Skip to main content

Iklan

error

  • Could not retrieve the oEmbed resource.

Iklan

Singapura

Usahawan muda, Mustaffa Kamal & Sufi Hassan pelopori restoran halal popular di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Usahawan muda, Mustaffa Kamal & Sufi Hassan pelopori restoran halal popular di S'pura

Restoran Working Title (Riverside) yang dibuka baru-baru ini. (Gambar: @workingtitlesg/Instagram)

Diterbitkan : 16 Mar 2022 09:33PM Dikemas Kini : 16 Mar 2022 09:38PM

SINGAPURA: Semuanya bermula dengan sebuah asrama pada 2012. 

Bekas rakan sekelas semasa menuntut di maktab rendah, Mustaffa Kamal dan Calvin Seah, yang kedua-duanya berusia 27 ketika itu, bersatu hati untuk membuka sebuah asrama pengembara beg galas (backpacker) setinggi lima tingkat di Arab Street, iaitu Shophouse, yang kini sudah tidak beroperasi lagi. 

Tingkat bawah asrama itu disewakan kepada pengendali sebuah kafe. Namun, apabila perjanjian dengan pengendali kafe ditamatkan secara tiba-tiba, kedua-dua rakan itu mendapati mereka perlu mengisi ruang kosong tersebut. 

Dalam masa sebulan, mereka berjaya membuka kafe mereka sendiri dan menjual 'burger gourmet' dan kopi 'artisanal' buatan sendiri. Mereka memberi kafe itu nama sementara, iaitu "Working Title", buat seketika, yang akhirnya 'melekat' sampai ke hari ini.  

Meskipun mereka berdua tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam sektor makanan dan minuman (F&B), mereka bertekad untuk memastikan kafe yang diusahakan itu berjaya. Untuk mengurangkan kos, kedua-dua rakan itu menggunakan perabot terpakai dan mengubah suai perabot tersebut supaya dapat digunakan di kafe mereka. 

Mereka menggajikan Sufi Hassan sebagai pengurus operasi kafe, yang ketika itu baru berusia 22 tahun. Selepas menuntut di United Kingdom (UK), Sufi pulang ke Singapura dan menyertai pasangan itu dalam perjalanan keusahawanan mereka. 

Sufi Hassan, Ketua Pegawai Operasi dan Calvin Seah, Ketua Pegawai Kewangan daripada The Black Hole Group. (Gambar: Alvin Teo)

Mereka bertiga kemudian membuka beberapa kedai makan yang berkonsepkan mesra Muslim di merata Singapura. Ini termasuk restoran pasta terkenal Tipo Pasta Bar, restoran makanan Mexico, Afterwit di North Bridge Road, restoran makanan Greece, Ela di Bukit Batok dan juga restoran makanan Sepanyol, The Great Mischief di Galeri Nasional Singapura. 

Dari masakan Greece dan Itali hingga ke hidangan dari Mexico dan Sepanyol, konsep-konsepnya sangat berbeza sampaikan tidak jelas bahawa kesemua restoran itu adalah di bawah syarikat yang sama. Kesemua jenama itu adalah di bawah naungan The Black Hole Group, dengan Mustaffa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Seah selaku Ketua Pegawai Kewangan dan Sufi pula bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi. 

Maka itu, bagaimana sebuah kafe kecil boleh 'melahirkan' tujuh jenama dan 10 cawangan di bawah kumpulan F&B yang sama?  

'KAMI GEMAR MENCUBA' 

Cawangan terkini mereka, Working Title, yang terletak di tingkat bawah Kondominium Kallang Riverside sungguh berbeza jika dibandingkan dengan cawangan asal yang ditutup pada 2018 dan restoran tersebut melambangkan betapa jauh mereka sudah menapak dalam bidang F&B.

Restoran ini yang mempunyai tempat makan yang terbuka turut menyediakan bilik menyusu untuk kaum ibu, tempat letak basikal dan juga bilik solat untuk para pelanggan Muslim. 

"Cawangan baru ini adalah sesuatu yang kami impikan untuk Working Title selama ini," kata Seah. 

