Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksin COVID-19 tamat tempoh bernilai S$140 juta 'insurans' cegah banyak kematian & kesan ekonomi lebih buruk

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Mar 2023 05:48PM Dikemas Kini : 21 Mar 2023 10:23PM
SINGAPURA: Sekitar 15 peratus dos vaksin COVID-19 Singapura yang bernilai S$140 juta sudah tamat tempoh, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Selasa (21 Mac), yang turut menyifatkannya sebagai kos yang Singapura bersedia untuk menanggungnya.

"Vaksin yang tidak digunakan dan tamat tempoh adalah satu premium insurans - kos yang sedia ditanggung untuk mengelakkan risiko kesan yang dahsyat," tambahnya.

Encik Ong menarik perhatian, sebelum vaksin COVID-19 ditawarkan, Singapura melaksanakan "langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19" pada April 2020 dalam usaha untuk membendung pandemik tersebut.

"Langkah memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sepanjang dua bulan itu menyebabkan kerugian Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kira-kira S$11 bilion. Dan kami membelanjakan tambahan S$60 bilion sepanjang dua tahun kewangan untuk mengurangkan kesulitan perniagaan dan para pekerja, selain keperitan dan kesukaran yang harus dilalui keluarga-keluarga," kata Menteri Kesihatan itu.

"Tanpa vaksin, kami sudah tentu perlu melaksanakan lebih banyak langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sewaktu gelombang Delta dan Omicron pada lewat 2021 dan kemudian sepanjang 2022. Tetapi kami tidak perlu berbuat demikian disebabkan vaksin itu - kami mendapatkan vaksin lebih awal dan ia melindungi kita."

"Lebih penting lagi, pendekatan kita mengelakkan banyak kematian akibat jangkitan COVID-19 dan melindungi rakyat Singapura."

Berucap sewaktu perbahasan mengenai Kertas Putih berhubung tindak balas Singapura terhadap COVID-19, Encik Ong berkata Singapura "sengaja mendapatkan lebih banyak (vaksin)" bagi mengurangkan ketidaktentuan beberapa calon vaksin tertentu yang tidak berkesan dan kemungkinan berlaku gangguan pada rantaian bekalan.

Ini juga bermakna lebih banyak stok vaksin yang akan tamat tempoh.

Kertas Putih yang merujuk kepada semakan yang dilakukan oleh mantan Ketua Perkhidmatan Awam Peter Ho, membuat kesimpulan bahawa strategi vaksin COVID-19 Singapura membuahkan hasil.

Pemerintah "sejak awal lagi" menyedari bahawa vaksin merupakan strategi yang mungkin paling berkesan untuk menangani COVID-19 dan berusaha untuk mendapatkan vaksin itu pada peringkat awal, menurut Kertas Putih yang dikeluarkan awal bulan ini.

Ini bermakna Singapura harus "berani menampung kos yang tinggi", pengubah keadaan, sebelum langkah percubaan tamat dijalankan, tambahnya.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Oktober lalu menyatakan, sekitar 10 peratus stok vaksin COVID-19 Singapura sudah tamat tempoh. Disebabkan perjanjian sulit bersama pembekal vaksin, perincian lanjut tidak didedahkan pada waktu itu, kata Encik Ong.

Semasa memberikan kemas kini mengenai perangkaannya pada Selasa, Encik Ong menjelaskan: "Saya lebih cenderung untuk bersikap lebih telus dan jujur mengenai maklumat berkenaan. Kami sudahpun berbincang dengan pembekal vaksin dan mereka bersetuju bahawa kami boleh mendedahkan nilai keseluruhan vaksin yang tamat tempoh, selagi kami tidak mendedahkan pembahagian lanjut jumlah yang membolehkan masyarakat untuk menganggarkan kos bagi setiap dos vaksin."

Singapura sudah cuba untuk mendermakan lebihan vaksin tetapi tiada pihak yang mahu mendapatkannya kerana terdapat lebihan bekalan vaksin di seluruh dunia.

"Pengilang sudahpun meningkatkan keupayaan penghasilan mereka dan permintaan pula merosot sedang keadaan pandemik menjadi stabil," ujar Encik Ong.

Beliau juga menambah bahawa walaupun peratusan vaksin yang tamat tempoh dijangka menghampiri 25 peratus sedang lebih banyak vaksin bakal tamat tempoh, ia akan "menjadi stabil" selepas itu.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan