanya segelintir penduduk yang memerlukan oksigen dan tiada kes kematian sedang mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala seperti sakit tekak dan hidung berair, maka itu tidak perlu lagi sekatan-sekatan (sebanyak sekarang ini)."

Bersetuju dengan Dr Fisher, Dr Teo berkata adalah jelas bahawa Singapura lebih bergantung kepada program vaksinasi secara besar-besaran sebagai strategi jangka panjang bagi menangani COVID-19.

KETERBATASAN PENGESANAN KONTAK

Dalam ucapannya, PM Lee berkata pihak berkuasa akan memperluaskan lagi pengesanan kontak dengan mengasingkan anggota keluarga kontak-kotak rapat yang dijangkiti COVID-19.

Para pakar akur bahawa usaha untuk mempertingkatkan pengesanan kontak adalah satu strategi yang kukuh.

Dr Teo merujuk kepada isu di mana varian-varian baru didapati lebih mudah berjangkit dan tempoh inkubasinya mungkin mengambil masa selama beberapa hari.

"Oleh itu, kontak-kontak serumah juga mungkin terjangkit dan boleh menjadi lebih berjangkit sebelum pengesanan kontak dapat mengesahkannya," katanya lagi.

Sungguhpun demikian, pengesanan kontak tidak boleh dilakukan terlalu kerap kerana ia akan memerlukan banyak tenaga kerja dan membebankan keluarga dari segi kewangan terutama sekali bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan Asia Pasifik, Profesor Paul Tambyah berkata bahawa langkah ini secara tidak sengaja mungkin menghambat sesetengah individu kerana bimbang mereka akan menyusahkan keluarga mereka sendiri.

"Ini terutama sekali bagi mereka yang berpendapatan rendah yang mungkin terjejas teruk sekiranya mereka tidak dapat bekerja disebabkan oleh kuarantin atau pengasingan diri," kata beliau.

NORMA BARU JELANG HUJUNG TAHUN INI?

Bagaimana rupa norma baru?

PM Lee berkata meskipun Singapura akan menyaksikan penularan-penularan kecil dari semasa ke semasa, akan tiba masanya di mana orang ramai boleh berkumpul bagi menghadiri acara-acara hiburan dan sukan, tidak perlu memakai pelitup di luar rumah dan boleh melancong ke negara-negara yang berisiko rendah.

Dr Fisher berkata Singapura boleh menjangkakan senario sedemikian seawal hujung tahun ini kerana ia seiring dengan garis masa apabila vaksin sudah diberikan kepada semua kumpulan usia.

"Sebaik saja jumlah kematian dan bilangan mereka yang dimasukkan ke hospital berkurangan, kita boleh melonggarkan sekatan dan apabila tiba masanya, Singapura akan dapat keluar daripada pandemik ini secara bertahap-tahap."

Namun, jika vaksin menjadi kunci utama untuk mencapai tahap imuniti kelompok, adalah usaha untuk mempertingkatkan ujian dan pengesanan kontak akan membebankan sumber sedia ada buat masa ini?

Tidak, jawab Dr Fisher. Ini kerana masih ada beberapa bulan lagi, antara sekarang dan sehingga Singapura mencapai imuniti kelompok, yang perlu ditempuhi oleh negara ini. Maka itu strategi-strategi berkenaan akan membolehkan negara ini mencapai matlamat tersebut dengan selamat.  

Sumber : Today/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan