Vaksin Pfizer-BioNTech selamat bagi golongan usia 12 hingga 15, kata jawatankuasa pakar
Penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech ke atas kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun telah dinilai sebagai selamat dan berkesan, kata jawatankuasa pakar Singapura mengenai vaksinasi COVID-19 pada Jumaat (21 Mei) sebagai menjawab surat terbuka oleh 12 doktor.
Pekerja jagaan kesihatan memegang vakisn Pfizer-BioNTech. (Gambar: Behrouz Mehri/Pool via REUTERS)
SINGAPURA: Penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech ke atas kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun telah dinilai sebagai selamat dan berkesan, kata jawatankuasa pakar Singapura mengenai vaksinasi COVID-19 pada Jumaat (21 Mei) sebagai menjawab surat terbuka oleh 12 doktor.
Para doktor itu meminta kanak-kanak diberi jenis vaksin COVID-19 lain - dan bukan vaksin mRNA - dengan mengatakan "kesan sampingan jangka panjang tidak diketahui dan belum dikaji" bagi vaksin mRNA.
Dua vaksin COVID-19 yang diluluskan untuk penggunaan di Singapura - Pfizer-BioNTech dan Moderna - kedua-duanya berasaskan teknologi mRNA.
"Vaksin Pfizer-BioNTech buat masa ini adalah satu-satunya vaksin COVID-19 di mana-mana saja di dunia yang telah diluluskan untuk penggunaan pada remaja berusia 12 hingga 15 tahun," menurut jawatankuasa pakar itu.
"HSA (Penguasa Sains Kesihatan) dan Jawatankuasa Pakar telah mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 berdasarkan ujian klinikal untuk individu dalam kumpulan usia ini.
"Profil keselamatan vaksin ini konsisten dengan profil keselamatan yang diketahui dalam kalangan penduduk golongan dewasa dan piawai yang ditetapkan untuk vaksin berdaftar lain yang digunakan dalam imunisasi terhadap penyakit-penyakit lain."
Jawatankuasa pakar itu menarik perhatian bahawa 11 daripada 12 doktor yang disebut dalam surat terbuka itu sejak itu telah menarik balik kenyataan mereka.
Awal minggu ini pihak berkuasa mengumumkan bahawa kanak-kanak berusia antara 12 hingga 15 tahun akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech.
Penduduk Singapura, termasuk remaja, berisiko dijangkiti dan menyebarkan COVID-19 kepada kontak rapat mereka, kata jawatankuasa pakar itu pada Jumaat, dengan merujuk kepada kes-kes baru-baru ini melibatkan pelajar yang positif dan menyebarkan virus tersebut kepada ahli keluarga dan rakan sekolah mereka.
Jawatankuasa pakar itu menyatakan walaupun pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa penyakit COVID-19 kelihatan lebih ringan dalam kalangan golongan usia lebih muda, "masih terdapat risiko komplikasi dan gejala yang berpanjangan pada kanak-kanak dan remaja".
Oleh itu, mereka yang layak disarankan patut menerima vaksin itu, tambah jawatankuasa tersebut.
"Vaksin COVID-19 tidak boleh mengubah DNA anda. Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech terdiri daripada RNA pengirim yang mengandungi arahan untuk membolehkan penerima vaksin membina komponen protein virus SARS-CoV-2," jelas jawatankuasa pakar itu.
Lebih daripada 200 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech telah diberikan di seluruh dunia, tanpa bukti kesan sampingan yang serius selain anafilaksis, kata jawatankuasa pakar itu.
Ia menambah bahawa pihak berkuasa akan terus memantau dan mengkaji bukti dan maklumat yang muncul daripada kajian lanjut mengenai keselamatan dan keberkesanan jangka panjang vaksin.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.