Ustazah Nurdiana Hanim CEO wanita pertama PERGAS
SINGAPURA: Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam (PERGAS) dan menjadi wanita pertama persatuan itu.
Pelantikan tersebut berkuat kuasa 1 Oktober.
Demikian menurut PERGAS dalam satu kenyataan media pada Khamis (28 Sep).
Beliau bakal menjadi CEO ketiga PERGAS menggantikan Ustaz Dr. Mohamed Qusairy Thaha, yang melepaskan jawatan CEO pada 30 Jun tahun lalu, selepas satu setengah tahun memimpin PERGAS dan Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusof sebelum itu.
Ustazah Nurdiana Hanim adalah bekas pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah di peringkat sekolah rendah hingga menengah dan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah di peringkat pra universiti.
Beliau menyertai PERGAS sebagai penolong ketua perhubungan dan perkhidmatan korporat pada Julai 2013 sebelum dinaikkan pangkat selalu pengarah di jabatan yang sama pada 2017.
Menurut profil beliau diportal LinkedIn, Ustazah Nurdiana Hanim mempunyai lebih 10 tahun pengalaman profesional dalam komunikasi strategik dengan kemahiran dan pengetahuan merancang dan melaksanakan pengurusan krisis serta dasar dan prosedur organisasi.
Beliau juga mempunyai kepakaran dalam analisis sumber manusia dan metrik kewangan.
Menurut PERGAS, pelantikan Ustazah Nurdiana Hanim itu hasil daripada proses musyawarah yang meluas dan teliti, diselia oleh Majlis Tertinggi PERGAS.
Ia dilihat sebagai satu pengiktirafan "terhadap kepimpinannya yang berwawasan, keupayaannya untuk mengemudi melalui kedua-dua cabaran dan peluang, dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap nilai-nilai bersama badan itu."
Ustazah Nurdiana dianggap penggerak dalam transformasi tadbir urus PERGAS.
Beliau antara lain memainkan peranan penting dalam Perancangan Strategik yang meletakkan PERGAS sebagai Pertubuhan Amal yang boleh dipercayai.
Komitmen beliau terhadap pematuhan Kod Tadbir Urus Amal membawa kepada pembangunan proses dan dasar perolehan kewangan yang mantap.
Pencapaian cemerlang Ustazah Nurdiana dalam mengumpul dana juga mengukuhkan kedudukan kewangan PERGAS dengan ketara.
Di bawah kepimpinan beliau, kutipan Zakat tahunan PERGAS meningkat, daripada kurang daripada $700,000 kepada hampir $2 juta secara purata hari ini.
Ini membolehkan badan itu memberikan lebih banyak bantuan, sokongan dan perkhidmatan kepada para asatizah.
Semasa pandemik COVID-19, Ustazah Nurdiana menunjukkan kepimpinan yang luar biasa dengan melancarkan Pakej Rahmah untuk menyokong asatizah bebas yang mata pencarian mereka terjejas.
Mengulas pelantikannya itu, Ustazah Nurdiana Hanim menyifatkannya sebagai tanda nyata peluang pertumbuhan asatizah dalam sektor agama.
Beliau juga melahirkan komitmen untuk memperkasakan golongan asatizah melebihi kenaikan gaji mereka dan membayangkan ekosistem yang memudahkan pertumbuhan ekonomi asatizah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.