"Bagi kesemua cawangan kami, kami selalu bertanya - bagaimanakah untuk merealisasikan konsep yang menyeluruh? Kerana ia bukan setakat tentang makanan. Persekitaran, hiasan dan muzik semuanya memainkan peranan." 

Kumpulan F&B ini bersandar kepada tiga tunggak utama - iaitu mutu, pengalaman dan keistimewaan. "Pengalaman pelanggan sangat penting bagi kami. Jenis meja yang kami gunakan, misalnya, membuat perbezaan kepada ruang ini," ujar Sufi. "Bagi menyuntik keistimewaan pula, kami gemar mencuba sesuatu yang baru dan mencipta sesuatu dari awal lagi. Maka itu, Tipo Pasta Bar, menghasilkan pasta kami sendiri supaya kami dapat benar-benar mengawal mutu dan rasanya. Di Working Title pula, kami membuat patti burger kami sendiri." 

Kesemua jenamanya mematuhi garis panduan halal agar ia dapat dinikmati oleh masyarakat Muslim. "Saya rasa masyarakat Muslim di Singapura tidak mempunyai banyak pilihan dari segi mutu dan kepelbagaian yang ditawarkan," kata Sufi. 

"Kami sentiasa melihat diri kami dan juga jenama kami sebagai bersifat inklusif. Sebagai seseorang yang bukan beragama Islam, ramai orang bertanggapan seolah-olah makanan halal hanya untuk Muslim saja. Sedangkan, oleh kerana ia halal, ia boleh dinikmati oleh semua orang," tambah Seah. 

"Apabila kami memperkenalkan menu yang baru, kami sentiasa melakukan penyelidikan untuk cuba memenuhi keperluan semua orang. Ini termasuk pelanggan yang tidak makan daging, tetamu yang suka makan ikan dan orang yang suka makan ayam." 

Apabila Tipo Pasta Bar dibuka buat pertama kali, ia adalah salah satu restoran mesra Muslim yang pertama di Singapura yang membolehkan para pelanggan untuk menghasilkan pasta mereka sendiri. Kini di Working Title Riverside, pasukan di sana mengendalikan kedai roti sendiri buat julung-julung kalinya.

"Kami sentiasa melihat perniagaan kami ibarat satu eksperimen. Tidak salah untuk kita mencuba, begitu juga sekiranya kita gagal. Yang penting ialah bagaimana kita bangkit daripada kesilapan dan terus mempertingkatkan diri," ujar Sufi. 

TIADA RAHSIA KEJAYAAN

Pandemik COVID-19 mungkin menghambat sesetengah  perniagaan dalam industri F&B, namun untuk terus maju, The Black Hole Group akan meneruskan rancangannya untuk mengembangkan perniagaan mereka. Selain melancarkan konsep-konsep baru semasa pandemik, kumpulan itu juga menghidupkan semula jenama-jenama sedia ada melalui menu baru dan juga ruang yang diubah suai. 

Kumpulan itu juga merancang untuk membuka dua lagi cawangan dalam masa tiga bulan akan datang dan dua lagi pada hujung tahun ini. Menebarkan sayap ke luar negara juga sedang dirancangkan. 

"Kami bertiga bersetuju bahawa kita perlu mengembangkan perniagaan untuk terus bertakat. Jika kami terus begini saja, ia akan melumpuhkan perniagaan kami," kata Seah. 

Sama ada menu, makanan atau reka bentuk restoran, para pelanggan boleh menjangkakan pengalaman yang berbeza di setiap cawangan The Black Hole Group. 

Sebagai sebuah perniagaan F&B, kumpulan itu tidak mahu memulakan rangkaian restoran semata-mata berdasarakan satu konsep yang berjaya. 

"Dengan adanya rangkaian restoran, memang mudah untuk meniru konsep sedia ada. Namun, kami tidak mahu setakat mengitar semula konsep. Konsep yang berjaya sentiasa berubah dan mencari konsep yang berjaya adalah sesuatu yang menyeronokkan, meskipun sulit. Itulah yang mendorong kami," ujar Seah lagi. 

Seperti dirumuskan oleh Sufi: "Dengan kebahagian, pasti ada kesulitannya. Dan kesulitannya memang mencabar." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan