Skip to main content

Singapura

Usul Parlimen seru Sylvia Lim, Low Thia Khiang tidak libatkan diri dalam hal kewangan

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan membentangkan satu usul di Parlimen pada Selasa (5 Nov), menyeru Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) untuk memerlukan para pemimpin Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim dan Low Thia Khiang supaya tidak melibatkan diri mereka dalam hal-hal kewangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Usul Parlimen seru Sylvia Lim, Low Thia Khiang tidak libatkan diri dalam hal kewangan

Encik Low Thia Khiang dan Cik Sylvia Lim. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 05 Nov 2019 12:23PM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 02:21PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan membentangkan satu usul di Parlimen pada Selasa (5 Nov), menggesa Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) untuk memerlukan para pemimpin Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim dan Low Thia Khiang supaya tidak melibatkan diri dalam hal-hal kewangan.

Ini selepas seorang hakim bulan lalu mendapati dua Anggota Parlimen tersebut - serta ketua WP Pritam Singh - bertanggungjawab ke atas satu kes bersejarah yang menyiasat penyalahgunaan dana majlis bandaran bernilai puluhan ribu dolar.

Hakim Mahkamah Tinggi Kannan Ramesh berkata bahawa Encik Low dan Cik Lim bukan sahaja tidak melaksanakan tanggungjawab dalam melantik ejen pengurusan bagi AHTC tanpa membuka tender, malah mereka memberi gambaran "mengelirukan dan tidak jujur" untuk melakukan perkara tersebut.

Kedua-dua mereka telah melanggar tanggungjawab sebagai pihak dipercayai, kerana melantik FM Solutions and Services (FMSS) sebagai ejen pengurusan AHTC tanpa sebarang tender, menurut penghakiman bertulis Hakim Ramesh.

Menurut kertas susunan mesyuarat Parlimen untuk Selasa (5 Nov), usul itu menggesa Parlimen untuk menekankan "keperluan dan kepentingan Anggota Parlimen mengekalkan standard kewibawaan dan kebertanggungjawaban yang tinggi".

Ia merujuk kepada penghakiman mahkamah sebagai menyatakan bahawa Cik Lim dan Encik Low "berkelakuan tidak jujur serta melanggar tanggungjawab sebagai pihak dipercayai dan kelakuan mereka kurang berwibawa dan kurang berterus-terang".

Usul itu mengambil perhatian bahawa Cik Lim kekal sebagai Naib Pengerusi AHTC sementara Encik Low kekal sebagai anggota dilantik AHTC.

Oleh itu, usul tersebut menyeru majlis bandaran tersebut supaya "melaksanakan tanggungjawab mereka kepada para penduduk mereka", dengan meminta Cik Lim dan Encik Low tidak melibatkan diri dalam "semua hal dan kesilapan berhubung hal-hal kewangan.

Selain Encik Low, Cik Lim dan Encik Singh, para defendan lain dalam perbicaraan itu termasuk anggota AHTC Chua Zhi Hon dan Kenneth Foo; FMSS dan dua pemilik syarikat itu.

Perbicaraan tertumpu kepada dakwaan gagal memenuhi tanggungjawab sebagai pihak dipercayai oleh lapan defendan, termasuk pelantikan FMSS sebagai ejen pengurusan tanpa tender.

Pelantikan itu menyebabkan AHTC membuat bayaran tidak wajar bernilai lebih S$33 juta kepada FMSS dan diterajui oleh pihak-pihak dengan kepentingan bercanggah kerana mempunyai peranan dalam majlis bandaran dan FMSS - Cik How Weng Fan, yang bekerja dengan Encik Low untuk lebih dua dekad dan mendiang suaminya Danny Loh.

Tindakan mahkamah terhadap para defendan diambil oleh AHTC dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol, berikutan laporan audit yang menunjukkan pengawalan lemah dalam majlis bandaran tersebut, urus tadbir tidak cekap dan bayaran yang dipercayai tidak wajar bernilai berjuta-juta dolar yang dipercayai dibuat oleh majlis bandaran itu kepada FMSS.

Para defendan tersebut didapati bertanggungjawab di atas kebanyakan tuntutan yang dikenakan terhadap mereka, terutamanya kesilapan dalam melantik FMSS sebagai ejen pengurusan tanpa melakukan tender.

Terdapat juga kurang langkah perlindungan bagi bayaran kepada FMSS dan penyedia khidmatnya FM Solutions & Integrated Services dan ini mewujudkan "risiko bayaran berlebihan", kata hakim. Defendan juga dipersalahkan kerana kontrak-kontrak yang diberikan kepada beberapa kontraktor pihak ketiga.

Menyusuli penghakiman bulan lalu, Cik Lim, Encik Low dan Encik Singh boleh dipertanggungjawabkan ke atas sebahagian daripada tuntutan S$33.7 juta yang akan ditentukan dalam peringkat kedua perbicaraan.

Sebagai pembelaan, para AP mendakwa mereka bertindak atas kepentingan para penduduk mereka kerana mereka perlu mengejar tarikh akhir yang suntuk untuk mencari ejen pengurusan dan memastikan khidmat berterusan bagi para penduduk. 

Sumber : CNA/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita