Skip to main content

Singapura

Vaksin Novavax, isu babit pemegang pas kerja akan dibincang di Parlimen

Kemas kini mengenai kelulusan kawal selia vaksin COVID-19 Novavax dan risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima suntikan vaksin adalah antara isu-isu yang akan dibahaskan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (2 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin Novavax, isu babit pemegang pas kerja akan dibincang di Parlimen

Gambar fail Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 30 Jul 2021 09:25PM Dikemas Kini : 30 Jul 2021 09:30PM

SINGAPURA: Kemas kini mengenai kelulusan kawal selia vaksin COVID-19 Novavax dan risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima suntikan vaksin adalah antara isu-isu yang akan dibahaskan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (2 Ogos).

Anggota Parlimen Gerald Giam (WP-Aljunied) mengemukakan soalan mengenai bila Singapura dijangka akan menerima penghantaran pertama vaksin Novavax dan sama ada terdapat rancangan untuk mempercepatkan kelulusannya di negara ini.

AP Saktiandi Supaat (PAP-Bishan Toa Payoh) pula mengajukan pertanyaan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang sama ada cuti khas boleh diberikan kepada ibu bapa untuk menjaga anak mereka apabila sebuah prasekolah atau sekolah diarahkan supaya ditutup kerana dikaitkan dengan kes-kes COVID-19.

AP He Ting Ru (WP-Sengkang) pula mengemukakan pertanyaan tentang tahap penilaian risiko kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang belum layak mendapatkan vaksin setelah pemerintah menguatkuasakan semula Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Isu-isu lain dalam agenda termasuk sijil pendidikan palsu atau dipalsukan yang diserahkan oleh pemegang pas kerja dan pemegang Pas S. AP Gan Thiam Poh (PAP-Ang Mo Kio) bertanya berapa ramai daripada pemegang pas dalam sektor ICT yang berbuat demikian sepanjang tempoh tiga tahun lalu dan sama ada MOM akan bekerjasama dengan institusi-institusi pendidikan luar negara yang bertauliah untuk meluluskan pas kerja sedemikian.

AP Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) memfailkan soalan tentang syarikat-syarikat pembersihan berlesen yang gagal mematuhi Model Gaji Progresif dan tindakan yang diambil ke atas syarikat-syarikat tersebut.

AP Louis Ng (PAP-Nee Soon) pula akan bertanya tentang serpihan daripada pembuangan sisa kapal dan dari negara-negara jiran serta data berkaitan perkara tersebut sepanjang lima tahun lalu.

Encik Ng juga akan menanyakan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tentang statistik mengenai gaji permulaan pekerja sosial dan jika kementerian itu merancang untuk menyarankan gaji permulaan lebih tinggi bagi pekerja sedemikian.

Dua rang undang-undang akan diperkenalkan - Rang Undang-Undang Jenayah (Pindaan-Pindaan Lain) dan Rang Undang-undang Perlindungan dan Pengurusan Persekitaran.

Ketiga-tiga Rang Undang-Undang itu akan dibentangkan buat bacaan kali kedua termasuk Rang Undang-Undang Skim Simpanan Bersama Pembangunan Anak (Bonus Bayi). Jika diluluskan, ibu bapa yang buat masa ini tidak layak mendapat cuti bersalin dan cuti paterniti disebabkan oleh aturan kerja tertentu mendapat faedah tunai.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita