Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustaz Dr Mohamed Ali ambil alih jawatan selaku Pengerusi Bersama RRG; Ustaz Ali terus sumbang sebagai Presiden Emeritus RRG

Ustaz Dr Mohamed Ali akan mengambil alih jawatan bapanya selaku Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mulai 1 September ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Dr Mohamed Ali ambil alih jawatan selaku Pengerusi Bersama RRG; Ustaz Ali terus sumbang sebagai Presiden Emeritus RRG

Ustaz Ali Mohamed berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Pemulihan Pengganas dan Daya Ketahanan Masyarakat. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Ustaz Dr Mohamed Ali akan mengambil alih jawatan bapanya selaku Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mulai 1 September ini. 

Ini berikutan pengumuman bahawa Ustaz Ali Mohamed akan bersara pada akhir bulan ini. 

Namun begitu, Ustaz Ali, 74 tahun akan terus menyumbang kepada RRG selepas persaraan, selaku Presiden Emeritus RRG.  

Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong merakamkan penghargaan beliau atas sumbangan Ustaz Ali.  

PM Lee berkata: "Selain RRG, Ustaz Ali juga menyandang banyak jawatan kepimpinan dalam masyarakat Melayu/Islam. Ini termasuk sebagai Pengerusi Masjid Khadijah selama 30 tahun, sehingga beliau mengundurkan diri baru-baru ini." 

"Ustaz Ali, selamat bersara. Atas sumbangan besar anda kepada masyarakat Melayu/Islam dan kepada Singapura, terima kasih!" tambah beliau. 

Badan RRG ditubuhkan sekitar 20 tahun lalu selepas berlakunya tragedi serangan pengganas 11 September 2001. 

Ia dilancarkan secara rasmi pada 23 April 2003. 

Dalam ucapannya, PM Lee berkata: "RRG bertungkus-lumus dalam memulihkan mereka yang tersasar daripada landasan agama, selain membimbing masyarakat tentang tafsiran dan amalan agama Islam yang sebenar. 

"Mereka bukan sahaja melindungi masyarakat Islam daripada ideologi ekstremis malah turut membantu mengekalkan keyakinan terhadap masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita," ujar beliau lagi. 

Sempena sambutan ulang tahun ke-20 RRG tahun depan, PM Lee turut merakamkan penghargaannya kepada barisan asatizah yang sudah menyumbang kepada RRG.

"Khususnya, kepada dua pengerusi bersama, Ustaz Hasbi Hassan dan Ustaz Ali Mohamed. Mereka menunjukkan keteguhan, keberanian, dan komitmen yang tinggi dalam memimpin RRG."

PERSARAAN USTAZ ALI BERI LALUAN KEPADA ANAKNYA SANDANG JAWATAN PENGERUSI BERSAMA RRG

Selepas persaraan Ustaz Ali pada akhir bulan ini, jawatannya selaku Pengerusi Bersama RRG akan disandang oleh anaknya, Ustaz Dr Mohamed Ali. 

Ustaz Dr Mohamed Ali, 49 tahun, akan menyandang jawatan tersebut bersama Ustaz Mohamad Hasbi Hassan. 

"Perubahan kepimpinan RRG adalah sesuatu yang telah lama difikirkan oleh kedua-dua pengerusi bersama RRG. Pada hari ini memandangkan keadaan kesihatan pengerusi bersama Ustaz Ali, maka kami merasakan. atau Ustaz Ali sendiri merasakan, bahawa sebaiknya beliau berundur diri daripada kepimpinan untuk memberikan fokus kepada kesihatan beliau," jelas Ustaz Dr Mohamed. 

Jawatan baru Ustaz Ali sebagai Presiden Emeritus RRG juga menurut Ustaz Dr Mohamed, adalah sesuatu yang amat dialu-alukan kerana "kepakaran, hikmah, pengalaman dan juga ilmu Ustaz Ali itu seharusnya terus dimanfaatkan oleh RRG". 

Ustaz Dr Mohamed berkata: "Ini adalah satu pelantikan kehormat yang diberikan kepada beliau supaya beliau terus dapat membimbing kami. Dalam masa-masa kita menghadapi banyak cabaran, dalam masyarakat kita terutama sekali menentang ideologi kebencian, dan radikal ini, kita memerlukan pengalaman, hikmah daripada para ulama-ulama mapan kita." 

Beliau juga berkata RRG mengharapkan bimbingan dan nasihat Ustaz Ali yang sangat berharga agar dapat membantu badan itu dalam melakarkan strategi  jangka pendek dan jangka panjang. 

Ustaz Dr Mohamed turut menegaskan bahawa menentang ideologi radikal adalah sesuatu yang berterusan dan harus melibatkan semua pihak. 

ULANG TAHUN RRG KE-20 

Bagi menyambut ulang tahun RRG ke-20 tahun depan, Ustaz Dr Mohamed berkata bahawa pihaknya sedang dalam proses menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pembangunan pada pusat sumber dan kaunseling RRG yang terletak di Masjid Khadijah.

Pembaikan pusat tersebut yang juga menjadikan kawasannya lebih luas, akan membolehkan pihak RRG untuk mengadakan lebih banyak program, terutama sekali dalam usaha mendekati anak-anak muda menentang ideologi radikal. 

"Program-program untuk kita mendekati belia dan masyarakat yang bukan Islam sekalipun untuk berkongsi dengan mereka bahayanya ideologi yang dapat menghancurkan kestabilan dan keharmonian negara. Itu menjadi harapan kita dengan adanya infrastruktur yang baru bagi RRG Masjid Khadijah, kami dapat melakukan yang lebih baik lagi untuk organisasi kami." 

Ustaz Dr Mohamed juga menyandang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Khadijah (KMMB) sejak 1 Ogos lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan