Vaksin COVID-19 bukan penyebab atau faktor penyumbang dalam kematian wanita berusia 46 tahun: Koroner

Gambar fail: AFP
SINGAPURA: Seorang wanita berusia 46 tahun yang meninggal dunia selang empat hari selepas menerima vaksin COVID-19, disahkan meninggal dunia akibat sebab semula jadi. Kematiannya tidak berpunca atau disumbang oleh vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty mRNA, menurut mahkamah koroner.
Dalam dapatan yang didedahkan minggu ini, Koroner Negara Adam Nakhoda mendapati Cik Leong Jeng Fun meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemia.
Cik Leong, seorang juruwang bank yang tinggal bersama ibu bapanya, telah pergi ke Kelab Masyarakat Teck Ghee pada pagi 26 Disember 2021, untuk menerima dos ketiga vaksin COVID-19.
Dia dipantau bagi tempoh yang ditetapkan sebelum pulang ke rumah.
Sekitar dua jam kemudian, dia mengirimkan mesej kepada saudara perempuannya, sambil mengadu bahawa beliau berasa "sangat berat". Bapanya kemudian mendapati dia tertidur di lantai, yang merupakan sesuatu yang biasa dilakukannya, tetapi menyedari bahawa dia tidak bangun apabila dikejut.
Saudara perempuan Cik Leong menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada sekitar 2.40 petang, dengan mengatakan bahawa saudara perempuannya kelihatan tidak sihat setelah menerima dos vaksin penggalak.
Paramedik mendapati bahawa Cik Leong tidak bernafas dan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atasnya, yang diteruskan sedang dia dikejarkan ke Hospital Besar Sengkang (SKGH).
Dia didapati mengalami "serangan jantung di luar hospital dengan masa henti selama 77 minit". Meskipun dia diberikan bantuan perubatan, dia tidak dapat dihidupkan semula.
Setelah berbincang dengan keluarganya, ia diputuskan bahawa resusitasi tidak akan dilakukan ke atas Cik Leong. Dia meninggal dunia pada 2.26 pagi pada 30 Dis 2021.
Hospital tersebut melaporkan kes berkenaan kepada pihak polis, sambil merujuknya sebagai kematian dengan cara atau punca yang tidak diketahui.
Bedah siasat mendapati punca kematian terakhirnya ialah penyakit jantung iskemia, dengan pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat mendapati jantung Cik Leong menunjukkan penyakit arteri koronari yang teruk dengan pendarahan dalam jantung.
Semasa siasatan koroner itu, saudara perempuan Cik Leong berkata bahawa ia "berkemungkinan tinggi bahawa terdapat kaitan antara vaksin itu dan kematian saudara perempuannya itu, disebabkan jarak masa tersebut".
Dia menarik perhatian bahawa terdapat satu nota dalam ringkasan pelepasan dari SKGH, yang menyatakan bahawa mendiang saudara perempuannya itu mempunyai alahan terhadap tozinameran, yang ditemui dalam vaksin itu.
PAKAR PERJELAS KAITAN YANG BERPOTENSI DENGAN VAKSIN
Dr Tan Sze-Chin, seorang konsultan kanan di
Jabatan Reumatologi, Alahan, dan Imunologi Hospital Tan Tock Seng, dilantik oleh Akademi Perubatan Singapura untuk menyediakan laporan pakar berhubung kematian Cik Leong.
Dia menimbangkan kemungkinan kematian Cik Leong adalah disebabkan oleh anafilaksis - tindak balas alahan berbahaya - atau miokarditis - keradangan jantung - disebabkan vaksin COVID-19.
Dr Tan mula-mula menyingkirkan kemungkinan anafilaksis, dengan menjelaskan bahawa terdapat permulaan yang tertangguh dari masa dia menerima suntikan vaksin sehingga ketika dia tidak sedarkan diri, dan terdapat tiada tanda-tanda biasa seperti bengkak atau ruam.
Dr Tan mengatakan bahawa miokarditis yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 biasanya berlaku dalam tempoh dua minggu selepas vaksinasi, biasanya dalam tempoh tiga hingga empat hari selepas suntikan.
Dr Tan menarik perhatian bahawa terdapat tiada laporan mengenai serangan jantung secara tiba-tiba menyusuli vaksinasi, dan menambah bahawa Cik Leong mempunyai sejarah keluarga kematian akibat serangan jantung yang mengejut.
Dia juga mempunyai faktor berisiko seperti kolesterol tinggi dan mempunyai berat badan berlebihan, kata Dr Tan.
Bagi menentukan bahawa vaksin itu menyebabkan kematian seseorang, ia memerlukan bukti kaitan dari segi gejala klinikal dan bukti semasa bedah siasat, kata koroner.
Dalam kes ini, terdapat tiada bukti sedemikian, lantas dia membuat kesimpulan bahawa vaksin tersebut tidak menyebabkan atau menyumbang kepada kematian mendiang Cik Leong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.