Ustaz Mohammad Yusri Yubhi lepaskan jawatan sebagai CEO Pergas
Ustaz Mohammad Yusri Yubhi lepaskan jawatan sebagai CEO Pergas.

Ustaz Mohammad Yusri Yubhi lepaskan jawatan sebagai CEO Pergas. (Gambar: Pergas)
SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) sekarang, iaitu Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusof akan melepaskan jawatannya pada 5 Julai 2021.
Tampuk kepimpinan Pergas akan diambil alih oleh Ustaz Dr. Mohamed Qusairy Thaha, yang buat masa ini bertindak sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pergas.
Demikian didedahkan oleh Pergas menerusi kenyataan medianya hari ini (23 Apr).
Ustaz Dr. Mohamed Qusairy akan mengambil alih tugas sebagai CEO Pergas berkuat kuasa 6 Julai 2021.
Ustaz Mohammad Yusri sudah memegang jawatan sebagai CEO Pergas selama lapan tahun - dari 20 Jun 2013 hingga 5 Julai 2021.
Beliau sudah menerajui program-program untuk mempertingkatkan kebajikan para asatizah menerusi Skim Anak Angkat Madrasah (MSAS), Bantuan Kewangan Asatizah (AFA) dan Pakej Baik Budi bagi asatizah yang terjejas dek COVID-19.
Sepanjang kepimpinan beliau, Pergas sudah memperkukuh kod tadbir urusnya dan mempertingkat status akademik dan pentauliahan sayap Pendidikan Islam Pergas, iaitu Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).
Semua itu sejajar dengan pelan strategik empat tahun Pergas (2017-2020).
Sepanjang penggal perkhidmatannya, Ustaz Mohammad Yusri pernah ditugaskan untuk menyelia Pergas Investment Holdings (PIH) buat sementara waktu.
Beliau menerajui projek itu bagi memperoleh bangunan baru untuk Pergas. Hasil daripada usaha itu adalah bangunan lima tingkat bernilai jutaan dolar di Changi Road, yang dipanggil Paradise@Pergas.
"Ternyata, perkhidmatan saya di Pergas memberikan pengalaman dan pendedahan amat bernilai dalam perkembangan kerjaya saya baik secara mental, rohani dan intelek. Saya mahu anda tahu betapa saya seronok bekerja dan mengenali semua rakan masyarakat dan pihak-pihak berkepentingan.
"Ia adalah salah satu perkara paling menyeronokkan dalam tugas saya dan saya pasti pengganti saya, Ustaz Qusairy akan meneruskan jalinan hubungan kerja yang positif itu," kata Ustaz Mohammad Yusri.
SIAPA USTAZ DR. MOHAMED QUSAIRY THAHA?
Ustaz Dr Mohamed Qusairy berpengalaman lebih sedekad menerajui sebuah institusi agama, iaitu Darul Quran Singapura.
Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah atau PhD dalam bidang Ketamadunan Islam daripada Universiti Malaysia.
Beliau berpegang kepada prinsip belajar sepanjang hayat dan sangat gemar mempelajari ilmu baru.
Maka itu, beliau berharap dapat menyokong pembangunan profesional para asatizah tempatan.
Biasiswa Pos-Siswazah Pergas 2018
Sebagai penerima biasiswa Pos-Siswazah Pergas pada 2018, Ustaz Dr. Mohamed Qusairy tidak asing lagi dalam kalangan para astizah dan juga masyarakat Melayu/Islam tempatan.
Beliau juga menganggotai beberapa lembaga sebagai Anggota Dilantik Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) MUIS, Panel Semakan Dasar dan Rangka Kerja CPE, Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan Majlis Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Beliau juga memainkan peranan sebagai Penolong Setiausaha Lembaga Pergas.
Ustaz Dr. Mohamed Qusairy juga sudah menjalin hubungan-hubungan dan kerjasama bermakna menjangkaui pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam.
Beliau juga pernah menerima biasiswa kajian dari Lembaga Perpustakaan Negara Singapura (NLB), Lee Kong Chian (2019-2020).
Dengan pengalamannya yang luas,
Ustaz Dr. Mohamed Qusairy percaya bahawa ada lebih banyak ruang dan peluang pendedahan untuk para asatizah terus berjaya dalam kerjaya mereka, malah lebih dari itu.
Berkongsi tentang matlamatnya, Ustaz Dr. Mohamed Qusairy berkata beliau menyasarkan dua perkara.
Pertama, menyokong pembangunan profesional para asatizah dalam memberikan panduan agama sepanjang kerjaya mereka (pembelajaran sepanjang hayat).
Kedua, mewujudkan sosio-agama yang lebih baik kepada masyarakat, pertubuhan bukan untuk keuntungan dan agensi pemerintah melalui para karyawan kita.
"Sebagai sebuah pertubuhan asatizah, kita cenderung memikirkan hanya tentang anggota, baik muda mahupun tua. Namun ada banyak lagi orang dan kumpulan-kumpulan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat kita, kata Ustaz Dr. Mohamed Qusairy.
Beliau merujuk kepada anggota Pergas yang juga merupakan sukarelawan, penderma dan penyumbang kepada pembangunan asatizah.
Selain itu terdapat juga rakan-rakan karyawan dan strategik yang menyokong perjuangan Pergas.
"Kita bekerjasama dengan para karyawan lain berhubung acara, perkongsian idea, panduan agama dan pengetahuan untuk memperkaya semua pihak berkepentingan. Saya mahu terus memperkukuh hubungan-hubungan itu dan menerusinya meningkatkan nilai asatizah kita," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.