Skip to main content

Singapura

Ustazah Masnia, Ustazah Tapsirah antara penerima sulung anugerah madrasah MUIS

Anggaran Waktu Membaca:
Ustazah Masnia, Ustazah Tapsirah antara penerima sulung anugerah madrasah MUIS

Ustazah Masnia Nassim (kiri) dan Ustazah Tapsirah Hassan (kanan) sudah berbakti kepada pendidikan madrasah selama hampir 40 tahun. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 10:44PM
SINGAPURA: Dua wanita ini tidak asing dalam dunia pendidikan madrasah. Seorang merupakan pengetua Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah manakala seorang lagi sudah hampir empat dekad mengajar di madrasah.

Pada Rabu (26 Ogos), sumbangan kedua-duanya diiktiraf menerusi anugerah yang baru diperkenalkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Ustazah Masnia Nassim, yang sedang memimpin Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menerima Anugerah Bakti Kepimpinan Madrasah.

Anugerah itu diberikan kepada tujuh pengetua, naib pengetua dan penolong naib pengetua yang sudah memegang jawatan kepimpinan selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Ustazah Tapsirah Hassan, 67 tahun, pula menerima Anugerah Bakti Setia. Beliau mula mengajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah pada 1987, sebelum berpindah ke Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pada 2012.

Ayuh kenali mereka...

USTAZAH MASNIA INGIN PASTIKAN NILAI-NILAI AGAMA TERUS DIJULANG

Ustazah Masnia Nassim sebenarnya pernah menuntut di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah sebelum kembali berkhidmat di madrasah itu pada 1989.

Beliau juga menantu kepada pengasas madrasah tersebut, Almarhum Ustaz Mohd Noor Taib.

Pada 2018, Ustazah Masnia dilantik sebagai pengetua, menggantikan suaminya, Almarhum Ustaz Abdul Halim.

"Saya sedang memegang amanah. Selagi saya sihat, selagi diberikan kewarasan boleh berfikir, bagi pandangan dan pengalaman-pengalaman saya ada, saya akan kongsikan pada yang ada dan selagi relevan, Insya-Allah. Itu yang menjadi semangat untuk saya teruskan," ulas Ustazah Masnia.

Ditanya sama ada beliau berasa tertekan meneruskan perjuangan arwah bapa mentua dan suaminya, Ustazah Masnia berkongsi bahawa tanggungjawab itu bukan sesuatu yang asing baginya.

"Setelah pemergian Ustaz Mohd Noor Bin Taib, saya telah membantu sedikit sebanyak kepada mudir yang kedua, Almarhum Ustaz Abdul Halim. Pada tahun 2018, apabila beliau meninggal dunia, baru saya ambil (alih) sepenuhnya," ceritanya.

"Jadi, tekanan itu mungkin (saya) dah pernah rasa sebelum ini tapi dengan berkat sokongan pasukan saya, naib pengetua saya yang sebenarnya pun adalah yang berpengalaman dan berbelas tahun bersama Ustaz Mohd Noor, Ustaz Halim dan saya, jadi pasukan ini yang memberikan saya kekuatan dan sama-samalah kami mengatasi tekanan apa juga cabaran," tambah beliau.
Related article image
Ustazah Masnia Nassim menerima Anugerah Bakti Kepimpinan Madrasah dan Anugerah Bakti Setia Madrasah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Ustazah Masnia juga menerima Anugerah Bakti Setia atas khidmatnya dalam pendidikan madrasah selama 37 tahun.

Sepanjang tempoh itu, beliau menyaksikan pelbagai perubahan dalam pendidikan, daripada penggunaan papan hitam dan kapur hinggalah Apple TV sebagai alat pembelajaran hari ini.

Meski kaedah pengajaran berubah mengikut peredaran zaman, Ustazah Masnia tetap memastikan nilai-nilai agama terus menjadi pegangan para pelajar.

"Walaupun dunia bergolak dunia dengan bermacam-macam perubahan - teknologi yang semakin canggih dan sebagainya - pada saya nilai-nilai ugama Islam, iman, berakhlak itu tetap menjadi pegangan kami," ujarnya.

"Apa pun perubahan dari segi sukatan pelajaran, perubahan dari segi cara mengajar dan sebagainya, tapi nilai-nilai ini mesti tetap terus dipegang sampai bila-bila."

Seiring dengan perubahan dalam dunia pendidikan, Ustazah Masnia turut memastikan para guru terus meningkatkan kemahiran mereka menerusi program latihan, termasuk yang dikendalikan Kementerian Pendidikan (MOE).

Pada masa yang sama, beliau mempersiapkan barisan kepimpinan baharu untuk mengambil alih pada masa hadapan.

USTAZAH TAPSIRAH TERUJA LIHAT PELAJAR BERJAYA

Bagi Ustazah Tapsirah Hassan pula, minat mendalam terhadap bidang pengajaran menjadi pendorong untuk beliau terus berbakti dalam pendidikan madrasah selama 39 tahun.
Related article image
Ustazah Tapsirah Hassan menerima Anugerah Bakti Setia Madrasah setelah 39 tahun berkhidmat. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Sepanjang tempoh itu, beliau menyaksikan ramai anak muridnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Enam daripada bekas pelajarnya bahkan menerima Diploma Pakar NIE dalam Pengajaran dan Pembelajaran bagi Pendidik Madrasah Sepenuh Masa dalam majlis yang sama pada Rabu (26 Ogos).

"Saya sangat bersyukurlah sebab untuk masuk ke dalam NIE... bukan satu benda yang mudah. Apabila program ini boleh diduduki oleh asatizah, saya rasa itu satu peluang yang sangat besar kerana kita faham NIE itu adalah satu badan yang mendidik ataupun mengatur struktur yang lebih teratur untuk para guru mengajar," luahnya kepada BERITA Mediacorp.

"(Mereka) akan mengajar Generasi Z. Generasi Z ini, dia bukan macam zaman saya 40 tahun dulu. Dia generasi yang dah pakai AI, dah pakai teknologi tinggi. Jadi benda-benda ini semua memerlukan kemahiran. Jadi asatizah sekarang memang sepatutnya terdedah dengan kemajuan yang terkinilah supaya nanti, urusan pendidikan tu akan jadi lebih bermutu," tambah Ustazah Tapsirah lagi.

Beliau juga percaya kata-kata dorongan dapat membakar semangat anak-anak didiknya untuk terus mengejar impian mereka.

"Kalau saya jumpa anak-anak murid saya, ada dua perkataan yang selalu saya berkongsi dengan dia. Saya akan cakap anak soleh khalifah fil ard. Frasa ini macam kata-kata sakti. Anak-anak akan rasa macam, "Oh, saya dihargai."," ujar Ustazah Tapsirah dalam nada sebak.

"Lagi satu, kalau saya jumpa mereka, (saya akan katakan), Insya-Allah, al-ulama’ fil mustaqbal. Mereka rasa macam "Ustazah, itu apa?" (Saya kata) Insya-Allah, saya doakan awak jadi ulama di masa akan datang," ujarnya.

Ustazah Tapsirah dan Ustazah Masnia antara 27 penerima Anugerah Bakti Setia Madrasah.

TIGA ANUGERAH LAIN DISAMPAIKAN

Selain dua anugerah yang disebutkan, MUIS turut mengiktiraf sumbangan pendidik madrasah yang telah meninggal dunia menerusi Anugerah Penghormatan Madrasah (Anumerta).

Anugerah itu diterima oleh anggota keluarga enam pendidik berikut:
  • Almarhum Ustaz Azhari Yaakop
  • Almarhumah Ustazah Faridah Ali
  • Almarhumah Ustazah Fatimah Musroom
  • Almarhumah Ustazah Radziah Mohd Hashim
  • Almarhumah Ustazah Saadiah Pavidor
  • Almarhumah Ustazah Siti Sariah Kasa
MUIS turut menyampaikan Anugerah Jasa Bakti Madrasah kepada para pendidik yang sudah bersara.

Empat penerima pula dianugerahkan Anugerah Tajaan Possiswazah NIE untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pendidikan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita