Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak 6 bulan-4 tahun bermula 25 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak 6 bulan-4 tahun bermula 25 Okt

(Gambar: Joseph Prezioso/AFP)

Diterbitkan : 07 Oct 2022 07:23PM Dikemas Kini : 07 Oct 2022 07:42PM

SINGAPURA: Singapura akan mula menawarkan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun bermula 25 Oktober.

Demikian diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (7 Okt).

Kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun juga boleh menerima suntikan vaksin dos penggalak mereka mulai 25 Oktober, menurut MOH dalam kenyataan medianya.

Ini untuk "memastikan bahawa anak-anak kita mempunyai tahap minimum perlindungan dan memperbaharui perlindungan vaksin," tambah MOH.

Kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun boleh menerima vaksin Moderna/Spikevax bagi dua dos pertama mereka.

Mereka yang berusia antara lima hingga 11 tahun pula boleh menerima vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty bagi dos penggalak mereka.

"MOH menerima saranan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 (EC19V) bahawa kanak-kanak berusia enam bulan dan ke atas harus diberikan vaksinasi COVID-19," menurut kementeriaan itu lagi.

"Susuli kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi penggunaan vaksin Moderna/Spikevax untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun, EC19V menyarankan vaksin ini bagi dua dos pertama golongan usia tersebut."

Dos vaksin Moderna/Spikevax yang disarankan untuk golongan usia ini adalah dua dos, 25 mikrogram setiap kali, selang lapan minggu.

"Vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, iaitu vaksin tiga dos bagi kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun, juga sudah diluluskan dan kami sedang menunggu penghantarannya. Ia akan ditawarkan menjelang hujung tahun ini," tambah MOH.

DARI MRNA KE BIVALEN

MOH menyatakan ia akan menawarkan vaksin bivalen bagi dos penggalak lewat bulan ini.

"Vaksin bivalen yang diperbaharui akan memberikan perlindungan lebih baik terhadap varian-varian baru COVID-19," menurut MOH.

"Justeru, MOH akan menggantikan vaksin asli Moderna/Spikevax dengan versi bivalen yang diperbaharui mulai 17 Oktober 2022 bagi semua vaksinasi menggunakan vaksin Moderna/Spikevax, untuk semua orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.

"Oleh itu, bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas, atau bagi golongan yang belum menerima perlindungan minimum, memandangkan mereka berisiko tinggi mengalami penyakit serius akibat jangkitan COVID-19, mereka wajar mengambil vaksin bivalen."

Vaksin bivalen Pfizer/Comirnaty sedang menjalani penilaian dan dijangka disediakan menjelang hujung tahun ini, tambah MOH.

MOH juga mengumumkan ia akan beralih daripada sistem mengira suntikan yang sedia ada.

"Kami akan beralih kepada takrifan baru bagi vaksinasi yang dikemas kini dan tidak lagi mengira jumlah suntikan dan dos penggalak yang diterima."

"Ini serupa dengan vaksinasi influenza, di mana individu diambil mengambil suntikan secara berkala, untuk melindungi diri daripada jujukan baru endemik virus Influenza apabila ia timbul."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan