Skip to main content

Singapura

Vaksin HPV9 dimasukkan dalam jadual imunisasi nasional mulai Jan 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin HPV9 dimasukkan dalam jadual imunisasi nasional mulai Jan 2027

Sekotak vaksin Gardasil 9 bagi papillomavirus manusia (HPV). (Gambar fail: AFP/Patrick T Fallon)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 07:58PM
  • Mulai 1 Januari 2027, MOH, HPB dan CDA akan memasukkan HPV9 dalam jadual imunisasi nasional dan senarai vaksin bersubsidi untuk wanita warga Singapura dan PR yang layak.
  • HPV9 memberi perlindungan lebih luas terhadap barah serviks berbanding HPV2 kerana meliputi jenis HPV tambahan, sementara HPV2 kekal sebagai pilihan alternatif.
  • Dalam program sekolah HPB, HPV9 akan menggantikan HPV2 bagi pelajar perempuan Menengah 1 dan 2 yang belum memulakan atau melengkapkan vaksinasi.
  • Subsidi penuh atau berperingkat serta penggunaan MediSave akan tersedia mengikut kelayakan di klinik GP CHAS dan poliklinik, tetapi bukan untuk dos tambahan yang tidak disarankan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Vaksin papillomavirus manusia 9-valent (HPV9) akan dimasukkan dalam jadual imunisasi nasional mulai tahun depan, sekali gus memberi wanita warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang layak perlindungan lebih luas terhadap barah serviks, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat (2 Okt).

Mulai 1 Januari 2027, vaksin HPV9 akan dimasukkan dalam Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Nasional (NCIS), Jadual Imunisasi Dewasa Nasional (NAIS) dan Senarai Vaksin Bersubsidi (SVL), menurut Kementerian Kesihatan (MOH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam kenyataan bersama.

“Vaksin HPV9, yang turut dikenali sebagai Gardasil 9, akan dimasukkan dalam NCIS dan NAIS bagi wanita berusia sembilan hingga 26 tahun,” menurut pihak berkuasa. “Vaksin HPV2, yang turut dikenali sebagai Cervarix, akan kekal dalam kedua-dua jadual sebagai pilihan alternatif.”

Papillomavirus manusia atau HPV merupakan jangkitan kelamin paling lazim di seluruh dunia, dengan hampir 80 peratus lelaki dan wanita dijangkiti pada suatu ketika dalam kehidupan mereka. Ia boleh menyebabkan barah serviks serta barah dubur, tekak, vulva, faraj dan zakar.

Di Singapura, vaksinasi HPV disarankan bagi wanita berusia sembilan hingga 26 tahun untuk mencegah barah serviks.

“Kedua-dua vaksin HPV2 dan HPV9 melindungi daripada HPV jenis 16 dan 18, yang menyebabkan 70 peratus daripada semua kes barah serviks,” menurut MOH, HPB dan CDA.

“Vaksin HPV9 memberikan perlindungan lebih luas kerana turut melindungi daripada jenis HPV tambahan yang menyebabkan 20 peratus lagi kes barah serviks, sekali gus meningkatkan liputan keseluruhannya kepada kira-kira 90 peratus.”

Di bawah saranan yang dikemas kini, wanita yang belum divaksin boleh memulakan siri vaksinasi dengan sama ada HPV2 atau HPV9.

Dua dos disarankan bagi mereka yang menerima dos pertama pada usia sembilan hingga 14 tahun, manakala tiga dos disarankan bagi mereka yang menerima dos pertama pada usia 15 hingga 26 tahun.

Jika vaksinasi HPV sudah dimulakan tetapi belum diselesaikan sebelum usia 26 tahun, baki dos boleh diambil selepas usia tersebut secepat mungkin dan sehingga usia 45 tahun, menurut pihak berkuasa.

Wanita yang memulakan siri vaksinasi dengan HPV2 atau HPV4 dan masih mempunyai baki dos boleh melengkapkannya dengan HPV9. HPV4, yang sebelum ini dikenali sebagai Gardasil, tidak lagi tersedia di Singapura dan sudah dikeluarkan daripada NCIS dan NAIS.

“Kajian menunjukkan bahawa jadual vaksinasi HPV campuran sedemikian adalah selamat dan memberikan perlindungan terhadap jenis HPV yang diliputi kedua-dua vaksin,” menurut MOH, HPB dan CDA.

Mereka yang sudah melengkapkan jadual vaksinasi HPV yang disarankan tidak perlu menerima dos tambahan HPV9.

HPV9 GANTI HPV2 DI SEKOLAH

Di bawah program vaksinasi HPV berasaskan sekolah HPB, pelajar perempuan Menengah 1 dan 2 ditawarkan vaksinasi HPV secara percuma.

Mulai 1 Januari 2027, HPV9 akan menggantikan HPV2 bagi pelajar perempuan yang belum memulakan atau melengkapkan siri vaksinasi mereka di bawah program tersebut. Pelajar perempuan kohort Menengah 1 pada 2026 yang menerima HPV2 sebagai dos pertama akan menerima HPV9 sebagai dos kedua pada 2027.

Menurut laman vaksinasi MOH, HPV2 didaftarkan untuk digunakan oleh wanita, manakala HPV9 didaftarkan bagi lelaki dan wanita. Subsidi pemerintah dan MediSave buat masa ini tidak tersedia bagi vaksinasi HPV9.

Mulai 1 Januari 2027, kanak-kanak warga Singapura yang layak akan menerima subsidi penuh bagi vaksinasi HPV9 di klinik GP CHAS dan poliklinik. Warga Singapura dewasa yang layak pula boleh menerima subsidi berdasarkan kemampuan sehingga 75 peratus di kemudahan tersebut.

PR yang layak boleh menerima subsidi di poliklinik.

Penggunaan MediSave juga akan diperluas kepada vaksinasi HPV9 bagi golongan yang disarankan mulai 1 Januari, tertakluk kepada had pengeluaran MediSave bagi Rawatan Kronik dan Pencegahan yang berkuat kuasa.

Subsidi vaksinasi dan penggunaan MediSave tidak akan diberikan bagi dos tambahan HPV9 kepada mereka yang sudah melengkapkan jumlah dos yang disarankan.

Individu yang layak boleh membuat janji temu vaksinasi HPV di klinik GP CHAS yang mengambil bahagian atau di poliklinik. Vaksinasi HPV9 di bawah jadual yang dikemas kini akan disediakan mulai 1 Januari.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita