Vaksin Pfizer-BioNTech diluluskan bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun di S'pura
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech COVID-19 telah diluluskan oleh HSA untuk digunakan bagi kanak-kanak berusia antara 12 hingga 15 tahun. Mulai Rabu pula, mereka yang berumur 40 hingga 44 tahun juga akan diundang untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi mereka.
Gambar: REUTERS
SINGAPURA: Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech COVID-19 telah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk digunakan bagi kanak-kanak berusia antara 12 dengan 15 tahun, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (18 Mei).
Mulai Rabu, mereka yang berumur 40 hingga 44 tahun juga akan diundang untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi mereka, tambah Encik Ong.
VAKSINASI UNTUK MEREKA BERUMUR 12 HINGGA 15 TAHUN
Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian, Encik Ong berkata: “Jawatankuasa pakar kami mengenai vaksinasi COVID-19 juga telah memberi sokongan mereka.
"Kedua-dua pasukan telah menilai bahawa vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech menunjukkan tahap keberkesanan dan keselamatan yang tinggi untuk kumpulan usia 12 hingga 15 tahun ini, selaras dengan apa yang telah kami perhatikan untuk penduduk dewasa."
Kementerian Kesihatan (MOH) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai program vaksinasi bagi golongan usia ini dan menyediakan perkembangan lanjut pada masa yang sesuai, menurut MOH.
Ini adalah vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan bagi kegunaan di Singapura untuk kumpulan usia ini.
"Data menunjukkan bahawa vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech menunjukkan tahap keberkesanan tinggi selaras dengan yang diperhatikan dalam kalangan penduduk dewasa," tambah MOH.
"Profil keselamatannya juga selaras dengan profil keselamatan yang diketahui dalam kalangan penduduk dewasa dan piawaian yang ditetapkan untuk vaksin berdaftar lain yang digunakan dalam imunisasi terhadap penyakit lain."
Ini menyusuli pengumuman MOE pada Ahad bahawa semua sekolah akan beralih ke pembelajaran dari rumah mulai Rabu (19 Mei) hingga akhir penggal pada 28 Mei, setelah beberapa pelajar sekolah rendah diuji positif COVID-19. Banyak kes terkait dengan pusat tuisyen.
VAKSINASI UNTUK GOLONGAN BERUSIA 40-44 TAHUN
Mulai Rabu, golongan berusia 40 hingga 44 tahun juga akan dijemput untuk mendaftar bagi vaksinasi mereka, umum Encik Ong.
"Bekalan vaksin kami terus masuk, tetapi tetap terhad memandangkan permintaan global yang tinggi. Kami akan meneruskan program vaksinasi kami, tetapi sekarang dalam kumpulan jarak usia lima tahun, bermula dengan mereka yang berumur 40 hingga 44 tahun, dan secara bertahap-tahap beralih ke kumpulan usia yang lebih muda,” jelas MOH.
Individu-individu boleh mendaftar secara online melalui vaccine.gov.sg, dan mereka akan menerima mesej pengesahan melalui SMS selepas pendaftaran.
SMS berasingan dengan pautan tempahan tersendiri untuk membuat janji temu vaksinasi kemudiannya akan dihantar secara bertahap-tahap untuk menjemput individu yang memenuhi syarat berdasarkan dahulu didahulukan bergantung kepada bila mereka mendaftar.
Mereka boleh menjangkakan untuk menerima pesanan ini dalam masa satu hingga dua minggu setelah pendaftaran, dengan slot yang tersedia hingga pertengahan Jun, tambah Kementerian Kesihatan.
Mereka yang sebelum ini telah mendaftarkan minat mereka tidak perlu mendaftar lagi, dan lebih banyak slot vaksinasi akan disediakan apabila lebih banyak bekalan tiba, menurut MOH.
“Kami menepati rancangan bagi program vaksinasi COVID-19 kami. Sekiranya bekalan kami tiba seperti yang dijadualkan, kami menjangkakan dapat menyelesaikan program vaksinasi menjelang akhir tahun ini," tambah kementerian itu.
"Kami sangat menggalakkan semua orang yang layak dari segi perubatan untuk mendaftarkan minat mereka dan mendapatkan vaksin apabila mereka ditawarkan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.