Skip to main content

Singapura

Ustaz Syakir Pasuni ganti Ustaz Nor Razak Bakar sebagai Pendaftar baharu ROMM

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jan 2026 07:27PM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 03:48PM
SINGAPURA: Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) Ustaz Nor Razak Bakar akan melepaskan jawatannya pada 31 Januari 2026.

Jawatan tersebut pula akan disandang oleh Ustaz Syakir Pasuni mulai 1 Februari 2026.

Ustaz Syakir yang mempunyai lebih 18 tahun pengalaman dalam sektor keagamaan dan perkhidmatan awam, telah menyertai ROMM sebagai Kadi dan Timbalan Pendaftar sejak Mac 2018.

Sebelum menyertai ROMM, beliau telah berkhidmat sebagai Naib Kadi selama sembilan tahun.

Ustaz Syakir telah memainkan peranan penting dalam membangunkan struktur program Bersamamu. Sepanjang tempoh perkhidmatannya di ROMM, beliau turut memainkan peranan utama dalam memperkukuh keupayaan profesional Kadi dan Naib Kadi, termasuk penubuhan platform Komuniti Amalan (Community of Practice) bagi meningkatkan perkongsian ilmu dan penambahbaikan berterusan.

Bagi memastikan kelangsungan operasi dan inisiatif ROMM yang lancar, beliau telah bekerjasama rapat dengan Pendaftar sedia ada sepanjang tempoh peralihan ini.

Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, turut merakamkan penghargaannya kepada Ustaz Nor Razak

“ROMM merupakan sebuah institusi penting di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA), dengan peranan Pendaftar yang amat penting dalam membina kerjasama kukuh yang menjadi asas kepada perkahwinan yang mantap dan stabil," kata Dr Faishal.

"Ustaz Nor Razak telah memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan sokongan perkahwinan dengan menggerakkan Kadi dan Naib Kadi untuk memberikan bimbingan berterusan kepada pasangan melangkaui upacara akad nikah. Saya merakamkan penghargaan kepada Ustaz Nor Razak atas dedikasi dan sumbangan beliau yang tidak berbelah bahagi sepanjang 26 tahun perkhidmatan beliau bersama ROMM. Saya menantikan kerjasama erat bersama Ustaz Syakir Pasuni dalam usaha berterusan memperkukuh sokongan kepada keluarga Muslim di Singapura,” tambahnya lagi.

Ustaz Nor Razak telah dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan Orang Islam keempat pada Oktober 2019. Sepanjang tempoh perkhidmatannya di (ROMM), Ustaz Nor Razak telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam membina perkahwinan Muslim yang kukuh.

Di bawah kepimpinan beliau, ROMM telah berjaya membangunkan program Bersamamu sebagai sebuah program yang dipercayai untuk pasangan Muslim.

Dilancarkan pada Julai 2019, program Bersamamu menyokong pasangan Muslim melalui bimbingan sebelum berumahtangga serta sokongan lanjut dalam tempoh dua tahun pertama perkahwinan mereka oleh Kadi atau Naib Kadi. Program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 36,000 pasangan Muslim setakat ini.

Ustaz Nor Razak juga telah menerajui peluasan program Bersamamu melalui kerjasama strategik dengan 'PERGAS Solace Care' pada Ogos 2023, sekali gus memperkukuh sokongan kepada para isteri melalui bimbingan dan kaunseling oleh asatizah wanita.

Ustaz Nor Razak akan terus menyumbang kepada masyarakat Islam sebagai Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita