Ustaz Dr Afif Pasuni, Abdul Ghani Mohammad Isa dilantik mudir baharu Madrasah Aljunied & Al-Arabiah, berkuatkuasa 2027
SINGAPURA: Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah akan menerima mudir baharu bermula Januari tahun depan.
Ustaz Dr Afif Pasuni akan menggalas peranan Mudir Madrasah Aljunied yang sebelum ini dipegang oleh Encik Herman Cher Ma'in manakala Encik Abdul Ghani Mohammad Isa pula akan menggantikan Cik Aisha Abdul Manaf selaku Mudir Madrasah Al-Arabiah.
Sebelum menggalas jawatan Mudir sepenuhnya, kedua-dua individu itu memegang peranan sebagai Bakal Mudir bermula Julai ini.
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), tempoh peralihan itu bagi memastikan kesinambungan sambil memberi ruang kepada pemimpin baharu untuk bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar.
USTAZ DR AFIF PASUNI AKAN GANTIKAN HERMAN CHER MA'IN SELAKU MUDIR MADRASAH ALJUNIED AL-ISLAMIAH
Dahulunya pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah sehingga tahun 2000.
Kini, hampir 30 tahun kemudian, Ustaz Dr Afif Pasuni kembali ke madrasah itu.
Mengulas tentang peranan baharunya itu, Ustaz Dr Afif, 44 tahun, membentangkan beberapa keutamaan masa terdekat.
Beliau berkata: "Keutamaan saya adalah bersama dengan para asatizah dan guru-guru adalah memastikan kurikulum madrasah terus mengukuhkan penguasaan ilmu Islam dan membangunkan para pelajar secara menyeluruh. Para pelajar memang perlu teguh dalam ilmu agama dan mereka juga perlu cemerlang dalam bidang akademik sambil memiliki keupayaan berfikir, komunikasi, memimpin dan mempunyai daya tahan diri."
"Kami juga ingin madrasah menjadi pusat tarbiyyah yang menumbuhkan akhlak, ilmu dan juga semangat berbakti kepada masyarakat kerana kejayaan bukan diukur hanya pada pencapaian pemeriksaan sahaja, tetapi pada insan yang dibentuk," tambah beliau lagi.
Ustaz Dr Afif menggalas tanggungjawab selaku Naib Mudir Madrasah Aljunied pada 2023 sehingga sekarang.
Beliau juga akur akan tanggungjawab selaku mudir untuk terus memastikan Madrasah Aljunied dapat menepati harapan masyarakat yang menjadikan madrasah itu sebagai "rujukan kecemerlangan pendidikan Islam."
Ustaz Dr Afif berkata: "Saya melihat madrasah Madrasah Aljunied sebagai institusi amanah yang mempunyai peranan besar dalam mencorak masa depan pendidikan Islam di Singapura."
"Dengan warisan ilmu yang panjang, Madrasah Aljunied terus berupaya melahirkan kepimpinan Islam di Singapura dan sumbangan ini tidak terbatas pada graduan yang dihasilkan tetapi turut terserlah menerusi pengembangan guru-guru, pemerkasaan kurikulum dan dalam penyuburan wacana berhikmah," luah beliau yang juga seorang anggota Jawatankuasa Fatwa sejak 2023.
Ustaz Dr Afif sekarang ini sedang menjalani program Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan (MLS) di Institut Pendidikan Nasional (NIE) sehingga awal bulan depan.
HERMAN CHER MA'IN BERI LALUAN KEPADA USTAZ DR AFIF, KEKAL SEBAGAI SUPERINTENDEN JMS
Ustaz Dr Afif menerima tanggungjawab sebagai Mudir Madrasah Aljunied Al-Islamiah daripada Encik Herman Cher Ma'in, 59 tahun.
Encik Herman sudah menggalas peranan itu sejak 2023.
Peranan beliau dalam sektor madrasah cukup disegani, selepas juga pernah dilantik sebagai Mudir satu lagi madrasah, iaitu Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah selama 12 tahun sebelum itu.
Encik Herman berkata: "Di Madrasah Al-Arabiah, saya berpeluang bersama warga sekolah, membina kekuatan bahari dan memperkukuh institusi dalam landskap madrasah yang sedang berkembang. Di Madrasah Aljunied, saya memikul tanggungjawab untuk meneruskan legasi institusi yang bersejarah dan mempunyai reputasi dan harapan masyarakat yang tinggi."
"Sepanjang lebih sedekad saya berkhidmat dalam sektor madrasah, saya melihat perubahan yang memberangsangkan. Sistem madrasah semakin mantap, tersusun dan lebih bersedia menghadapi keperluan masa depan. Dari sudut akademik pencapaian pelajar semakin kukuh dan membuktikan para pelajar madrasah mampu cemerlang dalam kededua bidang - agama dan akademik," tambah beliau lagi yang juga seorang penerima Anugerah Hari Kebangsaan.
Meski akan melepaskan tanggungjawab sebagai Mudir Madrasah Aljunied, Encik Herman tetap akan meneruskan peranannya sebagai Superintenden bagi Sistem Madrasah Bersepadu (JMS) peringkat Menengah.
Melalui peranan itu, beliau bertanggungjawab atas pencapaian para pelajar kededua Madrasah Aljunied dan Madrasah Al-Arabiah serta memacu usaha pemerkasaan kepimpinan.
Encik Herman berkata: "Saya melihat JMS membuka ruang kerjasama besar untuk masa depan. Bagaimana kita dapat menggabungkan setiap kekuatan madrasah supaya manfaat dirasai oleh semua pelajar. Pertama, mengukuhkan pengajaran bahasa Arab dan pengajian Islam, supaya jurang pencapaian antara madarasah dapat dikurangkan, dan mutu pendidikan terus dipertingkat secara menyeluruh."
"Bagi saya, semangat ini tidak terhad kepada JMS sahaja. Kita juga perlu terus bekerjasama dengan madrasah lain di luar JMS, kerana matlamat kita sama - untuk memajukan pendidikan madrasah dan membina masa depan masyarakat," ujar beliau lagi.
Mantan Mudir madrasah itu termasuk Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.
BERSARA SELEPAS 26 TAHUN SEBAGAI MUDIR MADRASAH AL-ARABIAH, AISHA ABDUL MANAF DIGANTI ABDUL GHANI MOHAMMED ISA
Selain di Madrasah Aljunied, pucuk kepimpinan di Madrasah Al-Arabiah juga bakal mengalami perubahan.
Encik Abdul Ghani Mohammad Isa juga akan menggalas peranan sebagai Bakal Mudir bermula Julai ini.
Selaku Bakal Mudir, Encik Abdul Ghani, 45 tahun, ingin memastikan para pelajar madrasahnya memberi tumpuan secukupnya kepada kedua-dua aspek akademik dan ukhrawi.
"Keutamaan awal saya adalah membina hubungan lebih erat dan kukuh dengan guru-guru, warga sekolah, pihak berkepentingan dan menilai sistem yang sedia ada agar selari dengan matlamat pendidikan dan visi madrasah."
"Pelajaran ukhrawi memang penting, jadi saya akan memperkukuhkan pencapaian akademik juga melalui pengajaran bermutu dan amalan pentaksiran yang mantap, sambil mempertingkatkan terutama sekali pencapaian ukhrawi dengan mengintegrasikan nilai, adab, dan nilai yang penting yang selaras dengan agama Islam pada setiap aspek kehidupan sekolah," kata beliau.
Berbekalkan pengalaman mengajar selama dua dekad merentasi pelbagai sektor termasuk dalam pendidikan arus perdana dan pendidikan khas, Encik Abdul Ghani akan mula melaksanakan tanggungjawab sebagai Mudir sepenuhnya pada awal tahun depan.
"Pengalaman saya merentasi pendidikan arus perdana dan madrasah telah membentuk perspektif kepimpinan yang menekankan keanjalan, kejelasan visi dan empati . Ia juga menegaskan kepentingan keseimbangan antara ketegasan akademik dan juga pembentukan akhlak serta nilai," ujar beliau.
Pengalaman beliau juga melangkaui bidang akademik, di mana beliau turut terlibat sebagai kakitangan MUIS untuk memahami operasi sektor dan pentadbiran badan itu.
Antara tanggungjawab utama beliau termasuk membimbing dan memantau operasi madrasah-madrasah, serta melakarkan kurikulum pendidikan am dan ukhrawi Madrasah Al-Arabiah agar selaras dengan hala tuju MUIS.
Dengan peranan baharu beliau selaku Bakal Mudir Madrasah Al-Arabiah, Encik Abdul Ghani berkata: "Visi saya adalah menjadikan madrasah ini sebagai madrasah terunggul dalam melahirkan asatizah dan karyawan Muslim yang berilmu, berkeyakinan dan berakhlak yang sentiasa bersedia menyumbang kembali kepada masyarakat tidak kira bangsa dan agama."
Pelantikan Encik Abdul Ghani menyusuli persaraan Mudirah Madrasah Al-Arabiah sekarang ini, Aisha Abdul Manaf, 62 tahun.
Namun, peranan dan kehadiran beliau di madrasah itu sudah dirasakan sejak berdekad-dekad lalu.
Beliau sebelum ini juga menjadi Naib Mudirah sejak 2003.
Sejak menyertai institusi itu pada 1999, beliau telah menjadi antara tonggak utama Madrasah Al-Arabiah yang sekali gus mencerminkan dedikasi tinggi dan pengalaman mendalam.
Sepanjang tempoh sebagai Naib Mudirah, Cik Aisha memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan, dengan berkhidmat di bawah empat orang Mudir yang berbeza.
Senarai Mudir itu termasuk Almarhum Encik Zainal Abidin Ismail (2202-2003), Ustaz Ade Novli (2007-2008), Encik Juraimi Ali (2009-2010) dan Encik Herman sendiri dari 2011 hingga 2023.
MUIS TEGASKAN KOMITMEN PERKUKUH KEPIMPINAN MADRASAH
Dalam satu catatan media yang dikeluarkan MUIS, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata bahawa pelantikan tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang MUIS untuk memupuk kepimpinan pendidikan yang kukuh di peringkat madrasah.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Mudir yang bakal bersara, Cik Aisha, dan Encik Herman, atas khidmat mereka dan mendoakan yang terbaik buat mereka dalam usaha masa depan. Mereka telah meletakkan asas yang kukuh bagi Mudir baharu, Ustaz Dr Afif Pasuni dan Encik Abdul Ghani Mohammad Isa."
Dr Faishal juga melahirkan keyakinan agar kedua-dua pemimpin baharu itu akan meneruskan usaha baik pendahulu mereka serta membawa bersama mereka perspektif baharu dan kecemerlangan berterusan.
Kedua-dua madrasah itu adalah di bawah JMS yang ditubuhkan pada 2009.
Ia merupakan pendekatan bersepadu MUIS dalam pendidikan Islam, menghimpunkan tiga madrasah di bawah satu kerangka.
Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah merupakan madrasah ketiga dalam sistem itu.
Ustazah Warintek Ismail merupakan Mudirah madrasah itu sejak 2021.
Beliau mengambil alih tugas itu daripada Encik Noor Isham Sanif yang telah menyandang jawatan tersebut sejak 2011 dan sebelum itu merupakan naib pengetua madrasah yang terletak di Braddell Road itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.