Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksin bivalen Moderna boleh hasilkan antibodi terhadap varian BA.4, BA.5

Menurut ketua pegawai perubatan Moderna, vaksin bivalen yang dikemas kini Moderna yang akan digunakan di Singapura sebagai suntikan dos penggalak akan membantu menghasilkan antibodi terhadap varian Omicron BA.4 dan BA.5.

Anggaran Waktu Membaca:
 Vaksin bivalen Moderna boleh hasilkan antibodi terhadap varian BA.4, BA.5

(Gambar: Justin Sullivan/Getty Images/AFP)

SINGAPURA: Vaksin bivalen COVID-19 yang dikemas kini oleh Moderna yang akan digunakan di Singapura sebagai suntikan dos penggalak akan membantu menghasilkan antibodi terhadap varian Omicron BA.4 dan BA.5 juga, menurut ketua pegawai perubatan Moderna pada Rabu (21 Sep).

Awal bulan ini, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberikan kelulusan sementara kepada vaksin dos penggalak bivalen Moderna, yang menyasarkan kedua-dua versi asli dan varian BA.1 koronavirus.

Varian BA.1 dominan di Singapura semasa gelombang awal Omicron, namun jumlah kes BA.4 dan BA.5 sudahpun meningkat.

Pada Rabu, ketua pegawai perubatan Dr Paul Burton memberitahu para wartawan bahawa syarikat itu mempunyai dua dos penggalak - mRNA-1273.214 yang diterima Singapura, dan mRNA-1273.222.

Dos penggalak mRNA 1273.214 menyasarkan sebahagian besarnya versi asli dan varian BA.1. Ia diberi kelulusan di Singapura, Britain, Switzerland, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Australia.

Satu lagi dos penggalak menyasarkan varian BA.4 dan BA.5, dan hanya diberikan kelulusan di Amerika Syarikat.

Dr Burton berkata vaksin bivalen yang diterima Singapura juga menghasilkan paras antibodi yang "sangat tinggi" terhadap varian BA.4 dan BA.5.

Beliau berkata kedua-dua dos penggalak "sangat baik", dan ia menyasarkan bahagian-bahagian penting Omicron. Ia bergantung kepada apa yang dimahukan sesebuah negara atau rantau itu, tambahnya.

Data daripada syarikat itu "sangat memberi jaminan" bahawa dos penggalak BA.1 juga mewujudkan paras antibodi yang tinggi terhadap BA.4 dan BA.5, kata Dr Burton.

HSA menyatakan data awal daripada analisis tinjauan mencadangkan dos penggalak BA.1 boleh merangsang antibodi terhadap varian-varian lain, termasuk BA.4 dan BA.5 Omicron serta Alpha, Beta, Delta dan Gamma.

Setakat sehingga Selasa, 93 peratus bilangan penduduk Singapura sudah menamatkan regimen vaksinasi penuh, manakala 80 peratus sudah menerima suntikan dos penggalak.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan