Skip to main content

Singapura

Usia persaraan dan pengambilan semula pekerja dinaikkan kepada 64 dan 69 pada 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Mar 2024 06:37PM Dikemas Kini : 04 Mar 2024 08:52PM
SINGAPURA: Mulai 2026, pekerja hanya boleh diminta untuk bersara apabila mereka mencecah usia 64 tahun sedang usia persaraan di Singapura dinaikkan setahun.

Ia sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan usia persaraan di Singapura secara progresif kepada 65 tahun menjelang 2030.

Usia pengambilan semula pekerja juga akan dinaikkan kepada 69 tahun pada 2026, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang di parlimen pada Isnin (4 Mac).

Ini bermakna majikan harus menawarkan pekerja tawaran untuk bekerja semula sehingga mereka berusia 69 tahun. Menjelang 2030, usia pengambilan semula pekerja akan dinaikkan kepada 70 tahun.

Warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang mempunyai prestasi kerja yang memuaskan dan sihat dari segi perubatan untuk terus bekerja layak diambil semula untuk bekerja.

Bagi pekerja yang baru menyertai sebuah syarikat selepas usia 55 tahun, mereka harus berkhidmat dengan majikan tersebut untuk sekurang-kurangnya dua tahun sebelum mencapai usia persaraan untuk layak.

Kontrak pengambilan semula pekerja haruslah sekurang-kurangnya setahun, dan diperbaharui setiap tahun.

"Sembilan daripada 10 pekerja warga emas yang layak dan ingin terus bekerja ditawarkan pekerjaan pada 2023. Untuk memastikan kenaikan seterusnya dikuatkuasakan dengan lancar, saya menggalak majikan untuk mula merancang lebih awal," kata Cik Gan.

Beberapa syarikat mungkin perlu membuat penyesuaian pada tenaga manusia dan rancangan mengasah kemahiran untuk mengekalkan pekerja warga emas, tambahnya.

Usia untuk mengeluarkan simpanan dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan usia pembayaran bulanan tidak terjejas oleh perubahan tersebut.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan kenaikan bagi usia persaraan dan pengambilan semula pekerja adalah disebabkan jangka hayat lebih lama. Perubahan itu juga boleh membantu masalah kekurangan tenaga manusia.

PROGRAM PENUKARAN KERJAYA

MOM juga mengumumkan kenaikan had sokongan gaji bagi Program Penukaran Kerjaya (CCP) Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) bermula 1 April.

Bagi pekerja lanjut usia atau individu yang tidak bekerja buat jangka panjang, had tersebut akan dinaikkan kepada S$7,500 sebulan, naik daripada S$6,000. Pembiayaan bagi pekerja lain boleh meningkat sehingga S$5,000 sebulan, berbanding S$4,000 buat masa ini.

Kadar pembiayaan kekal sehingga 70 peratus daripada gaji bulanan pekerja untuk warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) di bawah usia 40 tahun, dan 90 peratus bagi pekerja lanjut usia dan individu tidak bekerja buat jangka panjang.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng juga berkata CCP bagi pekerja sedia ada dalam syarikat akan diperluaskan menjangkaui peningkatan kemahiran bagi mereka yang mempunyai pekerjaan yang mungkin tidak diperlukan lagi.

Beliau menggesa para pekerja untuk menghubungi WSG bagi mendapatkan maklumat tentang bagaimana program tersebut dapat membantu memenuhi keperluan bakat mereka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita