Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustazah Liyana Rosli Asmara wanita pertama ambil alih tugas terajui Pusat Harmoni

Buat julung-julung kalinya, Pusat Harmoni akan dikemudikan oleh seorang wanita sejak perasmiannya pada tahun 2006. Ustazah Liyana Rosli Asmara akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pusat tersebut bagi menggantikan Ustaz Mohamed Ali Atan mulai 1 Julai 2020. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ustazah Liyana Rosli Asmara wanita pertama ambil alih tugas terajui Pusat Harmoni

Ustazah Liyana Rosli Asmara. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Pusat Harmoni akan dikemudikan oleh seorang wanita sejak perasmiannya pada tahun 2006. Ustazah Liyana Rosli Asmara akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pusat tersebut bagi menggantikan Ustaz Mohamed Ali Atan mulai 1 Julai 2020.

Upacara penyerahan tugas simbolik itu disaksikan lebih 40 pemimpin agama, masyarakat dan belia dalam satu perjumpaan Hari Raya yang dianjurkan secara maya oleh Pusat Harmoni pada Rabu (17 Jun).

Acara yang diadakan menerusi wadah persidangan video Zoom itu bagi meraikan hubungan harmonis yang sejak sekian lama terjalin antara agama berbeza di Singapura selain memperkukuhkan lagi rangkaian pemimpin silang agama.

Sepanjang tempoh menjadi Ketua Pusat Harmoni, Ustaz Ali membina hubungan baik dengan para pemimpin dan aktivis agama. Beliau tidak sahaja membangunkan banyak program kerjasama khusus seperti Sukan Harmoni dan siri ceramah silang agama bahkan juga menjadi tuan rumah kepada ramai pelawat dari pelbagai peringkat - dari kanak-kanak sekolah hinggalah Putera Charles.

Walaupun melepaskan jawatan selaku Ketua Pusat Harmoni, Ustaz Ali akan terus menyumbang kepada pusat itu sebagai sebahagian daripada anggota Panel Pemimpin Silang Agama Islam yang baru dilantik.

Beliau akan menyertai Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohamed Hannan Hassan, dalam panel baru itu yang bermatlamat untuk memberi nasihat, menggalak dan memupuk pendampingan silang agama di samping menjadi wajah peran contoh Muslim bagi perpaduan sosial.

Ketika menyampaikan ucapannya sewaktu perjumpaan Hari Raya itu, Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood berkata pelantikan Ustazah Liyana memang tepat pada masanya. Ini sedang Pusat Harmoni berusaha untuk menyemak semula kedudukan dan peranannya dalam landskap perpaduan sosial di Singapura.

Beliau menambah: "Keadaan tidak akan lagi sama untuk Pusat ini, juga tidak akan sama bagi semua pertubuhan agama di Singapura. Sebaliknya, norma-norma baru harus diterapkan dan kaedah-kaedah baru program dibangunkan. Ruang online akan menjadi sempadan baru kita."

"Ruang inilah yang boleh memecahbelahkan kita. Ini menjadikannya lebih penting untuk kita secara aktif menambat hati dan minda masyarakat kita dan menyatukan mereka dalam suasana yang saling hormat-menghormati dan faham-memahami," ujarnya lanjut.

Sementara itu, dalam ucapan penutupnya, Dr Nazirudin menekankan bahawa usaha menjalin hubungan kaum dan agama yang positif serta membina mesti diteruskan. Beliau juga menegaskan betapa pentingnya seorang pemimpin memimpin dengan penuh teladan.

"Sebagai masyarakat beragama, kita benar-benar menghargai keharmonian, rasa hormat dan kehidupan yang penuh kasih sayang. Setiap langkah positif yang diorak meletakkan kita di hadapan tetapi setiap konflik atau krisis, menyulitkan perjalanan dan tujuan kita lebih jauh. Ini seharusnya dijadikan misi kita untuk sama-sama memastikan ia bukan di luar jangkauan kita," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan