Utamakan kesatuan masyarakat Islam: Masagos
Mengutamakan kesatuan masyarakat Islam meskipun terdapat perbezaan pendapat. Demikian ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli yang ditemui wartawan selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Kassim pada Khamis (29 Jun).
Demikian ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli yang ditemui wartawan selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Kassim pada Khamis (29 Jun).
Ia sejajar dengan tema khutbah Aidiladha tahun ini yang bertajuk "Memelihara Kesatuan dan Perpaduan Sebagai Asas Keutamaan Hidup Beragama".
Encik Masagos berkata, "Kita mementingkan kesatuan masyarakat kita sebagai masyarakat Islam walaupun kita berbeza-beza pendapat, kita ada berbeza pendekatan tapi kita menitikberatkan kesealiran supaya semua apa yang kita lakukan dalam nama ibadah agama kita dijalankan dengan selesa dengan aman dan juga tidak mengetepikan semangat kesatuan."
Seramai 2,000 jemaah disertai Encik Masagos dalam sesi kedua solat Aidiladha di masjid yang terletak di kawasan Kembangan itu.
Ia turut dihadiri Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Dr Albakri Ahmad dan Pengerusi Masjid Kassim, Encik Mohd Zain Mohd.
Meskipun masjid itu antara 63 masjid yang tidak memerlukan sebarang tempahan slot, aliran jemaah antara sesi solat licin.
Walau bagaimanapun, untuk lima masjid yang memerlukan tempahan bagi sesi pertama, Encik Masagos merasakan ia wajar demi keselamatan jemaah.
"Untuk lima masjid diadakan tempahan supaya tidak berasak-asak. Inilah satu petanda bahawa kita keluar daripada pandemik dan mendapat manfaat daripada pengajaran iaitu kita selalu prihatin tentang keselesaan, keselamatan satu sama lain dan menjalankan ibadah dengan selesa dan menjalankannya dengan cara yang kita telah sesuaikan diri semasa pandemik dan kita akan teruskan semasa hari-hari setelah pandemik," tambahnya yang juga Menteri Kedua Kesihatan.
SYUKUR KELANCARAN PROSES HAJI & KORBAN
Beliau juga melahirkan rasa syukur dengan kelancaran proses ibadah haji bagi jemaah Singapura.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Alhamdulillah saya dapat laporan bahawa jemaah kita telahpun selesai melakukan wukuf dan sedang di Mina menjalankan Hari Raya Haji di sana," kata beliau.
Encik Masagos juga mengutuskan takziah kepada keluarga jemaah yang meninggal dunia sebelum menjalankan ibadah wukuf.
Dalam pada itu, Encik Masagos menyambut baik lebih 5,200 tempahan bagi kambing korban yang disembelih di luar negara kelolaan SalamSG.
Dalam negara pula, buat pertama kalinya tahun ini sejak pandemik COVID-19, ibadah korban dilaksanakan di dua buah masjid tempatan - Masjid Al-Firdaus dan Masjid Petempatan Melayu Sembawang.
"Satu yang kita menitikberatkan adalah bagaimana ibadah korban ini bukan hanya menjalankan syiar kita, agama kita, tapi juga kita harus menjalankannya dengan cara yang tertib, cara yang beradab. Juga mengambil kepentingan jiran-jiran kita.
"Sebab itulah kita membuat ibadah korban itu di dua masjid yang agak terpencil sedikit jauh daripada jiran-jiran yang mungkin terganggu dengan bau ataupun keadaan haiwan yang di sekitar kita yang kita ini di kota ini tidak biasa," jelas Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.