Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustaz Ali tunjang masyarakat Melayu/Islam, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Ali tunjang masyarakat Melayu/Islam, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan penghargaannya kepada Ustaz Ali Mohamed di Simposium Sidang Puncak Asia Timur pada 2015. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Allahyarham Ustaz Ali Mohamed adalah tunjang masyarakat Melayu/Islam dan memainkan peranan besar dalam membina masyarakat bersatu padu, berbilang bangsa dan agama di Singapura.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian dalam surat takziahnya kepada anak Allahyarham, iaitu Ustaz Dr Mohamed Ali hari ini (17 Mac).

"Beliau pemimpin berwawasan yang mengabdikan kehidupannya demi kemaslahatan masyarakat dan negara. Beliau adalah tunjang masyarakat Melayu/Islam dan memainkan peranan besar dalam membina masyarakat bersatu padu, berbilang bangsa dan agama di Singapura," tulis PM Lee.

PM Lee menarik perhatian bahawa sebagai pengerusi Masjid Khadijah selama 30 tahun, Allahyarham membangunkan semula dan memperluaskan masjid itu untuk menyediakan khidmat agama dan sosial kepada masyarakat Melayu/Islam.

Beliau juga "sangat menyokong" kegiatan silang agama dan pemahaman lebih tinggi dalam kalangan pelbagai kumpulan agama.

Sebagai pengasas Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) pada 2003 dan pengerusi bersama RRG selama hampir 20 tahun, Allahyarham Ustaz Ali mempamerkan pucuk kepimpinan dan panduan kukuh kepada kakitangan dan relawan RRG, kata PM Lee.

"Sumbangan Ustaz Ali penting dalam membina kepercayaan bersama antara umat Islam Singapura dengan mereka yang bukan muslim, serta mengukuh keharmonian kaum dan agama di Singapura.

"Meskipun sudah melepaskan jawatan sebagai pengerusi bersama tahun lalu, Ustaz Ali terus berkongsi pengalaman dan ilmunya sebagai Presiden Emeritus RRG," jelas PM Lee.

Allahyarham Ustaz Ali, tambah PM Lee, juga membantu meningkatkan kedudukan asatizah Singapura di dalam dan luar negara sebagai pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Selain itu, Allahyarham juga menyumbang dalam pembangunan agama di negara ini menerusi pelibatannya dalam Majlis MUIS dan Jawatankuasa Fatwa MUIS.

Atas sebab jasa dan baktinya itu, Ustaz Ali juga diberikan Anugerah Cemerlang MUIS pada 2017 dan Pingat Jasa Gemilang (2018), kongsi PM Lee.

Kali terakhir PM Lee bertemu Allahyarham Ustaz Ali adalah semasa perasmian semula Masjid Khadijah oleh PM Lee sendiri, selepas ia siap dinaik taraf pada Mei lalu.

PM Lee menulis kepada Ustaz Dr Mohamed: "Ustaz Ali akan sangat dirindui. Saya harap anda berasa aman dan selesa selepas mengetahui beliau sudah merubah kehidupan banyak generasi rakyat Singapura dan akan diingati atas sumbangannya kepada masyarakat dan negara.

"Ingatan kami bersama anda dan keluarga anda dalam masa kehilangan dan duka ini."
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan