Skip to main content

Singapura

Vaksin COVID-19 versi terkini ditawarkan di lebih 600 GP dan 10 poliklinik mulai 27 Okt

Versi terkini bagi vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna akan mula diedarkan di seluruh Singapura mulai 27 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin COVID-19 versi terkini ditawarkan di lebih 600 GP dan 10 poliklinik mulai 27 Okt

Botol dengan label vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Versi terkini bagi vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna akan mula diedarkan di seluruh Singapura mulai 27 Oktober.

Vaksin yang dikemas kini itu akan tersedia di lebih 600 klinik swasta (GP) di bawah program vaksinasi nasional serta 10 poliklinik, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (24 Okt).

Vaksin tersebut juga akan ditawarkan oleh pasukan vaksinasi mudah alih yang dikerahkan di seluruh Singapura.

Vaksin baharu itu menyasarkan varian LP.8.1 terkini virus tersebut, yang dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Januari sebagai satu varian yang perlu dipantau.

“Vaksin yang dikemas kini ini, yang diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA), memberikan perlindungan lebih baik terhadap strain COVID-19 semasa dan yang sedang muncul berbanding versi sebelumnya,” menurut CDA.

“Profil keselamatannya juga setanding dengan versi terdahulu.”

Di bawah Program Vaksinasi Nasional Singapura, vaksin COVID-19 diberikan secara percuma kepada semua individu yang layak.

CDA menasihatkan agar individu yang berisiko tinggi mengalami gejala COVID-19 yang teruk untuk mendapatkan vaksin tersebut. Kumpulan ini termasuk: individu berumur 60 tahun ke atas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan berumur enam bulan ke atas, serta para penghuni kemudahan jagaan warga emas.

Petugas kesihatan dan individu yang tinggal atau bekerja bersama mereka yang berisiko tinggi juga disarankan untuk mendapatkan vaksin tersebut.

“Individu lain berumur enam bulan ke atas yang ingin mendapatkan vaksin COVID-19 juga boleh berbuat demikian,” menurut CDA.

Bagi individu yang belum divaksin dan menerima vaksin COVID-19 pada 2025 atau 2026, dua dos perlu diambil dengan jarak lapan minggu antara setiap dos bagi mereka yang berumur antara enam bulan hingga empat tahun. Bagi mereka yang berumur lima tahun ke atas, hanya satu dos diperlukan.

Individu yang sudah divaksin dan berumur enam bulan ke atas yang menerima dos tambahan pada 2025 atau 2026 disarankan untuk mengambilnya dalam tempoh kira-kira setahun, dan sekurang-kurangnya lima bulan, selepas dos terakhir mereka.

“Gelombang COVID-19 akan terus berlaku dari semasa ke semasa dan boleh menyebabkan penyakit serius dalam kalangan golongan warga emas atau mereka yang berisiko tinggi,” menurut CDA.

“Bagi meningkatkan perlindungan mereka daripada penyakit yang teruk, kami menggalakkan semua orang agar kekal mendapatkan vaksinasi berdasarkan saranan semasa, sama seperti vaksinasi terhadap influenza.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita