Vaksin COVID-19 bukan untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, wanita hamil, individu lemah daya tahan tubuh: Jawatankuasa Pakar
Wanita hamil, penduduk bawah 16 tahun, mereka yang lemah daya tahan tubuh tidak harus mengambil suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.
Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Wanita hamil, penduduk bawah 16 tahun, mereka yang lemah daya tahan tubuh tidak harus mengambil suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.
Jawatankuasa Pakar mengenai Suntikan Vaksin COVID-19, yang ditubuhkan untuk menyarankan strategi vaksinasi bagi Singapura, menyatakan pada Isnin (1 Dis) bahawa pihaknya membuat saranan tersebut kerana tidak ada data cukup berhubung keselamatan dan keberkesanan vaksin itu bagi golongan tersebut.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan berasingan menambah bahawa mereka yang mempunyai sejarah anafilaksis, atau reaksi alahan amat serius yang terjadi secara tiba-tiba, tidak harus mengambil vaksin tersebut.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata pada petang Isnin bahawa HSA sudah meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech setelah mengkaji bukti saintifik dan data ujian klinikal berhubung vaksin tersebut.
Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, dijadualkan tiba di Singapura menjelang hujung bulan ini dan ditawarkan kepada semua penduduk secara bertahap-tahap menjelang suku ketiga 2021.
PM Lee juga berkata bahawa suntikan vaksin dilakukan secara sukarela namun, jawatankuasa itu mengesyorkan agar semua orang yang layak dari segi perubatan harus menerima suntikan vaksin itu.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai saranannya dalam satu kenyataan media pada Isnin, jawatankuasa itu menyatakan bahawa vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, melibatkan dua dos diberikan selang 21 hari, dan mempunyai keberkesanan 95 peratus.
Ia menambah bahawa profil keselamatan vaksin itu konsisten dengan piawai tinggi yang ditetapkan bagi vaksin lain yang didaftarkan untuk melawan penyakit lain.
Jawatankuasa itu juga menyarankan agar golongan yang lebih berisiko dijangkiti COVID-19 termasuk pekerja jagaan kesihatan, pekerja barisan hadapan dan warga emas diberi keutamaan.
Butiran lanjut mengenai saranan lengkap jawatankuasa itu mengenai penggunaan dan golongan yang diutamakan bagi suntikan vaksin itu akan diumumkan dalam beberapa minggu mendatang, tambahnya.
KESAN SAMPINGAN YANG MUNGKIN BERLAKU
Dalam satu kenyataan media berasingan, HSA menyatakan beberapa orang mungkin mengalami kesan sampingan selepas menerima vaksin seperti rasa sakit, kesan merah dan bengkak di bahagian disuntik, lelah, pening, sengal, demam, rasa mual dan cirit-birit.
"Meskipun tidak semua orang akan mengalami kesan sampingan ini, ia adalah sesuatu yang biasa dan dijangkakan sebagai cara tubuh bertindak balas untuk menguatkan daya tahan terhadap COVID-19.
"Kesan sampingan tersebut lazimnya akan hilang selepas beberapa hari," menurut HSA.
Jarang sekali, seseorang yang disuntik vaksin itu mengalami reaksi alahan yang teruk, seperti sukar bernafas dan bengkak di bahagian mata dan bibir.
Namun seandainya ia berlaku, pesakit harus segera mendapatkan rawatan, tambahnya.
DATA AKAN TERUS DISEMAK SEMULA
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech diluluskan di bawah pentauliahan sementara di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (Psar), yang membolehkan HSA mula menilai vaksin-vaksin baru, ubat dan alat perubatan daripada peringkat awal kajian klinikal.
Oleh kerana vaksin baru itu diluluskan berdasarkan data yang dihantar secara bertahap-tahap, dan bukan menunggu sehingga set data penuh disediakan, HSA menyatakan bahawa salah satu syarat adalah bagi Pfizer dan BioNTech untuk terus memantau sama ada vaksin itu selamat atau tidak bagi memastikan keselamatannya secara menyeluruh.
Syarikat-syarikat juga akan terus mengkaji keselamatan vaksin itu bagi beberapa golongan seperti wanita hamil dan kanak-kanak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.