Skip to main content

Singapura

Ustazah Widadul Wahidah, Ustaz Muhammad Sadid wakili SG dalam Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-62

Anggaran Waktu Membaca:
Ustazah Widadul Wahidah, Ustaz Muhammad Sadid wakili SG dalam Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-62

Qari Ustaz Muhammad Sadid Abd Latif (paling kiri) dan qariah Ustazah Widadul Wahidah Mahamod (tengah). (Gambar: @officeofmuftisg/Instagram)

SINGAPURA: Qari Ustaz Muhammad Sadid Abd Latif dan qariah Ustazah Widadul Wahidah Mahamod bakal mewakili Singapura dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62.

Demikian menurut catatan di laman Instagram Pejabat Mufti hari ini (18 Okt).

Ini adalah penyertaan ketiga bagi  Ustaz Muhammad Sadid dan kedua bagi Ustazah Widadul Wahidah dalam MTHQA dan yang pertama bagi mereka selepas pandemik COVID-19.

MTHQA kembali diadakan tahun ini selepas dua tahun ditiadakan disebabkan COVID-19.

Majlis tersebut bakal berlangsung selama enam hari mulai esok (19 Okt) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

BUKAN PENAMPILAN PERTAMA BAGI QARI & QARIAH SG

Ini bukan penampilan pertama bagi kedua-dua wakil qari dan qariah Singapura dalam MTHQA. Malah, kedua-dua qari dan qariah Singapura itu menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam penampilan sebelum ini semasa mewakili negara.

Ustaz Muhammad Sadid, yang merupakan seorang guru al-Quran bebas sepenuh masa, pernah mewakili negara dalam MTHQA pada tahun 2009, yang mana beliau meraih tempat keempat, dan sekali lagi pada 2011. MTHQA 2009 sekali gus merupakan pencapaian terbesarnya setakat ini.

Manakala, Ustazah Widadul Wahidah, Qariah aktif tempatan, turut pernah mengharumkan nama negara di pentas MTHQA pada 2018. Apatah lagi, beliau menduduki tempat ketiga semasa penampilan sulungnya itu.
Untuk MTHQA kali ini, kedua-dua peserta Singapura itu adalah antara 36 peserta dari 30 buah negara yang berjaya melepasi pusingan saringan, untuk berentap di peringkat seterusnya di pentas KLCC mulai esok (19 Okt).

Secara keseluruhan, seramai 64 peserta dari 40 buah negara menyertai MTHQA bagi edisi tahun ini dan melalui sesi saringan yang diadakan secara online dari 1 hingga 7 Julai lalu.

HANYA KATEGORI TILAWAH SAHAJA TAHUN INI

Majlis kali ini bakal menyaksikan hanya satu kategori, iaitu Tilawah Al-Quran yang dipertandingkan. Ini berlainan dengan edisi-edisi MTHQA yang diadakan sebelum ini, yang melibatkan bukan sahaja kategori Tilawah Al-Quran, bahkan kategori Hafazan Al-Quran juga.

Di MTHQA ke-61, Singapura diwakili qariah Ustazah Farah Nadhirah Afandi dan qari Ustaz Ahmad Daniyal Mohd Rizal.
MTHQA ke-61 itu menyaksikan qari dan qariah dari Malaysia, Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Fairuzah Panut menyandang gelaran juara sekali gus masing-masing membawa pulang hadiah jongkong emas bernilai RM70,000 (S$22,900), wang tunai RM40,000 (S$13,000) dan sebuah piala.

MTHQA ke-62 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.30 malam dari Rabu sehingga 24 Oktober. Anda juga boleh menyaksikan MTHQA menerusi FB live @myjakim.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita