Skip to main content

Singapura

Vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak 5-11 tahun: Apa yang anda perlu tahu?

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak 5-11 tahun: Apa yang anda perlu tahu?

Bebuli vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak. (Gambar: Pfizer)

Diterbitkan : 21 Dec 2021 04:35PM Dikemas Kini : 22 Dec 2021 12:14AM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) mengumumkan permulaan program vaksin untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada Selasa (21 Dis).

Singapore meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 untuk kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut pada awal bulan ini. Vaksinasi akan dijalankan seperti yang sudah dirancang, dengan ketibaan penghantaran pertama vaksin pediatrik dijangka sampai esok (22 Dis) menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Berikut ini apa yang anda perlu tahu tentang program vaksinasi untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut:

BILA VAKSINASI AKAN BERMULA?

Vaksinasi akan bermula pada Isnin (27 Dis), dengan kanak-kanak yang lebih tua akan diberikan suntikan vaksin terlebih dahulu daripada kanak-kanak yang lebih kecil. Tempahan slot akan bermula esok untuk ibu bapa kepada pelajar Darjah 4 hingga Darjah 6, di sekolah-sekolah MOE, di bawah usia 12 tahun pada tahun 2022.

Ibu bapa kepada anak yang lahir antara 2009 dengan 2012, tidak kira jenis sekolah termasuk yang belajar di sekolah antarabangsa dan mereka yang disekolahkan di rumah, boleh mendaftar bagi program vaksinasi untuk anak mereka mulai Isnin (27 Dis) melalui sistem pendaftaran nasional.

Selepas mendaftarkan diri melalui child.vaccine.gov.sg, ibu bapa atau penjaga akan menerima pautan unik menerusi SMS, yang dihantar dalam tempoh tiga hingga lima hari, untuk membuat janji temu bagi slot vaksinasi.

Mulai minggu yang bermula 3 Januari tahun depan (3-9 Jan), ibu bapa dan penjaga murid Darjah 1 hingga Darjah 3 di sekolah rendah MOE akan secara bertahap-tahap menerima pautan unik melalui SMS untuk menempah janji temu vaksinasi, menurut MOE dan ECDA.

Mulai minggu yang bermula pada 10 Januari (10-16 Jan), ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas boleh terus mendaftarkan minat mereka melalui sistem pendaftaran janji temu nasional. Mereka juga akan menerima pautan unik melalui SMS untuk membuat janji temu vaksinasi.

Kanak-kanak harus melepasi hari jadi yang kelima tahun sebelum mereka layak membuat pendaftaran dan menerima vaksinasi.

Pelajar sekolah rendah daripada madrasah juga akan mengikut aturan yang sama seperti sekolah rendah MOE. Ibu bapa dan penjaga mereka juga akan menerima pautan unik melalui SMS untuk membuat janji temu vaksinasi.

DI MANAKAH VAKSINASI INI AKAN DIADAKAN?

Lima belas pusat vaksinasi pediatrik akan dibuka di merata Singapura. Tujuh pusat berikut akan mula beroperasi pada 27 Disember:

  • Kelab Masyarakat Senja-Cashew
  • Kelab Masyarakat Nanyang
  • Hab Tampines Kita (OTH)
  • Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias
  • Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy
  • Kelab Masyarakat Nee Soon East
  • Kelab Masyarakat Hougang


Lagi tujuh pusat vaksinasi akan bermula operasi pada Isnin (3 Jan):

  • Kelab Masyarakat Clementi
  • Bekas Sekolah Menengah Hong Kah
  • Kelab Masyarakat Queenstown
  • Kelab Masyarakat Toa Payoh West
  • Kelab Masyarakat Jalan Besar
  • Kelab Masyarakat Marine Parade
  • Kelab Masyarakat The Serangoon

Satu lagi pusat vaksinasi, iaitu di Sekolah Menengah Yusof Ishak (Kampus Punggol), akan memulakan vaksinasi pada 11 Jan.

APA YANG PERLU IBU BAPA ATAU PENJAGA BAWA KE PUSAT VAKSINASI?

Ibu bapa harus membawa kad pengenalan diri kanak-kanak itu, atau lain-lain bentuk pengenalan diri, seperti sijil kelahiran atau pasport, bagi tujuan pengesahan.

Mereka yang mendaftar melalui sistem janji temu nasional juga perlu menandatangani borang kebenaran ibu bapa dan membawa bersama salinannya atau salinan digital ke pusat vaksinasi bagi tujuan pengesahan. Borang kebenaran ibu bapa boleh diperolehi daripada sistem tersebut.

Hanya satu orang dewasa sahaja yang dibenarkan untuk menemani pelajar tersebut demi mematuhi langkah keselamatan di pusat vaksinasi.

BAGAIMANA PULA DENGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS?

Untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah -sekolah pendidikan khas dan pusat Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (EIPIC) yang dibiayai ECDA, MOH akan menempatkan pasukan vaksinasi di lokasi-lokasi tersebut untuk semua murid yang layak mulai 12 Januari.

Ibu bapa ataupun penjaga boleh memilih sama ada anak mereka menerima vaksinasi menerusi pasukan vaksinasi bergerak itu atau mendaftar melalui sistem janji temu nasional untuk anak mereka mendapatkan vaksinasi di pusat vaksinasi pediatrik, menurut MOE dan ECDA.

Sekolah pendidikan khas dan pusat EIPIC akan mengongsikan arahan dan garis panduan pendaftaran dengan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu.

Ibu bapa kepada pelajar berkeperluan khas yang tidak menghadiri sekolah dan pusat EIPIC boleh mendaftarkan minat mereka melalui sistem janji temu nasional apabila umur anak mereka itu sudah mencecah usia layak untuk mendaftar.

VAKSIN INI SELAMAT?

MOE dan ECDA menyatakan bahawa percubaan klinikal fasa tiga vaksin itu menunjukkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut.

Jawatankuasa Pakar Vaksinasi COVID-19 sudah menilai bahawa "manfaat vaksinasi jauh melebihi risikonya", tambah agensi itu.

Pada masa ini, vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech/Comirnaty merupakan hanya satu vaksin yang diluluskan buat anak berusia lima hingga 11 tahun di Singapura.

ADAKAH ANAK YANG TIDAK DIVAKSIN DILAYAN SAMA SEPERTI MEREKA YANG DIVAKSIN?

MOH pada awal Disember menyatakan tidak ada perancangan untuk memperkenalkan langkah keselamatan yang dibezakan kepada kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah.

"Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan anak-anak kita dilindungi menerusi vaksinasi," tambah MOH.

MOE menyatakan dalam sidang media hari ini (21 Dis) bahawa kanak-kanak yang tidak divaksin, yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang "lebih berisiko", perlu melakukan "perkara yang sewajarnya" dan mengikut peraturan keselamatan negara.
 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita