Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksin COVID-19 Sinovac dimasukkan dalam program vaksinasi nasional Singapura

Tiga dos vaksin Sinovac-CoronaVac akan ditawarkan di bawah program vaksinasi COVID-19 negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin COVID-19 Sinovac dimasukkan dalam program vaksinasi nasional Singapura

Vaksin Sinovac. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 23 Oct 2021 05:01PM Dikemas Kini : 23 Oct 2021 05:04PM

SINGAPURA: Vaksin COVID-19 Sinovac-CoronaVac akan dimasukkan dalam program vaksinasi nasional Singapura, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (23 Okt).

Ia sudah diberikan kelulusan sementara di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR).

MOH menyatakan meskipun kadar vaksinasi tempatan adalah tinggi - lebih 90 peratus dalam golongan usia yang layak - ada sebilangan orang yang memilih untuk tidak mengambil vaksin mRNA kerana "pilihan peribadi yang kuat".

"Demi memastikan semua orang mendapat perlindungan baik terhadap COVID-19, kami akan menawarkan rejim tiga dos Sinovac-CoronaVac di bawah program vaksinasi nasional kepada mereka yang belum selesai vaksinasi lengkap mereka, termasuk mereka yang telah hanya menerima satu atau dua dos Sinovac-CoronaVac sebelum ini," menurut MOH.

Pihaknya menambah bahawa mereka yang tidak dapat mengambil sebarang dos vaksin mRNA atas sebab perubatan harus mendapatkan tiga dos vaksin Sinovac.

"Mereka yang memulakan vaksinasi menggunakan vaksin mRNA tetapi mengalami alahan atau reaksi buruk yang teruk selepas dos pertama vaksin mRNA harus melengkapkan rejim tiga dos dengan dua lagi dos menggunakan Sinovac-CoronaVac," tambah kementerian itu.

"Jika tindak balas alahan berlaku selepas dos kedua vaksin mRNA, maka individur itu harus mengambil satu lagi dos SinovacCoronaVac sebagai vaksin perangsang apabila mereka layak untuk mendapat suntikan dos ketiga."

VAKSIN mRNA TETAP DIUTAMAKAN, LEBIH BERKESAN: JAWATANKUASA PAKAR

Namun seperti yang disarankan oleh jawatankuasa pakar mengenai vaksinasi COVID-19, mereka yang boleh mengambil vaksin mRNA seharusnya mengambil dua dos suntikan itu, kata MOH.

Ini disebabkan keberkesanan vaksin Sinovac-CoronoVac yang lebih rendah berbanding dengan vaksin mRNA, tambahnya.

Selain itu, mereka yang hanya menerima satu atau dua dos vaksin Sinovac setakat ini, "sangat digalakkan" untuk melengkapkan rejimen siri tiga dos utama dengan vaksin mRNA kerana ia menawarkan perlindungan yang lebih "optimum", kata kementerian itu.

Sinovac-CoronaVac tidak akan ditawarkan sebagai dos perangsang bagi mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin mRNA dan tidak mengalami alahan atau tindak balas buruk yang teruk. Bagi kumpulan ini, dos ketiga vaksin mRNA akan ditawarkan kepada mereka sebagai dos perangsang.

SINOVAC TIDAK DILULUS BAGI 12-17 TAHUN

MOH juga menyatakan bahawa vaksin Sinovac-CoronaVac belum diluluskan untuk kegunaan umum bagi mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun.

"Ini tidak termasuk dalam permohonan Sinovac dan juga selaras dengan penggunaan yang diluluskan WHO di bawah Senarai Penggunaan Kecemasan. Walau bagaimanapun, bagi mereka dalam lingkungan usia ini yang secara perubatan tidak layak untuk melengkapkan rejim dua dos penuh vaksin mRNA Pfizer-BioNTech/Comirnaty, kami akan menawarkan siri utama tiga dos menggunakan Sinovac-CoronaVac di bawah program kesihatan awam khas," kata MOH.

Individu-individu ini akan "dipantau rapi" oleh kakitangan perubatan terlatih di bawah program kesihatan awam tersebut, memandangkan penggunaan vaksin Sinovac-CoronaVac bagi mereka di bawah umur 18 tahun tidak termasuk dalam kebenaran sementara PSAR HSA.

Pihak kementerian akan menghubungi mereka yang layak dalam kumpulan umur ini mengenai bagaimana mereka boleh menerima vaksin itu dengan selamat.

Sedang negara mengalihkan penggunan Sinovac-CoronaVac kepada rejim tiga dos, penyesuaian perlu dilakukan terhadap status vaksinasi mereka yang sudah mengambil dua dos vaksin, dengan mengambil kira selang waktu 90 hari antara dos kedua dengan ketiga, kata MOH.

Oleh itu, semua individu yang sudah mengambil dua dos Sinovac akan dianggap sudah diberi vaksin sepenuhnya selama empat bulan selepas dos kedua, atau hingga 31 Disember, mana yang lebih lewat.

"Aturan ini akan memberi cukup masa bagi individu untuk mendapatkan dos ketiga dan mengekalkan status vaksinasi mereka. Peraturan yang sama akan diguna pakai bagi mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Sinopharm," kata kementerian itu.

"Bagi pelawat, kami akur bahawa ramai mungkin sudah mengambil hanya dua dos Sinovac-CoronaVac di negara asal mereka, dan kami akan menganggap mereka yang mempunyai dua dos sebagai sudah divaksin, tetapi hanya untuk tempoh terhad selama 30 hari."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan