USE, APRO capai penyelesaian bagi pegawai keselamatan yang diturunkan pangkat

(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Satu "penyelesaian baik" dicapai bagi pihak pegawai keselamatan yang diturunkan pangkat oleh APRO menyusuli perbincangan antara agensi keselamatan berkenaan dan Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE).
Syarat bagi penyelesaian tersebut dirahsiakan dan berlaku menyusuli "rundingan perdamaian yang membuahkan hasil", menurut USE dan APRO dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (22 Feb).
Kedua-dua kesatuan dan syarikat keselamatan tersebut menyatakan, rundingan berkenaan mengambil kira layanan adil pegawai yang terjejas dan operasi perniagaan APRO.
"Syarat-syarat yang digariskan adalah tambahan kepada tokokan gaji tahunan yang tidak diwajibkan sebanyak S$2 juta yang APRO sebelum ini mengagihkan kepada semua pegawainya pada Disember 2022," menurut kenyataan tersebut.
Kes itu timbul awal bulan ini dalam satu kenyataan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng.
Walaupun Encik Ng tidak mendedahkan nama syarikat tersebut, beliau berkata, sebuah agensi keselamatan menurunkan pangkat kira-kira 300 pegawai dan menarik balik tindakan tersebut setelah sebuah kesatuan campur tangan. Syarikat itu kemudiannya melanjutkan waktu kerja kakitangan terjejas dalam usaha untuk "menyesuaikan" gaji dan syarat pekerjaan mereka.
Mediacorp kemudian mengesahkan bahawa syarikat yang terbabit adalah APRO.
Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, USE dan APRO menyatakan pegawai terjejas diturunkan pangkat menyusuli langkah penyusunan semula pangkat dan gaji yang bermula pada 1 Disember 2022.
"USE berbesar hati bahawa usaha penyelesaian dengan APRO menerusi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) membuahkan hasil positif," kata Setiausaha Eksekutif USE Steve Tan.
"Kami memahami niat APRO untuk menyesuaikan saiz pasukan kerjanya dan mengiktiraf usaha pengurusan untuk berbuat demikian dengan adil.
"USE akan bekerja rapat dengan APRO untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai majikan terpilih dalam industri dan menghuraikan keprihatinan pelanggan dan pihak berkepentingan lain disebabkan laporan media baru-baru ini."
APRO menyatakan, ia menumpukan kepada memastikan semua pegawainya memahami sebab penyesuaian baru-baru itu diperlukan, sambil menambah bahawa ia akan terus menangani keprihatinan mereka.
"Prinsip APRO adalah untuk berlaku adil terhadap pekerja kami, sementara mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan kemampanan perniagaan," kata Timbalan Pengarah Urusan syarikat berkenaan Li Xiaowen.
Tambahnya, APRO akan bekerjasama rapat dengan USE. Sebagai langkah pertama, kesatuan itu diundang untuk menghadiri taklimat APRO bagi pegawai terjejas.
Taklimat tersebut dijangka selesai menjelang April.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.