Usia persaraan, pengambilan semula kerja bagi pekerja NTUC dinaikkan pada 2025
Usia persaraan dan pengambilan bekerja semula bagi semua kakitangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan dinaikkan mulai 1 Januari 2025, iaitu 1.5 tahun lebih awal daripada jadual kebangsaan.

Gambar fail: Roslan Rahman/AFP
Dalam satu kenyataan media pada Isnin (9 Dis), NTUC menyatakan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja masing-masing akan dinaikkan kepada 64 dan 69 tahun, selari dengan 'komitmen kesatuan itu kepada amalan pengambilan pekerja yang inklusif bagi setiap peringkat usia".
Sekitar 2,356 pekerja dari NTUC, NTUC Club dan NTUC Enterprise, termasuk FairPrice Group, Income Insurance dan First Campus, diambil bekerja semula selepas usia persaraan sedia ada iaitu 63 tahun.
Sekitar 448 daripadanya akan dapat meraih manfaat daripada langkah menaikkan usia persaraan itu manakala sekitar 271 kakitangan dapat meraih manfaat daripada perubahan terhadap usia pengambilan semula pekerja.
Menteri Negara bagi Tenaga Manusia Gan Siow Huang mengumumkan pada Mac lalu bahawa usia persaraan dan pengambilan semula bekerja akan dinaikkan pada 2026.
Ia sebahagian langkah untuk menaikkan secara bertahap-tahap usia persaraan di Singapura kepada 65 tahun menjelang 2030.
Para majikan juga mesti menawarkan kepada pekerja pilihan untuk bekerja semula sehingga usia 69 tahun, dan menjelang 2030, usia pengambilan bekerja semula akan dinaikkan kepada 70 tahun.
Berhubung langkah menaikkan had usia persaraan dan bekerja semula buat kali kedua sejak 2019, NTUC menyatakan bahawa 'ia komited menyokong pekerja lebih lanjut usia sebelum mereka mencapai usia persaraan dan usia bekerja semula".
"Bagi pekerja yang semakin menghampiri usia persaraan, NTUC mendampingi mereka terlebih awal bagi membincangkan pelan bekerja semula dan persaraan, di samping menawarkan peluang latihan bersasar untuk membantu mereka kekal relevan.
"Pekerja lebih tua juga diberi jaminan bahawa faedah kerja dan gaji mereka akan kekal konsisten apabila mereka diambil semula bekerja, melainkan terdapat perubahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari segi skop pekerjaan dan peranan mereka."
Ia menambah bahawa mereka yang diambil bekerja semula akan terus menerima "sokongan pembangunan dan pembelajaran yang disesuaikan", serta akses kepada faedah kebajikan dan pelan persaraan.
Aturan kerja fleksibel dan reka bentuk semula kerja juga akan ditawarkan apabila perlu.
BINA "TENAGA KERJA LEBIH INKLUSIF"
Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng berkata: "Sebagai sebuah pergerakan buruk, kami komited untuk memberikan pekerja yang lanjut usia akses kepada peluang pekerjaan yang bermakna.
"Dengan menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan semula bekerja bagi kakitangan NTUC lebih awal daripada jadual kebangsaan, kami mengambil langkah proaktif untuk membina sebuah tenaga kerja lebih inklusif."
"Kami menghargai pekerja kami yang lebih tua dan kami masih memerlukan mereka - dengan pengalaman yang mereka ada, dedikasi dan daya ketahanan sangat bernilai untuk memacu ekonomi kita ke hadapan dan membentuk sebuah Singapura yang lebih kukuh."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.