Usulan ubah syarat tawar khidmat guaman undang reaksi bercampur-campur
Perubahan-perubahan yang diusulkan terhadap syarat bagi para graduan undang-undang untuk menawarkan khidmat guaman mulai 2023 mendapat reaksi bercampur-campur daripada para pelajar dan peguam. Sesetengahnya mengalu-alukan saranan itu manakala ada juga yang menganggapnya sebagai satu halangan.
Mahkamah Tinggi di Singapura.
SINGAPURA: Perubahan-perubahan yang diusulkan terhadap syarat bagi para graduan undang-undang untuk menawarkan khidmat guaman mulai 2023 mendapat reaksi bercampur-campur daripada para pelajar dan peguam. Sesetengahnya mengalu-alukan saranan itu manakala ada juga yang menganggapnya sebagai satu halangan.
Hakim Besar Sundaresh Menon mengumumkan semalam (30 Ogos) bahawa para graduan undang-undang perlu menjalani latihan amali selama setahun dengan sebuah firma guaman, berbanding enam bulan sebelum ini, selepas lulus peperiksaan undang-undang, mulai 2023.
Satu lagi perubahan besar adalah Bahagian B peperiksaan yang lebih ketat. Bahagian B diduduki para graduan universiti-universiti tempatan dan luar negara, sementara Bahagian A hanya diwajibkan bagi graduan dari luar negara.
Perubahan-perubahan ini merupakan penyusunan semula ketara bagi rejim latihan kekaryawanan para peguam sejak 2010, apabila Kursus Undang-undang Amali dirombak menjadi peperiksaan Bahagian B, menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Mereka yang mengalu-alukan usulan itu menyatakan bahawa syarat-syarat lebih ketat mampu memastikan para graduan yang ingin menawarkan khidmat guaman, bersedia mengharungi segala cabaran dan peluang yang ada.
PEPERIKSAAN LEBIH KETAT CARA UNTUK SEKAT JUMLAH PEGUAM
Para pelajar undang-undang yang ditemui Mediacorp bagaimanapun membuat spekulasi bahawa usulan itu berkaitan dengan jumlah peguam yang melonjak pada 2014. Mereka turut memberi bayangan bahawa langkah-langkah baru itu diusulkan bagi mencegah ini daripada berlaku lagi.
Menjawab pertanyaan media, MinLaw menyatakan bahawa jumlah graduan undang-undang luar negara yang pulang ke Singapura mencecah sekitar 350 orang pada 2014.
"Jumlahnya jatuh sejak itu, sebanyak 25 peratus kepada sekitar 260 orang," kata jurucakap kementerian itu. "Sekitar 690 graduan undang-undang, tempatan dan luar negara, memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun."
Tahun lalu, lebih 90 peratus berjaya mendapat kontrak latihan, yang buat masa ini diperlukan sebelum mereka boleh menduduki peperiksaan undang-undang.
Ketika ditanya jika perubahan itu berikutan jumlah peguam yang berlebihan pada 2014, Jawatankuasa yang menyarankan perubahan-perubahan itu memberitahu Mediacorp: "Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menyemak semula rejim latihan kekaryawanan secara holistik bagi peguam pelatih di Singapura. Cadangan-cadangan jawatankuasa pada umumnya bagi memastikan kepentingan masyarakat dipenuhi dan para peguam mampu berdepan dengan cabaran-cabaran masa depan, tidak kira keadaan ekonomi."
Yang jelas, tidak kira sama ada langkah-langkah itu diaturkan bagi mengawal jumlah peguam di negara ini, beberapa pelajar berasa ia mungkin menghalang sesetengah mereka untuk menjadi seorang peguam.
TIDAK SEMUA INGIN TAWAR KHIDMAT GUAMAN
Menjawab pertanyaan media, MinLaw menyatakan sekitar 20 peratus graduan undang-undang yang lulus peperiksaan pada 2017, tidak menawarkan khidmat guaman.
Profesor Chesterman berkata "hakikatnya, tidak semua pelajar undang-undang ingin menawarkan khidmat guaman".
"Rejim baru ini akan membolehkan pelajar-pelajar seperti ini untuk melengkapkan latihan amali, dipanggil untuk menduduki peperiksaan, dan kemudian memilih laluan kerjaya yang sesuai dengan mereka. Mereka boleh menggunakan latihan undang-undang mereka dalam sektor lain ekonomi," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.