Skip to main content

Singapura

Vaksin COVID-19 dan kanak-kanak: Ibu alu-alukan langkah perlindungan

Dengan kes COVID-19 dilaporkan di beberapa sekolah baru-baru ini, seorang ibu yang ditemubual BERITA Mediacorp menyambut baik pengumuman terbaru pemerintah yang meluluskan sejenis vaksin bagi kegunaan kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin COVID-19 dan kanak-kanak: Ibu alu-alukan langkah perlindungan

(Gambar: Ihsan Nazlene Zainal, Petikan Google Street View)

SINGAPURA: Dengan kes COVID-19 dilaporkan di beberapa sekolah baru-baru ini, seorang ibu yang ditemubual BERITA Mediacorp menyambut baik pengumuman terbaru pemerintah yang meluluskan sejenis vaksin bagi kegunaan kanak-kanak.

Pada Selasa (18 Mei), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengumumkan bahawa vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk digunakan bagi kanak-kanak berusia antara 12 dengan 15 tahun.

Bercakap dengan BERITA Mediacorp, Cik Nazlene Zainal, 46 tahun, berkata beliau "mengalu-alukan" pengumuman tersebut.

"Saya sendiri sebagai seorang ibu kepada anak yang berumur 12 tahun, saya amat takut dengan bahaya COVID-19 dan dengan adanya vaksin ini saya lebih mengharapkan keberkesanannya melindungi anak-anak tersebut," kata Cik Nazlene, yang mempunyai seorang anak lelaki di Darjah 6.

"Saya telah mengikuti berita mengenai ujian mengenai kanak-kanak yang diberi suntikan. Dengan adanya jaminan oleh HSA, yang mereka boleh, saya lebih selesa dan lebih selamat dengan ujian tersebut dan memberikan suntikan vaksin ini kepada anak saya. Saya amat gembira dengan berita tersebut kerana sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes yang kanak-kanak di sekolah rendah yang dijangkiti virus tersebut," tambahnya.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan anak Cik Nazlene, Alex Geller, sedang mengikuti Pembelajaran di Rumah (HBL) selepas dua murid tempat beliau belajar iaitu, Sekolah St Stephen's disahkan dijangkiti COVID-19 minggu lalu.

(Gambar ihsan: Cik Nazlene Zainal)

"Dengan adanya vaksin tersebut saya rasa lebih selesa untuk membawa dia keluar. Buat setakat ini dia tidak dibenarkan keluar kerana saya sendiri tidak benarkan dia keluar. Kami berwaspada tapi dengan adanya vaksin tersebut mungkin saya lebih selesa untuk membawa dia keluar untuk bergaul dengan mungkin dengan satu lagi kawan atau temannya."

Namun begitu, memandangkan keputusan untuk memperluaskan program vaksinasi kepada kanak-kanak itu baru dibuat, Cik Nazlene akui bahawa beliau mempunyai sedikit kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya kesan sampingan apabila anaknya diberi suntikan nanti.

Sungguhpun begitu, beliau menekankan vaksin membuatnya lebih yakin untuk melihat anaknya kembali ke sekolah selepas musim cuti bagi persiapan peperiksaan PSLE nanti.

"Dengan vaksin, saya lebih senang hati kerana dia boleh kembali ke sekolah selepas cuti untuk membuat persiapan PSLE," kongsi beliau.

"Tahun lalu, murid Darjah 6 boleh kembali dengan selamat ke sekolah. Namun tahun ini, saya was-was sedikit. Tapi dengan vaksin, saya kini lebih yakin."

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita