Skip to main content

Singapura

"Ustazah, saya nak berubah" - ungkapan dorong relawan terus berbakti bantu banduan, bekas pesalah buka lembaran baharu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jul 2026 07:38PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 03:25PM

SINGAPURA: Sumbangan seramai 420 relawan dan 71 rakan kerjasama masyarakat diiktiraf menerusi Anugerah Sukarelawan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) tahun ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf para relawan dalam usaha menyokong banduan dan bekas pesalah dalam perjalanan pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.

MENDEKATI BANDUAN AGAR MEREKA TIDAK KESEORANGAN

Salah seorang penerima, Ustazah Maria Mohamed Siddique berkongsi pendorong utamanya untuk menjadi relawan di SPS adalah agar para banduan tidak berasa keseorangan.

"Kita tengok stigma masyarakat yang melihat banduan-banduan ini sebagai satu masyarakat yang susah untuk didekati. Itu yang mendorong saya untuk lebih mendekati mereka (untuk) memberikan harapan yang baru bagi mereka supaya mereka tahu bahawa kita masyarakat sentiasa ada bersama dengan mereka daripada mereka berada di dalam sehingga mereka keluar," jelas Ustazah Maria yang juga merupakan pendidik sepenuh masa di Masjid Assyakirin.

Ustazah Maria sudah menjalankan kelas agama di SPS selama lebih lima tahun bagi sekitar 20 banduan setiap kelas.

Di bawah program yang disusun oleh FITRAH, Ustazah Maria menyampaikan kelas-kelas pengajian dan tadabbur Al-Quran, serta sesi-sesi muhasabah diri menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan hadis.

Beliau berharap untuk meneruskan usaha relawan ini kerana percaya bahawa para banduan memerlukan bimbingan teguh daripada para asatizah sebagai golongan yang boleh mereka teladani dan yang boleh mereka ajukan soalan-soalan tentang hukum agama dan kehidupan.

"Penyebab utama saya datang ke sini (ialah) kerana mereka sentiasa mengatakan bahawa, "Ustazah, saya nak berubah," kata beliau.

Bahkan, kongsi beliau kepada wartawan Athirah Karim, terdapat bekas pelajar-pelajarnya dari SPS yang menyumbang kembali kepada masyarakat setelah dibebaskan. Antaranya, mereka giat menjadi relawan di masjid-masjid dan bersama Reben Kuning.

"Masyarakat perlu tahu bahawa mereka adalah manusia yang tidak lari daripada buat kesilapan, sama seperti kita. Mungkin, kita perlu memberikan mereka sokongan dari sudut emosi, sokongan dari sudut apabila mereka keluar daripada penjara," ungkap beliau.

JUMLAH RELAWAN SPS MELONJAK BERBANDING LEBIH 25 TAHUN LALU

Sumbangan Ustazah Maria diiktiraf dengan Anugerah Bakti Setia SPS dalam majlis pengiktirafan pada Jumaat (24 Julai).

Antara anugerah lain yang diberikan ialah Anugerah Throughcare Hero untuk mengiktiraf para relawan yang menyokong banduan semasa dalam tahanan dan terus menyokong mereka setelah dibebaskan.

Tetamu terhormat majlis, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Goh Pei Ming, menyatakan dalam ucapannya bahawa para relawan memainkan peranan penting dalam menyokong para banduan.

"Pemulihan adalah satu usaha bersama, dan perjalanan integrasi semula bermula sewaktu banduan di dalam penjara. Para relawan bertindak sebagai sinar harapan kepada para banduan dan bekas pesalah, dan bimbingan anda membantu mereka menghadapi cabaran-cabaran dan dalam masa yang sama tertumpu kepada masa depan mereka," ujar beliau.

Setakat Jun 2026, terdapat seramai 4,600 relawan SPS, jumlah yang telah jauh melonjak dari hanya sekitar 200 relawan pada tahun 2000.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita