Ustazah Latifah Harun - Isteri Ustaz TM Fouzy - meninggal dunia
Ustazah Latifah Harun, iaitu isteri kepada tokoh agama terkenal Singapura, Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat, meninggal dunia di sini hari ini (30 Jul).
Ustazah Latifah Harun - Isteri Ustaz TM Fouzy - meninggal dunia. (Gambar: Pergas/FB)
SINGAPURA: Ustazah Latifah Harun, iaitu isteri kepada tokoh agama terkenal Singapura, Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat, meninggal dunia di sini hari ini (30 Jul).
Jenazah Allahyarhamha Ustazah Latifah selamat dikebumikan petang tadi selepas solat Asar. Jenazahnya disolatkan di Masjid Sultan.
Allahyarhamha merupakan Pengarah syarikat TM Fouzy Travel & Tours.
Allahyarhamha Ustazah Latifah Harun. (Gambar: Tengku Madihah)
Peristiwa menghibakan itu berlaku sehari selepas Ustaz TM Fouzy berangkat ke Arab Saudi semalam (29 Jul) bersama 25 orang jemaah haji. BERITAmediacorp difahamkan, Ustaz TM Fouzy kini sudahpun berada di Makkah.
Ini disahkan oleh kemas kini di laman Facebook TM Fouzy Travel & Tours semalam.
"Ayah tenanglah. Dia reda. Tak ada macam kelam kabut. Dia pesan supaya kita reda, ini semua ketentuan Allah." - Tengku Madihah dengan nada sebak.
TIDAK SEDARKAN DIRI PADA 1.30 PAGI
Semasa dihubungi BERITAmediacorp, anak sulung Allahyarhamha, Tengku Madihah berkata mereka menyedari ibunya tidak sedarkan diri sekitar pukul 1.30 pagi (Selasa) dan segera menghubungi ambulans. Allahyarhamha dikejarkan ke Hospital Besar Sengkang dan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.00 pagi.
Tengku Madihah menambah, ibunya sebenarnya tidak menghidap sebarang penyakit dan pemergiannya itu beliau sifatkan sebagai agak mengejutkan.
"Semalamnya, ayah dengan adik saya Tengku Maryam (anak kelima) berangkat menunaikan Haji. Jadi kita semua berada di Lapangan Terbang.
"Semua biasa. Ibu tidak menunjukkan apa-apa tanda pun. Kita ambil gambar sekeluarga," cerita Tengku Madihah.
Kecuali Ustaz TM Fouzy dan Tengku Maryam, seluruh anggota keluarga Allahyarhamha Ustazah Latifah yang lain berada di Singapura ketika ini.
Gambar terakhir Allahyarhamha (tiga dari kanan) bersama keluarga; dipetik semalam (29 Jul). (Gambar: Tengku Madihah)
Pengebumian Ustazah Latifah diuruskan oleh anak-anak dan keluarganya di Singapura.
Apabila ditanya apakah pesanan ayahnya, Ustaz TM Fouzy setelah dimaklumkan tentang pemergian isteri tercinta, ringkas sahaja jawapan tokoh agama veteran dan terkemuka tempatan itu, kongsi Tengku Madihah.
"Ayah tenanglah. Dia reda. Tak ada macam kelam kabut. Dia pesan supaya kita reda, ini semua ketentuan Allah," menurut Tengku Madihah dengan nada sebak.
Allahyarhamha bersama suami dan salah seorang anaknya. (Gambar: Tengku Madihah)
USTAZAH LATIFAH BARU RAIKAN ULANG TAHUN KE-57
Ustaz TM Fouzy dan Ustazah Latifah Haron sudah berumahtangga selama 31 tahun.
Tengku Madihah malah memberitahu BERITAmediacorp bahawa ibunya baru sahaja menyambut hari lahir ke-57 lebih dua minggu lalu, iaitu pada 13 Julai.
Berita sedih pemergian tokoh dalam syarikat pelancongan TM Fouzy & Tours yang terkemuka itu disampaikan oleh anaknya, Tengku Muhammad Fauwaz Fathurrahman, menerusi satu catatan laman Facebook awal pagi tadi.
"Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dengan dukacita, pada pagi ini, 30/07/19, kami kehilangan Ibunda tercinta -
Latifah Binte Harun.
"Seorang isteri, ibunda, dan ninda yang sangat dikasihi dan disayangi. Kami mohon doa para sahabat dan rakan taulan semoga dipermudahkan segala urusan," bunyi catatan Facebook Tengku Muhammad Fauwaz itu.
Allahyarhamha Ustazah Latifah Harun (depan, dua dari kiri) bersama para pegawai haji TM Fouzy. (Gambar: Ayob Mohd Said/FB)
PERGAS LAHIR RASA SEDIH
Ucapan-ucapan takziah dan doa daripada para anggota dan pertubuhan masyarakat muncul bertali arus di media sosial, untuk Ustaz TM Fouzy dan keluarganya.
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) melahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamha, yang juga merupakan bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarganya.
Allahyarhamha meninggalkan seorang suami dan enam orang anak - Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah, Tengku Muhammad Fauwaz Fathurrahman, Tengku Mufidah Fadhilatul Faezah, Tengku Munirah Fatihatul Futuhah, Tengku Maryam Fathimatul Fudhla dan Tengku Muhammad Farouqy Faidhullah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.