Usulan pindaan undang-undang tangani orang dewasa yang dedahkan kanak-kanak kepada dadah
Para pesalah dadah yang menggunakan dadah dan mengaku menyalahgunakannya, tidak lagi didakwa bagi kesalahan kecil sekiranya Pejabat Peguam Negara membuat keputusan untuk tidak membawa kes mereka ke mahkamah. Para pesalah sedemikian bagaimanapun perlu bersetuju untuk menjalani pemulihan.
SINGAPURA: Para pesalah dadah yang menggunakan dadah dan mengaku menyalahgunakannya, tidak lagi didakwa bagi kesalahan kecil sekiranya Pejabat Peguam Negara membuat keputusan untuk tidak membawa kes mereka ke mahkamah. Para pesalah sedemikian bagaimanapun perlu bersetuju untuk menjalani pemulihan.
Itulah antara beberapa usulan pindaan kepada Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah yang dibentangkan di Parlimen hari ini (15 Jan).
Menteri Undang-Undang K Shanmugam berkata pesalah dadah sedemikian akan diletakkan dalam program-program pemulihan berlandaskan masyarakat dan perlu dipantau buat jangka masa yang lebih panjang, iaitu sehingga lima tahun.
Satu lagi perubahan pada rangka kerja antidadah - menjadi satu kesalahan bagi orang dewasa untuk mendedahkan kanak-kanak kepada risiko mengambil dadah. Orang dewasa juga dianggap melakukan kesalahan jika dia membenarkan atau tidak mencegah orang muda daripada menggunakan dadah yang dimilikinya.
Mereka yang melakukan kesalahan seperti itu buat kali pertama boleh dipenjara sehingga 10 tahun. Bagi pesalah berulang, dia akan dikenakan hukuman penjara mandatori tidak kurang dua tahun.
AMRIN KONGSI 3 PERKARA PENTING ANTIDADAH
Dalam pada itu, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin menggariskan tiga perkara penting dalam usaha membantu meningkatkan lagi strategi menyeluruh untuk menentang gejala dadah.
- Pendekatan lebih tersusun bagi para pesalah dengan meletakkan mereka di bawah rejim pemulihan yang intensif untuk tempoh yang lebih lama.
- Menyasarkan kegiatan pencemaran untuk mencegah sebarang perbuatan yang boleh menyebarkan penyalahgunaan dadah sekaligus membahayakan orang lain.
- Mempergiat usaha demi melindungi kanak-kanak daripada bahaya najis dadah.
"Ia akan menjadi satu kesalahan bagi orang dewasa yang mempunyai dadah secara sengaja atau tidak sengaja lalu membiarkan dadah dalam jangkauan kanak-kanak," kata Encik Amrin sebagai mengulas tentang usulan pindaan kepada Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah yang dibentangkan di Parlimen hari ini (15 Jan).
"Ia juga akan menjadi satu kesalahan bagi orang dewasa membenarkan orang muda di bawah usia 21 tahun mengambil dadah yang dimiliki orang dewasa itu. Kami akan mewajibkan ibu bapa dan waris belia yang menyalahgunakan dadah supaya menghadiri kaunseling," tambah beliau.
PARA AP ALU-ALUKAN PINDAAN YANG DIUSULKAN
Encik Amrin turut bersetuju dengan beberapa anggota parlimen yang mengutarakan bahaya penyalahgunaan dadah serta bagaimana ia boleh membinasakan sebuah institusi keluarga dan meninggalkan kesan mendalam ke atas mereka.
"Terdedahnya kanak-kanak kepada situasi sedemikian berkemungkinan berlakunya pengambilan dadah oleh kanak-kanak ini. Sikap seorang dewasa yang tidak bertanggungjawab seperti yang disebut adalah amat dikesali," kata Anggota Parlimen Parti Pekerja, Muhammad Faisal Abdul Manap.
AP GRC Ang Mo Kio Dr Intan Azura Mokthar juga akur bahawa pindaan akta tersebut adalah demi kebaikan masyarakat bersama. "Justeru itu, saya mengalu-alukan pindaan akta di mana klausa tiga menitikberatkan tanggungjawab dari orang dewasa dalam keluarga untuk memastikan rumah kita kekal bebas daripada dadah bagi anak-anak kita," kata Dr Intan.
AP GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam pula berpandangan: "Saya berharap dengan adanya pengalaman, data dan pengetahuan tentang pemulihan, kita boleh meningkatkan program pemulihan di pusat pemulihan dadah dan meneruskan sokongan jika perlu selepas penagih itu dibebaskan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.