Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksin bivalen ditawarkan kepada kumpulan usia 18-49 tahun lewat 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Oct 2022 04:45PM Dikemas Kini : 20 Oct 2022 09:26PM
SINGAPURA: Singapura merancang untuk menawarkan vaksin bivalen COVID-19 kepada golongan usia 18 hingga 49 tahun lewat tahun ini apabila lebih banyak bekalan vaksin diperolehi, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (20 Okt).

Encik Ong menambah bahawa pihak berkuasa berharap bekalan itu dapat diperolehi dalam masa beberapa minggu ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Anggota-Anggota Parlimen (AP) Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) dan Jamus Lim (WP-Sengkang) berhubung garis masa vaksin-vaksin itu ditawarkan, keberkesanannya berbanding dos penggalak Moderna dan Pfizer dan bila seseorang yang pulih dari COVID-19 harus mengambil vaksin tersebut.

Pemerintah sebelum ini mengumumkan bahawa mereka yang belum menerima perlindungan asas - atau berusia 50 tahun ke atas dan kali terakhir menerima dos vaksin mereka lebih lima bulan lalu - boleh masuk ke mana-mana Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama tanpa janji temu untuk mendapatkan suntikan dos vaksin bivalen bermula 14 Okt.

Vaksin bivalen menyediakan perlindungan lebih baik terhadap varian-varian lebih baru COVID-19 berbanding vaksin asal, menurut Encik Ong.

Ia berfungsi dengan cara merangsang tindak balas imun terhadap dua antigen berbeza. Sebagai contoh, vaksin bivalen Moderna sudah dikemas kini untuk melindungi penduduk daripada varian BA.1 Omicron, selain varian asal.

Vaksin awal COVID-19 yang digunakan di Singapura adalah jenis vaksin monovalen, bermakna ia hanya mengandungi atau memasukkan kod protein virus asal SARS-CoV-2.

Pemerintah mula menawarkan vaksin bivalen Moderna/Spikevax pada 14 Okt, dengan vaksin bivalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty dijangka disediakan menjelang hujung tahun ini.

Meskipun Singapura memberi keutamaan kepada golongan berusia 50 tahun dan ke atas bagi suntikan dos penggalak tambahan, ia merancang mempelawa mereka berusia 18 hingga 49 tahun lewat tahun ini.

Jika seseorang yang layak itu dijangkiti, mereka harus menunggu tiga bulan untuk mengambil vaksin bivalen tersebut, jelas Encik Ong.

AP Leon Perera (WP-Aljunied) ingin tahu jika Kementerian Kesihatan (MOH) akan menimbangkan membuka semula pusat vaksinasi di kelab masyarakat dan pusat-pusat di kawasan kejiranan yang mempunyai lebih ramai penduduk warga emas.

Encik Ong berkata: "Pusat-Pusat Vaksinasi dan Pusat-Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama dipilih berdasarkan jaraknya kepada kawasan yang padat penduduk, akses yang mudah dan sama ada tempat itu boleh menyokong operasi vaksinasi bagi tempoh yang lama."

Buat masa ini, terdapat 11 Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama serta Pusat Vaksinasi, dan rangkaian 221 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam dan 20 poliklinik, yang menyediakan kemudahan dan akses yang mencukupi untuk mendapatkan vaksinasi, kata Encik Ong.

DOS PENGGALAK SETIAP TAHUN

Dalam soalan tambahan, Cik Pereira berkata ramai penduduk warga emas yang sudah mendapatkan dos penggalak kedua tidak pasti sama ada mereka boleh mengambil vaksin bivalen dan bila untuk berbuat demikian.

Sambil menarik perhatian bahawa ia adalah soalan yang sering diterima, Encik Ong berkata: Jawapannya ialah 'ya', lima bulan selepas dos penggalak kedua, mereka disarankan mengambil vaksin bivalen.

"Seperti yang saya jelaskan tadi, kita bergerak ke sistem baru di mana kita berhenti mengira jumlah dos penggalak yang diambil.

"Kita kini hidup dengan virus COVID-19... apa yang kami sarankan kepada penduduk ialah - dua konsep - satu, sila dapatkan perlindungan minimum yang juga tiga dos mRNA.

"Selepas itu, dapatkan vaksin terbaru tambahan lima bulan selepas suntikan terakhir anda... dan tidak melebihi 12 bulan," jelasnya.

Beliau berkata ini ibarat mengambil dos penggalak setiap tahun.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan