Usulan kos sara hidup WP dilulus di Parlimen selepas 3 pindaan penting oleh PAP
Gambar: CNA/Hanidah Amin
SINGAPURA: Usulan mengenai kos sara hidup di Singapura yang dibentangkan oleh parti pembangkang Parti Pekerja (WP), diluluskan di Parlimen pada Selasa (7 Nov), tetapi hanya selepas tiga pindaan penting daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Semasa membahaskan usulan yang dipinda itu, Anggota Parlimen (AP) daripada kedua-dua pihak bersetuju bahawa kos sara hidup adalah isu yang membimbangkan orang ramai.
Namun, penggubal undang-undang dari pihak pembangkang dan PAP bercanggah pendapat tentang cara menangani keprihatinan tersebut.
20 anggota Dewan dan dua pemegang jawatan politik iaitu Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat dan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara, menyentuh tentang usulan itu.
Usulan yang dipinda itu diluluskan pada sekitar pukul 10.00 malam pada Selasa selepas ia dibahaskan lebih tujuh jam. Semua lapan AP WP dan dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) menolak usulan tersebut, manakala AP PAP yang berada di dewan tersebut mengundi menyokong usulan itu.
Berjudul "krisis kos sara hidup", usulan asal WP menyatakan "agar Dewan ini menyeru pemerintah untuk menyemak semula dasarnya supaya dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup ke atas rakyat Singapura dan keluarga mereka.
Namun AP Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) menyarankan dua tambahan dan satu penggantian bagi frasa itu dalam dasar menyemak semula.
Usul dipinda yang disarankannya ialah: "Dewan ini akur bahawa kos sara hidup adalah kebimbangan global, dan gesaan terhadap pemerintah untuk meneruskan dasar-dasar yang bersama-sama mengurangkan tekanan kos sara hidup ke atas rakyat Singapura dan keluarga mereka, tanpa menjejaskan kemampanan fiskal kita dan membebankan generasi masa depan rakyat Singapura."
Menjelaskan pindaannya, Encik Liang berkata bahawa perbahasan tersebut seharusnya mengenai keseimbangan.
"Saya percaya dalam perbahasan hari ini ... kita tidak melihat kepada mana-mana ekstrim," katanya. "Iaitu, secara melampau, kami menyampaikan kesan penuh daripada semua kenaikan kos kepada pengguna; "Dalam keadaan melampau yang lain, pemerintah melindungi rakyat sepenuhnya daripada segala kesan kenaikan kos. "
TIADA ASPEK YANG DIBIAR TIDAK DITANGANI
Dalam memperkenalkan usulan asal tersebut, Ketua Pembangkang dan ketua parti Pritam Singh berkata bahawa WP telah menekankan tentang tekanan kos sara hidup ke atas rakyat Singapura dalam kedua-dua mesejnya sempena Tahun Baharu dan Hari Buruh tahun ini.
Walaupun WP akur dengan bantuan sekali sahaja yang diberikan kepada isi rumah yang layak, Dewan mesti memastikan tiada aspek yang dibiar tidak ditangani kerana ini telah menjadi "krisis" bagi sesetengah rakyat Singapura, tambah beliau.
Langkah-langkah yang disarankan AP WP dapat membantu Singapura bergerak menjangkaui pemberian fiskal sekali sahaja dan "meneroka kemungkinan perubahan strutur kepada dasar-dasar yang sedia ada", kata Encik Singh.
Saranan tersebut juga "mengambil kira realiti persekitaran kos sara hidup hari ini dan pada masa akan datang", jelasnya.
Meskipun Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah menyatakan bahawa inflasi berkembang pada rentak perlahan dan inflasi teras diunjurkan turun, maklum balas yang diterima oleh WP menunjukkan bahawa kebimbangan kos sara hidup bagi rakyat Singapura "jelas bergerak ke arah yang bertentangan", tambah Encik Singh, menyentuh mengenai "realiti kos sara hidup" yang dihadapi rakyat Singapura.
Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat akur bahawa inflasi menjejas semua rakyat Singapura.
"Kami memahami keperitan yang dilalui penduduk kami dan kami merasakannya bagi mereka serta keluarga mereka," tambahnya.
Selain inflasi import, Singapura juga berdepan dengan kos domestik yang kian meningkat dengan pasaran buruh yang ketat, tahap pengangguran yang rendah dan gaji sebenar yang semakin naik bagi para pekerja dari semua bidang, kata Encik Chee.
Sungguhpun demikian, pemerintah kekal berhati-hati disebabkan keadaan global yang tidak menentu, kata Encik Chee, sambil menambah bahawa kejutan selanjutnya terhadap tenaga global dan harga makanan boleh membawa tekanan inflasi tambahan dan kelembapan ekonomi.
Pemerintah telah mengurangkan kesan inflasi global, melalui pengambilan pendekatan berbilang hala, dengan MAS juga membantu dengan memperkukuhkan mata wang Singapura, menurut Encik Chee.
Singapura juga memastikan ekonominya berdaya saing untuk mewujudkan pekerjaan yang baik dan mengekalkan pertumbuhan pendapatan sebenar bagi rakyat Singapura, katanya, sambil menyatakan bahawa pendapatan median sebenar berkembang sebanyak 1.8 peratus setahun antara 2017 dan 2022.
Pemerintah turut memastikan keperluan asas seperti pendidikan, jagaan kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam kekal boleh diakses dan dimampui untuk semua, ujar Encik Chee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.