Skip to main content

Singapura

Vaksin COVID-19 beri 'perlindungan tambahan' pada kanak-kanak pernah dijangkiti koronavirus, dedah kajian KKH

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jun 2023 03:40PM Dikemas Kini : 19 Jun 2023 11:12PM
SINGAPURA: Satu kajian baru di Singapura mendapati vaksinasi COVID-19 menawarkan "perlindungan tambahan" terhadap jangkitan Omicron dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang pernah dijangkiti koronavirus berbanding mereka yang pulih dan tidak divaksinasi.

Menurut pengarang utama kajian itu, Profesor Madya Yung Chee Fu, ini bermakna ibu bapa tidak harus hanya mengharapkan jangkitan COVID-19 yang lalu memberi imuniti terhadap varian Omicron.

Kajian itu dijalankan bersama Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-kanak (KKH), Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID)dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Kajian itu mendapati bahawa bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang pernah dijangkiti COVID-19, vaksinasi tersebut menawarkan perlindungan 74 peratus terhadap varian BA.4/BA.5 Omicron.

Bagi remaja 12 hingga 17 tahun yang pernah dijangkiti pula, vaksin itu menawarkan perlindungan 85.7 peratus terhadap varian BA.4/BA.5 Omicron.

Kajian yang diterbitkan pada Mei itu melibatkan sekitar 150,000 orang berusia lima hingga 17 tahun yang pernah dijangkiti COVID-19 dari Januari 2020 hingga Disember 2022, kata KKH dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (19 Jun).

Vaksinasi COVID-19 juga menawarkan 62.8 peratus perlindungan terhadap varian XBB Omicron bagi kanak-kanak dan perlindungan 57.9 peratus bagi golongan remaja.

VAKSINASI SEBELUM JANGKITAN PERTAMA

Kajian tersebut menambah bahawa "perlindungan terbaik" dicapai apabila kanak-kanak itu mendapatkan vaksinasi sebelum jangkitan pertama mereka.

Dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang sudah diberi suntikan COVID-19, vaksin itu menawarkan imuniti tertinggi terhadap jangkitan Omicron sebelum jangkitan pertama.

Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, yang menerima dua dos vaksin sebelum jangkitan COVID-19 pertama mereka, mempunyai perlindungan tertinggi 85.3 peratus terhadap Omicron BA.4/BA.5, manakala keberkesanan vaksin bagi remaja adalah 82.9 peratus, kata kajian itu.

Kajian itu juga mencadangkan bahawa mereka yang dijangkiti varian awal Delta mempunyai perlindungan paling rendah terhadap jangkitan BA.4/BA.5.

MOH pada April menyatakan bahawa kurang sepertiga kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Singapura mempunyai perlindungan minimum terhadap COVID-19.

Menurut MOH, untuk mencapai perlindungan minimum, kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas harus menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna atau Novavax.

Dos pertama dan kedua harus diambil dalam jarak lapan minggu, manakala jarak yang dicadangkan antara dos kedua dan ketiga adalah lima bulan.

Ibu bapa tidak perlu membuat temu janji untuk mendapatkan vaksinasi bagi anak mereka di mana-mana Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) serta poliklinik tertentu. Mereka juga boleh menghubungi mana-mana Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) untuk membuat temu janji vaksinasi COVID-19.

Orang ramai boleh merujuk laman gowhere.gov.sg/vaccine bagi maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita