Skip to main content

Singapura

Vaksin bivalen COVID-19 Pfizer-BioNTech ditawarkan kepada penduduk 12 tahun dan ke atas mulai 12 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Vaksin bivalen COVID-19 buatan Pfizer-BioNTech/Comirnaty akan ditawarkan kepada penduduk berusia 12 tahun dan ke atas mulai 12 Dis, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (6 Dis).

Setakat ini, satu-satunya vaksin bivalen COVID-19 yang terdapat di Singapura ialah vaksin buatan Moderna yang ditawarkan kepada penduduk berusia 18 tahun dan ke atas.

Vaksin bivalen Pfizer-BioNTech diberikan kelulusan sementara bagi penggunaan di Singapura pada 25 Okt.

Mereka yang sudah membuat janji temu untuk menerima vaksin monovalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty boleh memilih untuk menjadualkan semula janji temu masing-masing kepada tarikh bermula pada atau selepas 12 Dis untuk menerima vaksin bivalen yang terbaru, menurut MOH.

Ia akan disediakan di semua lokasi yang menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty. Mereka yang layak akan menerima pesanan SMS dengan pautan peribadi untuk membuat janji temu.

"Dengan vaksin bivalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 kini ditawarkan kepada golongan berusia 12 tahun dan ke atas, mereka yang berusia antara 12 hingga 17 tahun juga harus mendapatkan dos tambahan vaksin bivalen sekitar lima bulan selepas dos penggalak terakhir mereka," menurut MOH.

VAKSIN PFIZER-BIONTECH UNTUK ANAK KECIL

MOH juga mengumumkan kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun tidak lama lagi akan dapat menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty sebagai dos utama mereka.

Ia terdiri daripada tiga dos, yang diberikan lapan minggu selepas dos sebelumnya. Butiran lanjut mengenai pelancaran program vaksinasi itu akan diumumkan kelak, menurut MOH.

Buat masa ini, hanya vaksin Moderna/Spikevax disediakan untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun. Ia diberikan dalam dua dos berasingan.
Related article image
Vaksinasi yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) setakat 6 Dis 2022. (Gambar: MOH)
PASUKAN VAKSINASI BERGERAK DI KEJIRANAN

Bagi memudahkan warga emas mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak, pasukan-pasukan vaksinasi bergerak akan ditempatkan di beberapa lokasi mulai 12 Dis.

Sekitar sembilan daripada 10 warga emas berumur 60 tahun ke atas sudahpun mendapatkan perlindungan minimum terhadap COVID-19, menurut MOH, sambil menambah enam daripada 10 warga emas sudah mendapatkan dos terbaru yang disyorkan.

Masih terdapat hampir 40,000 warga emas yang layak, namun masih belum mendapatkan perlindungan minimum.

Pasukan vaksinasi bergerak akan ditempatkan di lokasi-lokasi berikut:

- RC Zon 3 Bukit Panjang
- Kelab Masyarakat Chua Chu Kang
- Kelab Masyarakat Hong Kah Utara
- Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee
- Kelab Masyarakat Leng Kee
- RC Zon 3 Potong Pasir
- Kelab Masyarakat Teck Ghee
- Kelab Masyarakat Toa Payoh Central

Pasukan-pasukan itu akan ditempatkan di setiap lokasi selama tiga hari sebelum berpindah ke lokasi seterusnya. Orang ramai boleh mengunjungi laman gowhere.gov.sg untuk mendapatkan jadual lokasi pasukan-pasukan vaksinasi bergerak.
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita