Skip to main content

Singapura

Vaksin COVID-19 Novavax tersedia di beberapa klinik GP hingga 31 Mei 2026

Vaksin COVID-19 JN.1 Novavax/Nuvaxovid akan ditawarkan di klinik swasta (GP) terpilih di bawah Program Vaksinasi Nasional mulai Jumaat (2 Jan) hingga 31 Mei 2026.
Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin COVID-19 Novavax tersedia di beberapa klinik GP hingga 31 Mei 2026
Vaksin COVID-19 JN.1 Novavax/Nuvaxovid merupakan alternatif kepada vaksin LP.8.1 Pfizer-BioNTech dan Moderna. (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)
SINGAPURA: Vaksin COVID-19 JN.1 Novavax/Nuvaxovid akan ditawarkan di klinik swasta (GP) terpilih di bawah Program Vaksinasi Nasional mulai Jumaat (2 Jan) hingga 31 Mei 2026.

Vaksin JN.1 Novavax merupakan alternatif kepada vaksin LP.8.1 Pfizer-BioNTech dan Moderna yang mula ditawarkan pada Oktober 2025.

“Kedua-dua strain vaksin dijangka memberikan perlindungan tambahan terhadap penyakit teruk,” menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Vaksin itu sebelum ini ditawarkan di beberapa klinik GP sehingga 30 April, selepas Penguasa Sains Kesihatan meluluskan penggunaannya di Singapura bagi individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Para individu yang belum menerima dos tambahan vaksin COVID-19 dalam tempoh 12 bulan yang lalu boleh mengambil vaksin JN.1 Novavax memandangkan imuniti terhadap virus tersebut boleh berkurangan dari semasa ke semasa, dan dos tambahan pada 2025 atau 2026 dapat meningkatkan perlindungan terhadap penyakit teruk, menurut CDA.

Ini termasuk mereka yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna atau Novavax JN.1 pada 2024 atau 2025.

Para individu yang menerima vaksin sebagai dos tambahan disarankan untuk berbuat demikian sekitar tempoh setahun, dan sekurang-kurangnya lima bulan, selepas dos vaksin terakhir.

Individu boleh membuat janji temu untuk vaksinasi mulai Jumaat.

Mereka yang ingin mendapatkan vaksin tersebut perlu berbuat demikian selewat-lewatnya pada 31 Mei 2026, kerana formulasi vaksin JN.1 tidak akan dibekalkan lagi oleh pengilang selepas stok semasa tamat tempohnya, menurut CDA. Vaksin JN.1 Novavax tidak akan ditawarkan di bawah Program Vaksinasi Nasional selepas tempoh tersebut.

Vaksin LP.8.1 Pfizer-BioNTech dan Moderna akan terus ditawarkan.

Di bawah program vaksinasi nasional Singapura, vaksinasi COVID-19 adalah percuma bagi semua individu yang layak.

“Gelombang COVID-19 akan terus berlaku dari semasa ke semasa dan boleh menyebabkan penyakit teruk dalam kalangan individu yang lebih berusia atau berisiko dari segi perubatan,” menurut CDA.

“Bagi meningkatkan perlindungan mereka terhadap penyakit teruk, kami menggalakkan semua orang, khususnya mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, individu yang berisiko dari segi perubatan atau penghuni kemudahan jagaan warga emas, supaya kekal mendapatkan vaksinasi terkini berdasarkan saranan semasa, sama seperti vaksinasi terhadap influenza.”

Para individu yang ingin mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh melayari laman web ini untuk mencari tahu lokasi terdekat bagi mendapatkan vaksinasi serta jenis vaksin yang ditawarkan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita