Ustaz Mohaimin satu-satunya ustaz kurang daya penglihatan ajar al-Quran Braille di S'pura
Di Singapura sekarang ini, hanya ada satu sahaja guru al-Quran dalam kalangan orang kurang daya penglihatan yang mengajar Quran menggunakan Braille.
BERITAmediacorp: Di Singapura sekarang ini, hanya ada satu sahaja guru al-Quran dalam kalangan orang kurang daya penglihatan yang mengajar Quran menggunakan Braille.
Namun bilangannya dijangka bertambah kepada 20 asatizah dalam tempoh setahun dua ini.
Perkembangan dan berita baik itu dijangka memenuhi lebih banyak lagi permintaan belajar al-Quran Braille daripada orang-orang kurang upaya penglihatan atau buta, yang kini dihambat tenaga pengajar yang terhad.
BERITAmediacorp berpeluang untuk bertemu guru al-Quran bernama Ustaz Mohaimin Tokyan itu dan meninjau isu tersebut.

USTAZ MOHAIMIN, 'USTAZ BRAILLE’
Sejak kecil lagi, beliau disahkan mengalami masalah penglihatan.
Meskipun kadar penglihatannya setakat 10 peratus dan Ustaz Mohaimin Tokyan masih boleh membaca al-Quran biasa, beliau tetap mempelajari al-Quran Braille sebagai mempersiap diri.
"Saya juga diberitahu oleh doktor bahawa penglihatan saya mungkin tidak kekal. Jadi saya belajar braille itu sebagai satu usaha untuk bersiap sedia seandainya penglihatan saya akan hilang.
“Jadi saya belajar walaupun saya masih boleh nampak,” cerita Ustaz Mohaimin kepada BERITAmediacorp tentang titik mula keakrabannya kepada al-Quran braille.

MAHU BERBAKTI KHUSUSNYA KEPADA RAKAN-RAKAN KURANG UPAYA
Namun, siapa sangka hari ini beliau bergelar seorang ustaz dan mengajar al-Quran kepada golongan yang kurang atau tiada daya penglihatan.
Ustaz Mohaimin, 55 tahun kini dipercayai satu-satunya guru agama tempatan, yang mengajar al-Quran Braille di Singapura, yang memegang tauliah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
"Saya nak berbakti kepada masyarakat terutama sekali golongan-golongan kurang upaya atau kawan-kawan sayalah. Saya nak berbakti kepada mereka dan nampaknya sumbangan saya kepada mereka lebih utama Braille. Bagi masyarakat kurang upaya, saya lebih diperlukan dalam Braille," ujar beliau.

Setiap minggu, Ustaz Mohaimin mengajar al-Quran Braille kepada antara 10 dengan 13 pelajar kurang daya penglihatan di Masjid Alkaff Upper Serangoon.
Kelas itu anjuran Persatuan Belia Bedok bagi Orang Kurang Upaya (BYSD).
Sebahagian daripada pelajarnya sebelum ini tiada pendedahan mempelajari huruf hijaiyah.
"Saya selalu menggalakkan mereka bahawa dengan usaha dengan latihan insya-Allah mereka akan mengatasi cabaran ini dan seperti yang kita tahu sekarang saya melihat ada beberapa pelajar yang sudah boleh baca, boleh mengenal dan itu menunjukkan sebenarnya kalau mereka usaha, hal-hal yang susah itu akan jadi senang," kongsi Ustaz Mohaimin.

DULU TAK TAHU, KINI SUDAH KENAL TITIK BRAILLE
Asuhan Ustaz Mohaimin ternyata membuahkan hasil dalam misi membina generasi celik Quran di kalangan para pelajar istimewa itu. Testimoni daripada para pelajar beliau menjadi buktinya.
"Alhamdulillah dalam kelas ini walaupun seminggu sekali tapi Alhamdulillah saya dah dapat baca A BA TA sampai YA boleh kenal titiknya lah,” akui salah seorang pelajar al-Quran Braille, Cik Siti Rossaliza Rosli kepada BERITAmediacorp.
"Dulu saya tak begitu hafal, kalau saya tak raba dia punya titik Braille tapi sekarang saya boleh raba, boleh baca dan boleh kenal dia punya apa-apa yang diajar," kata seorang lagi pelajarnya, Cik Fadiah Aman, yang berharap untuk dapat membaca al-Quran dengan lebih lancar pada masa akan datang.

TENAGA PENGAJAR AL-QURAN BRAILLE DIPERLUKAN
Penolong Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif BYSD, Halipa Ahmad memberitahu BERITAmediacorp, terdapat permintaan bagi lebih banyak kelas al-Quran Braille seumpama itu.
Namun, tenaga pengajarnya amat terbatas buat masa ini. Jelas, terdapat jurang antara permintaan dan bekalan dalam soal pendidikan Quran untuk golongan kurang daya penglihatan.
"Kita memerlukan lebih ramai pengajar Braille ini. Perlukan semua, khususnya asatizah. Asatizah kita belajar Braille untuk mengajar orang-orang yang tak nampak inilah supaya mereka boleh membaca Quran dengan lancar,” kata beliau.

Berita baiknya ialah, harapan tersebut ada kemungkinan menjadi kenyataan tidak lama lagi - dalam masa setahun dua ini.
Ini kerana Ustaz Mohaimin juga sedang mengajar al-Quran Braille kepada sekitar 20 asatizah tempatan di Masjid Yusof Ishak - sekali gus memastikan golongan kurang daya penglihatan tidak terpinggir dan lebih inklusif dalam pembelajaran al-Quran.
Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Masjid Yusof Ishak memaklumkan bahawa kumpulan asatizah itu baru sahaja selesai mengikuti modul pertama pengajian al-Quran Braille dan akan meneruskan dengan dua lagi modul selepas bulan Syawal tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.