Skip to main content

Singapura

Ustaz TM Fouzy meninggal dunia pada usia 69 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz TM Fouzy meninggal dunia pada usia 69 tahun

(Gambar: BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 18 Dec 2024 05:42PM Dikemas Kini : 18 Dec 2024 05:43PM
SINGAPURA: Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 69 tahun pada Rabu (18 Dis).

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada sekitar pukul 3.30 petang tadi.

Demikian disahkan anaknya Ustaz Tengku Muhammad Fauwaz Jumat kepada BERITA Mediacorp.

"Beliau baru sahaja mencecah usia 69 tahun bulan lalu.

"Buat masa ini, kami masih di sebelah jenazah di hospital," jelas Ustaz TM Fauwaz menerusi panggilan telefon.

Berita pemergian Ustaz TM Fouzy dikongsikan di laman Facebook TM Fouzy Travel & Tours.

"Dengan penuh dukacita dimaklumkan, bahawa al-Fadhil Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Jumat telah kembali ke rahmatullah petang ini.
"Semoga roh almarhum ditempatkan dalam kalangan para Anbiya’, Syuhada’, Auliya’ & Solihin.

"Insya-Allah jenazah akan disembahyangkan esok di Masjid Sultan selepas Zuhr," tulis catatan tersebut.

Catatan berkenaan turut dikongsikan semula oleh laman Facebook Pejabat Mufti, Office of the Mufti Singapore, dengan ungkapan takziah berbahasa Arab yang berbunyi 'Inna lillahi wainna ilaihi rojiun'.
Sebelum ini, Allahyarham Ustaz TM Fouzy dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) TTSH dan ditidurkan.

Allahyarham dikejarkan ke hospital pada pukul 2.30 pagi setelah mula sesak nafas sejak tengah malam 22 November.

Menurut Ustaz TM Fauwaz, Allahyarham pernah menjalani pembedahan jantung 10 tahun lalu.

Selain ceramah dan kelas agamanya, Ustaz TM Fouzy juga dikenali sebagai pengasas TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd yang ditubuhkan beliau pada 1994.

Beliau turut berkhidmat selaku Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS).

Atas sumbangan dan dedikasinya, Allahyarham Ustaz TM Fouzy pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jasa Bakti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 2011.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita