Skip to main content

Singapura

Vaksin COVID-19 Novavax dikemas kini; disediakan secara percuma di bawah program vaksinasi nasional SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 May 2024 05:22PM Dikemas Kini : 29 May 2024 12:19AM
SINGAPURA: Vaksin COVID-19 jenama Novavax yang sudah dikemas kini, boleh didapatkan di bawah program vaksinasi nasional.

Demikian diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (28 Mei).

Ia bermakna, mereka yang layak boleh mendapatkan suntikan vaksin itu secara percuma di semua klinik GP yang menyertai program tersebut.

Vaksin COVID-19 XBB.1.5 jenama Novavax/Nuvaxovid disarankan oleh Jawatankuasa Pakar Imunisasi bagi kegunaan di Singapura berikutan kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

MOH menyatakan pada November tahun lalu bahawa Novavax sedang dalam proses memfailkan kelulusan kawal selia bagi vaksin COVID-19nya yang dikemas kini.

Ia adalah pilihan bagi mereka yang berusia 12 tahun ke atas, di bawah saranan vaksin COVID-19 yang sedia ada.

"Individu yang tidak boleh mengambil vaksin mRNA COVID-19 disarankan untuk mendapatkan vaksin Novavax/Nuvaxovid XBB.1.5 (vaksin subunit protein), kecuali mereka yang didiagnosis dengan miokarditis/perikarditis selepas dos vaksin mRNA sebelum ini," nyata MOH.

MOH pada Selasa menasihati orang ramai untuk membuat janji temu vaksinasi COVID-19 mereka menerusi Sistem Janji Temu Kesihatan. Mereka boleh mengenal pasti klinik GP yang turut serta yang terletak berdekatan dengan mereka menerusi laman ini.

Kementerian Kesihatan juga menggalak penduduk tempatan supaya mengemas kini suntikan vaksin COVID-19 mereka.

MOH menambah bahawa mereka yang berusia 6 tahun ke atas dan pernah mendapat suntikan vaksin COVID-19 digalakkan mendapatkan juga satu suntikan dos tambahan pada tahun ini.

Sumber : CNA/MU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita